Monday 31 March 2014

MH370 ::: Peminat DS HISHAMUDDIN

Admin Pentas Malaya ingin berkongsi dua surat yang kita patut berbangga dengan DS Hishamuddin, sedangkan sebahagian rakyat mengkritik beliau tetapi beliau di puji dan diminati oleh warga negara luar. 
Saya Bangga!!! Anda???


Surat dari Victor kepada DS Hishamuddin 



Surat balasan DS Hishamuddin kepada Victor.



GEMPAR !!! Keluarga penumpang China dibawa ke lokasi RAHSIA

31 Mac 2014

SUBANG - Usaha untuk mendapatkan respons daripada keluarga penumpang MH370 yang tiba dari China sejak semalam gagal sama sekali apabila pihak MAS telah membawa mereka keluar dari Hotel Holiday Villa tepat jam 10 pagi tadi.

Keluarga tersebut yang diiringi pihak polis dan pengawal dibawa secara berkumpulan menuju ke pekarangan lobi hotel untuk menaiki dua buah bas e-Putra yang disediakan khas untuk mereka.

Kelihatan anggot keluarga penumpang MH370 berwajah sugul dan muram namun agak tenang ketika dibawa menuju ke kenderaan yang telah tersedia.

Usaha Sinar Harian Online untuk mendapatkan maklumat lanjut dari pegawai MAS dan juga sukarelawan tidak berhasil apabila mereka enggan memberikan kerjasama.


Kira-kira 48 ahli keluarga penumpang MH370 tiba dari China semalam untuk menuntut penjelasan dan maklumat terperinci mengenai misi SAR yang dilancarkan di Laut Hindi.

Kumpulan tersebut yang menetap di Hotel Holiday Villa, Subang telah dibawa keluar oleh pihak MAS dengan bantuan polis pengawal dan sukarelawan ke suatu lokasi yang tidak dapat dipastikan.

Sumber

INFO GRAFIK ::: Nampak Objek Di Tempat Baru

INFO GRAFIK ::: 20 Hari Tanpa MH370

MH370 ::: Anak Sulung Kapten Zaharie Bersuara



MH370 : Buat pertama kali, anak sulung Kapten Zaharie meluahkan kata-kata berikutan kehilangan pesawat yang masih kekal misteri | Fitnah itu lebih teruk daripada membunuh.

Saya tidak akan memaafkan anda,” kata Aishah, 28, anak sulung kepada Kapten Zaharie Ahmad Shah dalam facebooknya (FB) semalam. 

 Kata-kata itu jelas menunjukkan kemarahan dan kekecewaan selepas portal berita luar negara, Daily Mail menyiarkan kenyataan 35 perenggan penjelasan Aishah dan ibunya, Faizah Khanum Mustafa Khan ketika disoal pegawai penyiasat berikutan kehilangan penerbangan MH370.

Aishah juga menulis dalam FBnya: Anda sepatutnya mempertimbangkan membuat filem kerana anda begitu baik dalam membuat cerita dan skrip. Semoga Tuhan merahmati kamu. Ini adalah kali pertama Aishah yang belajar di Australia itu membuat kenyataan terbuka selepas 23 hari pesawat berkenaan hilang. Selain itu, laman Facebook Friends Of Captain Zaharie MH370 turut menyelar laporan Daily Mail itu.

Laman berkenaan mendakwa anak lelaki juruterbang berkenaan melahirkan rasa kecewa dan sedih dengan laporan yang dianggap tidak bertanggungjawab itu. Laman itu juga mendakwa laporan terbabit adalah bohong dan mempertikaikan sumber kenyataan itu diperoleh. FB itu dilihat menerima hampir 100 komen dan 200 likes yang hampir semuanya menyelar tindakan media berkenaan yang didakwa melaporkan berita palsu. Mereka juga menyarankan Aishah mengheret portal berita Britain itu di mahkamah. Portal itu kelmarin menyebut Aishah dalam soal siasat itu sebagai berkata, ayahnya seolah-olah terganggu dan mudah marah serta bukan ayah yang dia kenali sebelum kehilangan pesawat berkenaan. Aishah juga dilaporkan berkata, ayahnya juga ada bercakap mengenai masalah hubungan dengan ibunya.


 Bagaimanapun, Aishah cuba memujuk ayahnya dengan menyarankannya merujuk kepada orang tua yang arif mengenai agama. Laporan itu juga berkata, Aishah menjelaskan kepada pegawai penyiasat dia tidak tahu jika ayahnya mempunyai wanita lain namun menolak kemungkinan ayahnya sengaja membahayakan nyawa anak kapal dan penumpang. Portal itu juga menyebut Zaharie dalam proses menceraikan isterinya dan banyak menghabiskan masa dengan simulator penerbangannya berbanding dengan keluarga. Portal itu juga memetik isteri Zaharie, Faizah sebagai berkata, tiada sebarang nota bunuh diri dan motif yang ditemui dan pihak berkuasa masih meneruskan siasatan terhadap latar belakang juruterbang itu. Dalam laporan itu juga, Faizah mendakwa Zaharie sudah berhenti bercakap dengannya pada minggu sebelum penerbangan berkenaan dan mengakui dia banyak menghabiskan masa bersendirian di dalam bilik simulator penerbangannya.


Portal itu berkata, Faizah menganggap adalah tidak adil menyalahkan suaminya. Bagaimanapun, sepanjang soal siasat, dia memberitahu polis suaminya menjadi semakin terganggu beberapa bulan sebelum penerbangan malang berkenaan. Sebelum ini media barat menyiarkan secara besar-besaran mengenai simulator milik juruterbang itu yang ada di sebuah bilik di rumahnya. Bagaimanapun, selepas diperiksa Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mendapati tiada data meragukan dan simulator Zaharie hanya sebagai hobi. Malah kelmarin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan tiada bukti atau data mencurigakan yang boleh mengaitkan Zaharie sebagai bertanggungjawab terhadap kehilangan pesawat itu.-HM

Sumber

MH370 ::: Objek ditemui disahkan sampah


KAPAL Australia HMAS Success membawa peralatan maritim dan alat pengesan di dasar laut bersiap sedia di pelabuhan angkatan laut HMAS Perth, Australia, Semalam.

SYDNEY 30 Mac - Beberapa objek yang ditemukan di Lautan Hindi disahkan bukan daripada pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam satu kenyataan hari ini berkata, objek terbabit yang dipungut oleh kapal China dan Australia dikenal pasti sebagai peralatan untuk menangkap ikan atau sampah.

Bagaimanapun, AMSA tidak menyatakan jumlah atau lokasi tepat objek berkenaan ditemukan.

Sementara itu menurut AMSA, operasi mencari pesawat MH370 yang memasuki hari ke-23 hari ini memberi fokus di kawasan seluas kira-kira 319,000 kilometer (km) persegi berpandukan hasil analisis lebih terperinci para penyiasat nahas kapal terbang.

Katanya, mengikut perancangan, 10 buah pesawat terlibat dalam gerakan mencari di kawasan kira-kira 1,850 kilometer di barat Perth.

Lembaga itu juga berkata, semua kapal di kawasan mencari ditugaskan mengesan dan mengenal pasti objek yang dilihat pesawat sejak dua hari lalu.

"Cuaca di kawasan mencari diramal menjadi lebih buruk hari ini dengan hujan renyai dan awan rendah tetapi operasi mencari dijangka diteruskan," katanya.


Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 239 penumpang hilang kira-kira sejam selepas memulakan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac lalu mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di satu kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.

Menurut AMSA, pesawat yang mengambil bahagian hari ini adalah dari Australia, Jepun, China, Korea Selatan, Amerika dan Malaysia serta sebuah jet awam yang bertindak sebagai penyelaras komunikasi.

Kapal Australia HMAS Success, kapal Pentadbiran Keselamatan Maritim China Haixun 01, kapal Biro Penyelamat China Nan Hai Jiu dan kapal tentera laut China Jinggang Shan tiba di kawasan mencari semalam.

"Enam lagi kapal akan tiba di kawasan itu hari ini," kata kenyataan itu.

Katanya, kapal frigat kelas ANZAC HMAS Toowoomba meninggalkan Perth petang semalam dan dijangka tiba di kawasan mencari dalam masa tiga hari.

"Kapal ADV Ocean Shield pula dijadual berlayar dari Perth lewat hari ini setelah dipasang alat pengesan kotak hitam dan kenderaan bawah air," kata AMSA. - DPA, BERNAMA

Sumber

LANG MERAH !!! Rombak juga pemain tempatan

30 Mac 2014

APA sudah jadi dengan prestasi skuad Lang Merah musim ini?

Selepas garang pada beberapa perlawanan awal, prestasi skuad kendalian David Mitchell kini terumbang-ambing dan sekadar menghuni kedudukan keenam Liga Perdana dan ketinggalan 10 mata dibelakangi pendahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Situasi ini jelas mengundang perasaan kurang senang Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah, Nor Hasmadi Hamzah yang bimbang hasrat kembali ke saingan Liga Super berkubur.


Menurutnya, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang menerima tajaan berjumlah lebih RM15 juta dari kerajaan negeri dan badan korporat harus bertindak pantas termasuk melakukan rombakan besar-besaran dalam skuad Hijau Kuning.

"Bukan sahaja awang import, pemain tempatan pun wajib dirombak sebenar pelaburan RM15 juta bukan satu jumlah yang kecil.

"KFA jangan  sekadar tangkap muat atau melakukan pemilihan pemain yang kurang tepat. Tengok saja aksi Kedah dalam liga, jauh tertinggal dengan pasukan atasan.

"Pada saya, jurulatih pun wajar diberi amaran keras berikutan persembahan longlai saat ini," katanya.

Sumber

HAMILTON Ungguli Grand Prix Malaysia Petronas 2014

30 Mac 2014
Pemandu pasukan Mercedes AMG Petronas F1 Team, Lewis Hamilton (dua, kiri) menjuarai Perlumbaan Formula One (F1) Petronas Malaysian Grand Prix dengan catatan terpantas 1:40:25.974 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di Sepang, hari ini. - Foto Bernama

PEMANDU Lewis Hamilton dari Mercedes AMG Petronas mengungguli kejohanan F1 Grand Prix Malaysia 2014 di Litar Sepang hari ini.


Rakan sepasukannya pemandu dari Jerman, Nico Rosberg menduduki tempat kedua sementara pemandu Infiniti Red Bull Racing juga dari Jerman, Sebastian Vettel di tempat ketiga. - Bernama

Sumber

Sunday 30 March 2014

MAAFKAN kesilapan saya - NIK AZIZ


NIK ABDUL AZIZ

KOTA BHARU 29 Mac - Bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan bergenang air mata hari ini memohon maaf di atas segala kesilapannya sepanjang 23 tahun mentadbir negeri ini.

Malah beliau yang juga Mursyidul Am Pas menganggap sakit yang dialaminya sekarang adalah 'kifarat' atas dosa yang dilakukan selama memimpin negeri ini.

Permohonan maaf itu dibuat ketika beliau menyampaikan kuliah subuh di Masjid Pulau Melaka di sebelah rumahnya di sini pagi ini.

"Maafkan segala kesilapan saya selama saya pimpin Kelantan.

"Ini sakit saya mungkin Allah nak kifarat dosa saya atas apa kesalahan saya buat selama saya pimpin Kelantan," katanya yang dipetik daripada akaun laman sosial, Facebooknya di sini hari ini.

Turut hadir di kuliah itu ialah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nik Abdul Aziz, 83, merupakan Menteri Besar paling lama dalam sejarah memerintah negeri ini.


Tokoh yang dikenali dengan pelbagai kenyataan kontroversi itu menerajui pemerintahan negeri ini selama lima penggal bermula pada tahun 1990 sehingga 2013.

Beliau melepaskan teraju pemerintahan kepada timbalannya, Datuk Ahmad Yakob selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu kerana masalah kesihatan.

Dalam wawancara eksklusif bersama Mingguan Malaysia pada 12 Januari lalu, beliau buat pertama kalinya mendedahkan mengenai keadaan kesihatannya seperti masalah prostat sehingga terpaksa membawa beg plastik untuk menyalurkan air kencing dan bateri bagi menguatkan jantungnya.

Difahamkan pada masa kini, Nik Abdul Aziz yang lebih dikenali dengan panggilan 'tok guru' terpaksa lebih kerap berulang alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia untuk menerima rawatan.

Beliau juga tidak hadir pada himpunan Reformasi 2.0 di Kota Bharu yang disertai Anwar kerana tidak sihat.

Bagaimanapun sebaik sahaja beliau melepaskan jawatan tersebut, keadaan dalaman Pas negeri ini agak berkecamuk dengan pergeseran di antara pemimpin.

Malah ada di antara pemimpin Pas mula mengkritik kepemimpinan Ahmad dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan atas pentas ceramah secara terbuka.

Sumber

'MH370 akan dijejaki walau ke hujung dunia'

30 Mac 2014
Hishamuddin Tun Hussein

DI bahunya disandarkan harapan, di bahunya juga terletak pelbagai cabaran. Sudah memasuki hari ke-22 semalam MH370 hilang entah ke mana. Di sebalik pelbagai spekulasi yang melanda, Pemangku Menteri Pengangkutan, DATUK SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN terus menjadi tumpuan dunia.

Setiap ayat yang keluar dari mulutnya dinanti dengan penuh debar. Biarpun diasak pelbagai soalan dari ratusan media yang menanti bagai jerung kelaparan, namun amanah yang digalas dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Semalam buat pertama kalinya, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan Malaysia berkongsi kisah di sebalik tragedi MH370 bersama beberapa media tempatan yang turut dihadiri oleh Editor Sinar Harian, Lailatun Khalilah Nasir.
 
Apa keyakinan yang ada pada Datuk Seri berhubung kehilangan MH370

HISHAMMUDDIN:  Saya tidak pernah mengalah dan tidak akan mengalah selagi MH370 tidak ditemui. Semua yang berlaku ada sebabnya dan Jumaat lalu dalam satu khutbah yang saya rasa ditujukan untuk saya (Hikmah Dalam Ujian), saya selalu tanamkan dalam diri, setiap apa yang saya lalui saya buat yang terbaik dan saya tawakal kepada ALLAH.

Dan dalam kes MH370 ini yang saya lihat bukan sahaja ia  unik kepada Islam tetapi agama-agama lain pun turut  memberi kekuatan kepada kita. Dalam kehilangan ini kita kena cari kekuatan kita yang tersendiri, dan secara peribadi untuk  diri saya, saya hanya lakukan yang terbaik  mampu saya lakukan.

Jika diikutkan apa yang berlaku terhadap MH370 dan peristiwa Lahad Datu, Lahad Datu lebih mencabar. Tidak sukar untuk kita lakukan yang terbaik dalam kes MH370  ini kerana ramai yang  tampil  membantu.

Itu hikmah dalam ujian yang diberikan Allah SWT  kepada diri saya dan kepada  umat Islam di Malaysia. Hikmah yang saya lihat setakat beberapa hari yang kita lalui ini, kita bersatu. Kita masih lagi bersemangat dan kita tidak kecewa atau berputus asa.  Ini merupakan satu kekuatan yang ada pada kita sebagai sebuah negara  yang boleh diletakkan sebaris dengan  negara-negara  lain  di luar sana.

Apa yang Datuk Seri sering hadapi apabila berjumpa dengan keluarga atau waris penumpang MH370?

HISHAMMUDDIN: Pagi tadi (semalam), saya  sempat  berjumpa dengan keluarga penumpang bukan sahaja  dari Malaysia tetapi dari luar negara termasuk China. Satu permintaan mereka  untuk operasi SAR dan untuk dunia supaya  terus mendoakan penumpang selamat.

Saya sudah nyatakan dahulu walaupun mungkin tipis kedudukan mereka, tetapi kita terus mendoakan dan operasi mencari dan menyelamat sentiasa memberi keutamaan kepada penumpang-penumpang dan anak kapal. Itu satu harapan yang saya sangat  memahaminya.

Ia datang dari keluarga dan saya harap orang ramai  sensitif terhadap  harapan mereka itu. Saya beri jaminan walaupun keadaan jauh dan terpencil, kita akan tetap menjejaki dan mencari di mana MH370.


Apa penanda aras untuk kita meletakkan kemajuan dalam pencarian MH370?

HISHAMMUDDIN: Susah untuk kita membuat penanda aras kerana apa yang berlaku kepada MH370 adalah perkara yang luar biasa. Dunia tidak pernah melaluinya. Kita terpaksa mengkoordinasinya 26 negara dan aset-aset yang paling sofistikated dan di kawasan-kawasan yang paling terpencil di dunia.

Ini satu tanggungjawab yang cukup berat dan kalau ditanya apa juga penilaian kita, susah saya hendak buat perbandingan kerana  penanda aras  untuk mengatakan kita berjaya atau tidak, belum ada. Tetapi  saya tidak lari dari fokus utama iaitu akhirnya kita dapat mencari dan mengenal pasti  di mana pesawat MH370.

Dan pendirian  kita sentiasa konsisten iaitu melakukan dan membuat  satu-satu keputusan dan mengumumkannya  selepas ada  kemajuan  dan ada pengesahan dari pihak-pihak yang bertanggungjawab  yang ada kepakaran dan mempunyai maklumat yang kukuh.

Itu tindakan kita daripada  hari pertama. Dan saya boleh berbangga kerana bukan sahaja kita konsisten dan tidak tergopoh-gapah, malah  dan kita mengikut semua petunjuk yang ada tanpa putus asa.

Antara kes Lahad Datu dan MH370, mana satu lebih mencabar?

HISHAMMUDDIN:  Lahad Datu lebih mencabar kerana kita tidak tahu apa dia ancamannya.  Dan yang keduanya,  pertimbangan yang paling sukar untuk saya hadapi ialah, jika silap keputusan pada ketika itu boleh menyebabkan lebih ramai terkorban.

Dan pada masa dan ketika itu  kita tidak mempunyai sokongan dan kepakaran daripada dunia. Saya secara peribadi merasa keseorangan. Dan maklumat-maklumat yang kita terima tidak boleh dikongsi bersama dengan orang ramai. Itu satu perkara yang  menyebabkan orang tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di Lahad Datu.

Tapi kali ini dalam kes MH370 apa yang berlaku berlaku  adalah dalam keadaan sebenar (real time). Kita ketahui dunia perhati kita. Tidak ada benda yang perlu disembunyikan. Kalau dapat sebarang pertunjuk akan dikoordinasi dan akan disahkan bersama oleh mereka yang pakar. Itu melegakan saya kalau hendak dibandingkan dengan Lahad Datu.

Pencarian MH370 kini terarah ke mana?

HISHAMMUDDIN:  Mencari MH370 bukan satu perkara yang mudah. Ia tanggungjawab kepada negara kita.  Rakyat Malaysia hari ini bersatu  tanpa mengira  kedudukan,  darjat, kaya miskin , tua muda, semuanya bersatu untuk melihat kepada satu penemuan MH370.

Situasi ini juga mendorong saya untuk meneruskan usaha. Melihat hari demi  hari. Untuk melihat jauh saya rasa agak sukar kerana tidak tahu sama ada objek yang dapat dikesan oleh satelit itu merupakan yang datangnya  dari pesawat MH370 atau tidak.

Kalau ia pun datang dari MH370, timbul satu lagi persoalan di mana kotak hitam? Dan apa yang penting sekarang ialah untuk mengesan pesawat berkenaan dan menjejaki kotak hitam itu. Dan adakah kotak hitam itu boleh dijumpai dalam masa 30 hari?

Kalau kotak hitam itu tidak dapat dikesan dalam tempoh 30 hari, apa pulak selepas itu? Kalau nak  pergi jauh sampai dua tahun macam Air France,  saya rasa sukar untuk saya tidur malam seperti yang sedang saya lalui sekarang…

Ikuti sambungan esok bagaimana Hishammuddin menjawab beberapa spekulasi dunia mengenai  MH370 dan apa yang perlu dilakukan terhadap sistem keselamatan negara.

Sumber

BONGKAR !!! Memali: Musa dakwa Tun M ada di KL

29 Mac 2014
Musa ketika menjadi panel Diskusi Siri 3, ‘Politik Malaysia: Dulu dan Sekarang’, kelmarin.

KOTA BHARU - Setelah hampir 30 tahun tragedi Memali berlaku, kelmarin bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam menjelaskan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, berada di Kuala Lumpur, bukan di China seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini.

Musa, yang ketika itu juga memegang jawatan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, menjadi panel Diskusi Siri 3, ‘Politik Malaysia: Dulu dan Sekarang’ anjuran kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan moderator, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Sebelum itu, Musa menegur Mohammad Agus, kerana menyifatkan soalannya itu sama ada perdana menteri berada di China secara kebetulan atau dirancang ketika peristiwa itu berlaku tanpa penyiasatan mendalam.

“Siapa kata dia (Tun Mahathir) di China? Sebenarnya dia di Kuala Lumpur,” kata Musa, sambil disambut sorakan dan tepukan orang ramai yang mengikuti diskusi itu, di sini, semalam.

Musa berkata, beliau sendiri memaklumkan kepada perdana menteri tentang peristiwa 19 November 1985 yang mengorbankan 14 orang, manakala berpuluh yang lain cedera, walaupun menurutnya perdana menteri sudah mengetahuinya.

“Malah setahu saya, dua atau tiga hari kemudian baharulah beliau akan ke China. Bagaimanapun, saya sempat memaklumkan kepadanya bahawa peristiwa tersebut sangat serius dan beliau perlu berada dalam negara dengan menyertakan tiga alasan.


“Saya katakan padanya, ini kerana ia melibatkan orang Melayu, dalam sebuah negeri (Kedah), dan jika beliau ke China, ia menunjukkan bagaimana perdana menteri mengambil mudah soal ini sedangkan dia sendiri perlu menanganinya,” katanya.

Dalam diskusi yang turut menampilkan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa sebagai ahli panel itu, Musa berkata, tragedi Memali merupakan titik hitam dalam dunia politik beliau, malah terus terang katanya, itulah juga yang dinyatakan kepada rakan-rakan sealiran dengannya.

Dalam tragedi Memali kira-kira 3,000 anggota keselamatan mengepung Kampung Memali di Baling, Kedah, untuk menahan tokoh agama tempatan, Ustaz Ibrahim Libya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas dakwaan mengancam keselamatan negara dan memecahbelahkan umat Islam.

Selepas seminggu mengepung Memali melalui ‘Operasi Angkara’, pihak berkuasa memasuki kawasan itu menangkap Ibrahim. Berikutan itu, 14 penduduk kampung turut terbunuh, sementara berpuluh-puluh orang lagi tercedera.

Sumber

PKR akui calon faktor utama BN menang besar

29 Mac 2014

MUKAH - Keputusan pimpinan Barisan Nasional (BN) meletakkan Yussibnosh Balo sebagai calon pilihan raya kecil merupakan faktor utama kemenangan besar BN, kata seorang pemimpin PKR Sarawak.

Naib presiden PKR Sarawak, See Chee How berkata Yussibnosh mempunyaikelebihan ke atas calon PKR Abdul Jalil Bujang memandangkan calon BN merupakan bekas penjawat awam sebelum menyertai politik manakala Abdul Jalil seorang ahli perniagaan yang menetap di Bintulu.

"Beliau (Yussibnosh) memang biasa dengan orang tempatan dan mengetahui keadaan kawasan dan berdasarkan analisis kami, Yussibnosh calon yang terkuat," katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil Balingian di Dewan Suarah Mesra Mukah malam ini.

BN mengekalkan kerusi Balingian dengan majoriti 6,911 undi mengalahkan PKR  dengan 72 peratus pengundi keluar mengundi.


Pada pilihan raya negeri 2011, penyandang dan bekas ketua menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengekalkan kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru mengalahkan Suriati Abdullah (PKR) dan Datuk Salleh Jafaruddin (Bebas) dengan majoriti 5,154 undi dengan 69.98 peratus pengundi keluar mengundi.

Bagaimanapun, See yang juga pengarah pilihan raya negeri PKR mempertahankanpemilihan Abdul Jalil memandangkan parti itu melihat beliau sebagai mesra rakyat dan mampu menjadi wakil rakyat yang baik jika diberi peluang.

"Kami akan membuat penilaian untuk menganalisis keputusan itu," katanya.

Katanya kempen yang dijalankan BN begitu agresif dengan semua pemimpin negeri dan persekutuan berkumpul di Mukah termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turun berkempen.

Abdul Jalil yang turut hadir di Dewan Suarah Mesra Mukah itu berkata keputusannya tidak begitu buruk berbanding undi yang diperoleh calon PKR pada pilihan raya negeri 2011 yang hanya memperoleh 871 undi berbanding 1,283 undi pada pilihan raya kecil ini. - Bernama

BONGKAR !!! Apa Hishammuddin fikir sebelum sidang media?




KUALA LUMPUR - Apa yang sering bermain dalam fikiran pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin sebelum beliau memasuki bilik sidang akhbar yang bersiaran secara langsung setiap hari sejak tiga minggu lepas?

"Keluarga penumpang dan anak kapal. Bahagian paling sukar bagi saya ialah mengetahui mereka akan menonton dan mengharapkan sesuatu... bahawa saya boleh memaklumkan kepada mereka berita gembira atau yang mengakhiri penantian mereka," katanya.

Beliau mendedahkan perkara ini ketika ditemu bual media tempatan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Hishammuddin, 52, yang menjalani rawatan angioplasti hampir empat bulan lepas, beliau mengakui kurang tidur selepas insiden berkenaan.

"Tak tidur sebab zon masa. Maklumat datang dari pelbagai zon masa. Maklumat yang seperti ini umpama 'roller-coaster' untuk saya. Sebelum nak tidur, orang kata ada tumpahan minyak, esok pagi kata negatif.

Baru nak tidur, kata ada (jumpa) jaket keselamatan, esok bangun kata negatif. Itu yang saya lalui bersama anggota Kabinet khususnya Perdana Menteri," katanya.


Empati beliau terhadap keluarga terbabit diluahkan secara terbuka sebelum ini, dan Hishammuddin berharap waris mereka yang berada dalam pesawat malang itu faham bahawa kerajaan Malaysia sedang berusaha sedaya upaya serta konsisten dalam insiden yang tidak pernah berlaku dalam sejarah penerbangan.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Pada Isnin lepas, iaitu hari ke-17 operasi mencari, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan berdasarkan analisis data satelit Inmarsat dan AAIB United Kingdom, penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".  

Hishammuddin yakin tragedi itu membawa hikmah tersendiri apabila semua rakyat Malaysia, tidak kira agama, bangsa atau fahaman politik bersatu mendoakan yang terbaik dan mempertahan negara apabila 'dihentam' media asing.

Saban hari, laman sosial Hishammuddin, yang juga anak Perdana Menteri Ketiga Malaysia Tun Hussein Onn, 'dihujani' kata-kata semangat meminta beliau tidak berputus asa.

"Kita tengok dalam Twitter, ramai pemimpin pembangkang yang beri kata-kata semangat kepada saya setiap hari. Ini sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Terpulang kepada anda sama ada ingin melihat sesuatu perkara secara positif atau negatif," katanya.


Ironinya, ini bukan kali pertama Hishammuddin 'diuji' dengan kejadian di luar jangka kerana setahun yang lepas, beliau atas kapasiti sebagai Menteri Dalam Negeri berdepan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Menganggap itu sebagai 'asam garam' pekerjaan pilihannya, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, berkata kedua-dua insiden (Lahad Datu dan MH370) membawa cabaran berbeza.        "Ketika kejadian Lahad Datu, kita (Malaysia) tidak mempunyai sokongan dan kepakaran daripada dunia, saya secara peribadi berasa keseorangan dan maklumat yang kita terima tidak boleh dikongsi dengan orang ramai," katanya.

Ini berbeza dengan tragedi MH370 apabila pelbagai negara, tanpa membangkitkan soal kewangan, menawarkan bantuan, menghantar aset terkini dan canggih selain berkongsi maklumat radar hanya untuk mencari MH370.

Ditanya bagaimana beliau melihat beberapa individu mengambil kesempatan daripada tragedi MH370, Hishammuddin berkata beliau kesal dengan kejadian itu namun yakin 'hanya perkara yang baik akan menang di akhirnya apabila kebenaran terbukti'.

"Saya tidak pernah menyesal. Malah saya amat bangga menjadi pemangku Menteri Pengangkutan dan Menteri Pertahanan. Saya bangga dengan pasukan mencari dan menyelamat kita serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Kita berdiri sebagai sebuah bangsa.

"Saya tidak akan putus asa. Semua yang berlaku ada sebabnya. Saya buat yang terbaik dan tawakal kepada Allah," katanya. - Bernama

Sumber

GEMPAR !!! Pasangan Philip Wood percaya pesawat tak terhempas

30 Mac 2014
Sarah Bajc di temubual dalam BBC News.

SHAH ALAM – Pasangan kepada salah seorang penumpang pesawat MH370, Philip Wood iaitu Sarah Bajc percaya pesawat itu tidak terhempas.

Sebaliknya, beliau dalam satu temu bual dengan saluran BBC News merasakan seolah-olah wujud motif lain di sebalik kehilangan pesawat tersebut.

“Setiap jenayah mesti ada niat dan motif di sebaliknya. Ada 30 jurutera pertahanan dalam pesawat itu dengan kemahiran yang unik.

“Mereka boleh menjadi sesuatu yang berharga untuk mana-mana negara yang mencari kelebihan untuk peralatan tentera mereka. Ada banyak motif di sebaliknya, tapi saya tak nampak ada motif untuk seseorang membuatkan pesawat terhempas,” katanya.


Menurut Bajc, beliau tidak memiliki kepakaran dan hanya membuat andaian berdasarkan common sense.

Namun, katanya, pandangan sama juga banyak disuarakan pakar penerbangan dalam laman Facebook yang diwujudkan dengan nama ‘Finding Philip Wood’.

“Kebanyakannya berpandangan pesawat itu dirampas, bukannya terhempas. Jadi saya pelik mengapa usaha pencarian hanya tertumpu di lautan.

“Saya percaya ada sesuatu berlaku disebaliknya dan ramai merasakan kerajaan cuba mengelirukan kami,” katanya.

Sumber

MISTERI !!! Cerita aneh 'penumpang MH370'

29 Mac 2014
Philip Wood

SHAH ALAM – Cerita Philip Wood, seorang eksekutif syarikat komputer IBM yang juga penumpang MH370, yang dikatakan telah menghantar mesej secara rahsia mendakwa pesawat itu dirampas pihak tertentu dan dia kini ditahan di sebuah pangkalan tentera, tidak harus dipercayai.

Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan berkata, dakwaan itu hanya satu usaha memburukkan Malaysia oleh pihak yang mahu masyarakat antarabangsa mempercayai bahawa kerajaan negara ini menyembunyikan maklumat apa yang didakwa sebagai fakta sebenar di sebalik kehilangan MH370.

"Mesej itu dibuat oleh orang. Mustahil dalam tempoh 22 hari, dengan begitu banyak negara terlibat dalam usaha mencari secara besar-besaran, perkara ini boleh disimpan sebagai rahsia. Bagi saya, ini tidak logik. Media asing sengaja membesarkannya sebagai berita sensasi untuk memburukkan imej Malaysia," katanya.


Dalam mesej internet bertarikh 19 Mac lalu, pengirim yang mengaku dirinya 'Philip Wood' itu mendakwa mereka ditahan sepasukan anggota tentera selepas pesawat MH370 dirampas.

'Wood' mendakwa ketika rampasan itu, matanya ditutup dan dia percaya, telah diberikan dadah oleh perampas.

Apa yang lebih mengejutkan, pengirim mesej itu juga mendakwa dia dan penumpang lain ditahan di Pulau Diego Garcia di mana dia ditempatkan dalam sel yang berasingan daripada penumpang lain.

"Saya menyembunyikan telefon di dalam dubur, membolehkan saya menghantar mesej ini," tulis 'Wood'.

'Wood' yang nama itu sememangnya direkodkan sebagai seorang daripada 227 penumpang MH370, rakyat Amerika Syarikat dan merupakan eksekutif kanan IBM berpangkalan di Beijing
sejak dua tahun lalu, menyertai penerbangan MH370 dalam perjalanan pulang selepas menyelesaikan urusan kerjanya di negara ini.

Dia juga memuat naik gambar profilnya yang setelah dikaji, menggunakan perisian tertentu dirakam di Diego Garcia bertarikh 18 Mac 2014.

Orang ramai turut memberi reaksi terhadap mesej yang diragui itu malah, ada yang menganggap tidak masuk akal.

Sumber

Saturday 29 March 2014

Kementerian teliti status jawatan Shalwati



KUALA TERENGGANU 29 Mac - Kementerian Pendidikan masih meneliti status jawatan Shalwati Nor Shal, guru yang bercuti tanpa gaji mengikut suaminya bertugas di Sweden sebelum dikenakan hukuman penjara di negara berkenaan kerana mendera anak mereka.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya memahami bebanan yang dihadapi Shalwati, 46, selaku penjawat awam dan kerajaan akan membantu sedaya upaya kerana kes ini melibatkan perundangan berkaitan perkhidmatan awam.


"Saya perlu lihat bentuk perundangan dan pandangan daripada pakar undang-undang terlebih dahulu. Kita akan cuba untuk mengurangkan beban mereka itu sebagai rakyat negara kita yang dihukum di luar negara.

"Ini merupakan perkara baharu yang perlu kita selesaikan kerana dia dihukum di luar negara dan kita lihat apakah pertimbangan-pertimbangan yang mustahak agar tidak membebankannya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Pengajian Tinggi Negara (KPTN) ’Jom Masuk U’ kali ke-10 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini. - BERNAMA ONLINE

Sumber

GEMPAR !!! Cari pemilik Toyota Vios biadab buang Yasin


Gambar Hiasan

KEMAMAN – Seorang pemandu kereta yang dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu bertindak biadab kerana dipercayai membuang beberapa naskhah surah Yasin, kelmarin.

Perbuatan pemandu yang menaiki kereta jenis Toyota Vios berwarna merah jambu itu dilihat seorang jurutera dari sebuah syarikat di Kerteh yang juga dalam perjalanan ke arah Kuala Terengganu bersama keluarganya.

Ketika dalam perjalanan, jurutera berusia 29 tahun itu terkejut apabila ternampak senaskhah surah Yassin di tepi jalan di Kilometer 114 Jalan Kuala Terengganu-Kerteh pada jam 6.15 petang sebelum bertindak memberhentikan kenderaan dan mengambil surah Yasin itu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, pengadu tersebut kemudian meneruskan perjalanan dan setibanya di stesen minyak Petronas Paka di Dungun, dia ternampak sebuah Toyota Vios membuang sesuatu di tepi jalan dalam jarak tiga kenderaan dari keretanya.

Menurutnya, pengadu memperlahankan keretanya dan mendapati barang yang dibuang itu adalah surah Yasin, namun pengadu tidak dapat memberhentikan keretanya berikutan jalan sesak.

“Ketika tiba di Kampung Nyior, Paka, sekali lagi pengadu lihat pemandu kereta Vios itu membuang sesuatu dari keretanya, jadi pengadu memberhentikan keretanya di tepi jalan dan mendapati barang itu adalah tiga surah Yasin.

“Pengadu kemudian membuat laporan di Balai Polis Dungun,” katanya.

Selain pengadu, polis juga menerima aduan pada jam 7.30 petang daripada orang awam di Kuala Dungun yang turut melihat kereta sama membuang surah Yasin di tepi jalan.

Beliau berkata, hasil semakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kereta tersebut didaftarkan atas nama seorang bekas tentera yang beralamat di Jasin, Melaka.

“Selepas dihubungi, penama berkenaan mengaku kereta itu miliknya, namun ditarik bank Kuala Lumpur dua tahun lalu dan rakannya telah membayar tunggakan bank.

“Jadi kereta itu dijual atau diserah kepada rakannya secara sambung bayar ansuran sehingga sekarang tanpa tukar hak milik,” katanya.

Sehubungan itu, Che Suza berkata, pihaknya kini sedang mengesan pemilik semasa kereta terbabit untuk membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Sumber

GEMPAR !!! Produk Lynas bertabur atas jalan



Satu kemalangan yang membabitkan sebuah lori yang membawa produk nadir bumi Lynas, mengakibatkan ia bertabur atas jalan persekutuan Kuala Lumpur-Kuantan di Lanchang, Pahang, pagi ini dan ditutup kepada lalulintas.


Ketua Polis Daerah Temerloh, Abdul Aziz Salleh berkata pihak berkuasa menerima laporan mengenainya pada jam 9 pagi ini dan ia berlaku di kilometer 149 jalan tersebut berhampiran Lanchang.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, beliau berkata lori itu membawa 15 bekas berisi cecair kimia, iaitu PrND Chloride, dan 13 daripadanya bertaburan di atas jalan raya.

Beliau berkata, empat daripadanya pecah dan menyebabkan cecair kimia tumpah ke atas tanah.


Apabila ditanya sama ada cecair kimia itu dianggap berbahaya,  Abdul Aziz berkata ia adalah "tidak begitu berbahaya" tetapi akan berasa gatal jika menyentuhnya.

Katanya lagi, cecair itu tidak boleh masuk ke dalam air dan jika ia masuk ke dalam sungai, ikan di dalamnya mungkin mati, tetapi menurutnya tidak ada sungai di situ.


Beliau berkata tempat itu dineutralkan oleh sepasukan pakar dari Lynas dan juga Pasukan Khas Penyelamat dan Bantuan Bencana Malaysia (SMART).

Abdul Aziz berkata, kemalangan itu mungkin disebabkan oleh kecuaian pemandu yang tidak mengikat dengan baik barang-barang tersebut.

Katanya, pihak polis akan menyiasat kes itu mengikut peraturan 19 Peraturan Lalulintas 1959 (barang muatan jatuh dari kenderaan).


Bagaimanapun, pengurus besar perhubungan awam komunikasi Lynas
Malaysia, Amin Abdullah menegaskan bahawa produk nadir bumi itu selamat dan tiada radioaktif.

"Kami tidak tahu sama ada pemandu itu memandu laju atau sebab-sebab lain," katanya sambil menambah kemalangan yang berlaku pagi ini tidak mengakibat kecederaan atau maut.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Amin berkata, produk tersebut tidak berbahaya dan ianya disahkan selamat untuk diangkut ke luar negara dan semua sijil ada.

Ketika diminta mengulas kenyataan polis bahawa cecair itu boleh membunuh ikan, Amin enggan mengulas kerana beliau mendakwa tidak mempunyai maklumat tersebut.

"Jika anda berkata produk ini akan menyebabkan kegatalan pada kulit manusia, maka seseorang yang sensitif juga akan berasa gatal selepas mereka makan udang," katanya.

Menurut Amin, lori itu membawa produk tersebut dari loji Lynas di zon perindustrian Gebeng, dekat Kuantan, ke Pelabuhan Klang untuk dieksport kepada pelanggan luar negeri.

Beliau juga menerangkan bahawa ia bukan merupakan hasil akhir kerana pelanggan mereka perlu memprosesnya semula.

Tambahnya, lori itu bukan milik Lynas tetapi dari sebuah syarikat pengangkutan dan pasukan keselamatan, kesihatan dan alam sekitar telah dihantar ke tempat kejadian untuk membersihkan cecair tersebut.

Sumber

AZIZUL dipenjara 10 bulan, SHALWATI 14 bulan

28 Mac 2014
Shalwati dan suaminya, Azizul Raheem.

KUALA LUMPUR - Mahkamah Daerah Solna di Stockholm menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan ke atas Pegawai Tourism Malaysia di Sweden Azizul Raheem dan 14 bulan terhadap isterinya, Shalwati Norshal kerana mendera anak-anak mereka pada Disember tahun lepas.

Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam) Datuk Khairul Anwarm Rahmat, ketika dihubungi hari ini, mengesahkan perkara itu.

Katanya, beliau dimaklumkan perkara itu oleh wakil Sukaguam yang hadir di mahkamah ketika prosiding jatuh hukum terhadap pasangan berkenaan pada kira-kira 6 petang (waktu di Stockholm 11 pagi).

Khairul berkata pasangan itu berdepan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum enam tahun dan berdasarkan perkembangan terkini, mereka dijangka bebas hujung tahun ini.

Kedua-duanya ditahan reman sejak 18 Disember lepas.

Beliau berkata Sukaguam akan menasihati anggota keluarga serta kerajaan Malaysia untuk mengemukakan rayuan.

Khairul berkata di bawah undang-undang Sweden, Azizul dan Shalwati mempunyai tempoh tiga minggu untuk memfailkan rayuan.

Shalwati dan Azizul didakwa mengasari dan mencabuli integriti anak-anak mereka dengan memukul serta mendera kanak-kanak terbabit di kediaman pasangan itu di Spånga antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013.

Shalwati, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji, dan suaminya ditahan reman selepas memukul tangan seorang anak mereka kerana tidak bersolat.


Keempat-empat anak pasangan itu, Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, 7, yang sebelum ini ditempatkan di bawah jagaan keluarga angkat bukan beragama Islam di Sweden kerana kes itu, telah diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di Stockholm pada 30 Januari lepas.

Kesemua anak pasangan itu pulang ke Malaysia pada 31 Jan lepas dan kini dijaga oleh bapa dan emak saudara mereka di Kelantan.

Sementara itu, mengikut kenyataan akhbar yang dimuat naik ke laman sesawang Mahkamah Daerah, Hakim Mattias Moller dipetik sebagai berkata Shalwati didapati bersalah mencabuli integriti anak perempuan dan anak lelaki sulungnya selain mendera dua lagi adik lelaki mereka.

Azizul pula didapati bersalah mencabuli integriti anak lelaki sulungnya dan mendera anak perempuan serta anak lelaki kedua.

Bagaimanapun, dia dibebaskan daripada sebarang pertuduhan berkaitan anak bongsunya.

Pasangan itu juga diarah membayar ganti rugi kepada anak-anak mereka berdasarkan sabitan mahkamah.

Menurut kenyataan itu lagi, Moller berkata keganasan yang dilakukan pasangan itu secara relatif adalah kecil namun pertuduhan terhadap mereka membaitkan perlakuan keganasan yang sistematik dan berulang.

"Kebanyakan keganasan itu dilakukan dengan tangan namun sebatang rotan dan penyangkut baju turut digunakan," katanya.

Mahkamah itu turut memutuskan bahawa keterangan anak-anak pasangan itu boleh dipercayai dan tiada bukti yang menunjukkan mereka ingin mendatangkan mudarat kepada ibu bapa mereka dengan mereka maklumat tidak benar serta menyerahkannya kepada polis.

Moller juga berkata meskipun tiada sokongan dalam bentuk pemerhatian perubatan, butiran yang diberikan kanak-kanak berkenaan disahkan oleh keterangan saksi pendakwaan berdasarkan apa yang diberitahu anak-anak pasangan itu kepada mereka. - Bernama

Sumber

Friday 28 March 2014

GEMPAR !!! Pemain golf Australia tarik diri di saat akhir naik MH370



MELBOURNE 28 Mac - Cabutan undian menyaksikan seorang pemain golf profesional Australia Wayne Perske menarik diri di saat-saat akhir daripada menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, lapor akhbar The Sydney Morning Herald.

Pemain berusia 39 tahun dan bapa kepada dua orang anak dari Brisbane itu sepatutnya menaiki pesawat tersebut dari Kuala Lumpur ke Beijing untuk menyertai kelayakan PGA China.


Namun semasa di Kuala Lumpur, dalam tempoh 24 jam sebelum berlepas, beliau diberitahu beliau diundi untuk terbang pada minggu kedua kelayakan, dan bukan di minggu pertama.

Beliau kemudiannya pulang ke Brisbane.

"Hampir-hampir menemui malang," katanya membuat Tweet pada 8 Mac, hari pesawat itu hilang.

Perske memberitahu radio 2UE di Sydney pagi ini beliau merasa sangat bertuah berada di rumah bersama keluarganya. - BERNAMA

Sumber

'TURN BACK': Abd Rahim akui kenyataan tidak tepat

27 Mac 2014

SHAH ALAM - Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abd Rahim Bakri mengakui, kenyataan beliau yang mengatakan MH370 berpatah balik (turn back) berkemungkinan setelah menerima arahan dari pusat kawalan adalah tidak tepat.

 “Saya ingin menjelaskan bahawa ia hanya merupakan andaian saya semata-mata serta kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku.

 “Selepas membuat semakan, saya ingin tegaskan bahawa andaian saya adalah tidak tepat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Semalam, ketika perbahasan di Parlimen Abd Rahim berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM ) tidak mengambil tindakan terhadap MH370 yang membuat  turn back ketika melalui ruang udara Selat Melaka kerana menyangka ia arahan daripada menara kawalan udara (ATC), Subang.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan daripada Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut) yang mempersoalkan tindakan Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud memaklumkan ada berlaku ‘turn back' sehari selepas kehilangan MH370.

Sumber

MH370: 300 imej baru dari Thai mungkin mampu beri sasaran lebih jelas kepada SAR



KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif Agensi Maklumat Geo dan Pembangunan Teknologi Angkasa Thailand (GISTA), Dr Anond Snidvongs berkata 300 imej baru yang dikesan Thailand baru-baru ini berkemungkinan boleh memberikan sasaran yang lebih jelas kepada usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 melalui udara.

Bagaimanapun kata beliau, penemuan objek menerusi imej-imej tersebut adalah bergantung kepada nasib kerana cuaca di selatan Lautan Hindi tidak begitu baik sejak beberapa hari lepas sehingga menyebabkan operasi pencarian tergendala.


Meskipun begitu, Dr Anond berkata terdapat peluang untuk objek-objek tersebut dikaitkan dengan imej-imej yang dikesan sebelum ini dan juga serpihan pesawat Boeing 777-200 yang hilang sejak 8 Mac itu.

"Ada peluang tetapi ia amat sukar untuk menentukan sama ada ianya objek yang sama atau tidak. Kami harap supaya imej-imej itu dapat diperolehi bukan sahaja dari satelit kami sendiri tetapi satelit lain juga," katanya ketika satu temubual atas talian dalam program Agenda AWANI, pada Khamis.


Imej satelit Thai telah mengesan sebanyak 300 objek terapung di selatan Lautan Hindi ketika operasi pencarian pesawat MH370, kata seorang pegawai pada Khamis.

Menurut GISTA, objek-objek yang berukuran di antara dua hingga 15 meter itu bertebaran di sekitar 2,700 barat daya Perth.

Anond Snidvongs memberitahu AFP, maklumat-maklumat tersebut telah pun diserahkan kepada Malaysia.

Jelasnya, imej-imej itu telah diambil oleh satu-satunya satelit pemerhati bumi Thailand, Isnin lalu, tetapi memerlukan beberapa hari untuk diproses.

Katanya objek-objek tersebut telah dikesan kira-kira 200 kilometer dari kawasan tumpuan satelit Perancis sebelum ini dalam usaha mereka mencari pesawat tersebut.

Sumber

Thursday 27 March 2014

F1 ::: K L Hari ini !!!

Hari ini Admin Pentas Malaya ingin membawa anda di KL dan di Luar KL yang tak dapat ke KLCC semasa cuti sekolah ini. Terdapat pameran dari Team F1 Mercedes Petronas. Di bawah adalah gambar sebahagian daripada KLCC! 











INFO GRAFIK : Petunjuk Satelit Perancis





Info Grafik : Kaedah Abad ke-19




TRAGEDI MH370: SAYU, AYAH MASIH HIDUP - AHMAD SETH ZAHARIE


AHMAD Seth bersama kakak, Aishah (kiri) serta ibu, Faizah Khanum Mustafa Khan.

Subang Jaya: “Selagi tidak tengok dengan mata saya sendiri serpihan atau bukti pesawat berkenaan terhempas, saya percaya ayah masih hidup,” jelas anak bongsu juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah.

Ahmad Seth Zahari, 26, berkata, dia tidak terkejut apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan perjalanan MH370 yang sepatutnya tiba di Beijing berakhir di selatan Lautan Hindi memandangkan pesawat berkenaan sudah lebih dua minggu dilaporkan hilang.

“Saya tenang dan tidak terkejut. Itu yang boleh saya katakan sebaik mendapat berita perjalanan MH370 yang dikendalikan ayah berakhir di selatan Lautan Hindi.


“Ini mungkin kerana naluri saya kuat mengatakan ayah masih hidup. Walaupun saya tahu peluang itu (masih hidup) tipis tetapi selagi tiada bukti menunjukkan perkara itu, saya rasakan yang ayah masih ada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Subang Jaya, kelmarin.

Walaupun bersikap tenang, namun riak wajah pelajar sebuah kolej bahasa asing itu gagal menyembunyikan seribu kesedihan kerana selepas 18 hari, misteri kehilangan pesawat dikendalikan bapanya belum menemui sebarang jawapan yang pasti.

Sumber

"Papa pergi work, tapi kapal terbang papa rosak, papa tak balik," terang Intan pada anak



KUALA LUMPUR: "Papa pergi work, tapi kapal terbang papa rosak,papa tak balik,papa di syurga,kalau nak papa kena baca doa selalu...''

Bait-bait ayat Intan Maizura Otheman, isteri kepada pramugara Hazrin Mohamed Hasnan kepada anaknya, Iman ketika di tangga rumahnya benar-benar meruntun jiwa.

Iman yang berusia dalam lingkungan tiga tahun mengangguk-angguk seakan benar-benar faham keperitan ditanggung ibunya sejak hari pertama pesawat MH370 hilang 8 Mac lalu.

Sebelum itu anak kecil ini dilihat hanya berdiri di tangga dan tidak berkelip matanya memandang ramainya tetamu di rumahnya sepanjang semua membaca surah Yassin dan menunaikan solat hajat.

Kuatnya hati, jiwa dan semangat Intan yang mengandung anak ketiga yang bakal melihat dunia dalam masa kurang dua bulan lagi tidak dapat dizahirkan dengan apa-apa perkataan juga di dunia ini.

Semua yang menghadiri majlis bacaan Yassin dan solat hajat di kediamannya di Kota Kemuning kagum dengan ketabahan ditunjukkan Intan juga rakan-rakan Hazrin yang lebih senang dipanggil Rain.


Sepanjang majlis, Intan tidak lepas didakap rakan-rakan yang memberi semangat serta kata-kata menuntut ketabahan wanita ini berterusan.

Utuhnya kepercayaan wanita ini kepada realiti serta qada dan qadar yang ditentukan Allah.

"Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

"(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.'' - Al-Hadid 22-23.

Esakan perlahan Intan yang duduk di bahagian belakang pada saat bacaan Yassin bergema di rumahnya masih dapat didengari. Allah maha mendengar permintaan hamba-Nya yang meminta dan seluruh negara memohon serta mengharapkan pengakhiran yang baik pada tragedi MH370 ini.

"Saya akan move on, saya redha apa yang terjadi, saya akan besarkan anak-anak dan jika benar dia (Hazrin) bersemadi di Lautan Hindi, tenanglah dia di sana.''

Duka Intan sama sedihnya dengan semua keluarga penumpang MH370 lain. Pilu Intan tidak ada bezanya dengan mereka yang terlibat dalam tragedi ini.

Menceritakan saat-saat akhir Intan menghantar Hazrin ke tempat kerja pada hari kejadian, katanya tidak ada sebarang kelainan yang ditunjukkan.

Seperti biasa bersalaman dan ungkapan "I love you'' menjadi tiga perkataan terakhir sebelum berpisah seolah-olah masih terngiang-ngiang di telinganya.

Intan mengakui sejak malam sidang media khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 berhenti di Lautan Hindi, fasa baru hidupnya bermula.

Melalui detik paling pedih dalam hidup, kehilangan suami yang juga `buddy' (kawan baik) menjadikan Intan menjadi lebih tabah dalam membesarkan anak selain jauh di dalam hati, masih ada sekelumit harapan menanti kepulangan Hazrin.


Rentetan meluahkan sejujur-jujurnya apa yang dirasa di dalam media sosial termasuk impian menjadi ketua bidadari di syurga, itu sudah cukup meruntun hati jutaan rakyat negara ini yang tidak berhenti berdoa masih menyimpan ada harapan untuk sesuatu perkara positif di akhir kisah tragedi ini.

"Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) - berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui.

"Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi..'' - Yaasin 81-82.


Hanya kira-kira lima soalan yang dilontar pemberita pada malam solat hajat di kediaman Intan pada malam Khamis ini.

Soalan yang diaju lebih berkisar menuntut jawapan peribadi dan tabahnya Intan menjawab satu demi satu pertanyaan dengan cukup menyakinkan, wanita ini benar-benar sudah bersedia mengharung fasa demi fasa masa dan apa juga yang akan berlaku di hadapannya.

Cuma pada soalan keempat yang bertanya apa penjelasan diberi kepada anaknya terhadap kehilangan papa, tiba-tiba Iman datang dan duduk di pangkuan, pada saat dikatakan `aeroplane' papa rosak dan papa tidak akan balik rumah, mata Intan mula berkaca kembali dengan jernih air mata kasih seorang mama.

Sumber