Thursday 29 May 2014

Raja Nazrin dimasyhur sebagai Sultan Perak

Sumber Gambar facebook

Raja Dr Nazrin 

KUALA KANGSAR - Raja Dr Nazrin Shah ditabalkan sebagai Sultan Perak yang baharu menggantikan Almarhum Ayahandanya, Sultan Azlan Shah.

Pemasyhurhan itu diumumkan sebentar tadi oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin pada Istiadat pelantikan dan Pengisytiharan Sultan Perak di Balairong Seri Istana Iskandariah, di sini.


Nazrin ditabalkan sebagai Sultan Perak yang ke-35 bagi menggantikan Almarhum Sultan Azlan Shah yang mangkat jam 1.30 petang semalam.

Baginda yang berusia 58 tahun merupakan putera sulung Almarhum Sultan Azlan Shah. - SH

Jenazah Almarhum Sultan Perak selamat dimakamkan


KUALA KANGSAR - Jenazah Sultan Perak Almarhum Sultan Azlan Shah selamat dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar di sini pada 6.40 petang.

Jenazah baginda disemadi di antara makam Sultan Idris II dan Raja Ashman Shah.
 
Keadaan cuaca mendung dan suasana sedih menyelubungi kerabat Diraja, orang kenamaan dan rakyat jelata yang mula membanjiri pekarangan masjid seawal 1.30 tengah hari.
 
Jenazah Almarhum tiba di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan di sini dengan pedati khas 'Seraja Diraja' berwarna kuning pada 4.30 petang untuk disembahyangkan.
 
Pedati khas itu diusung 40 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia secara bergilir-gilir sejauh kira-kira dua kilometer dari Istana Iskandariah. Sebanyak 86 das tembakan dilepaskan ke udara daripada dua meriam oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja sepanjang tempoh jenazah Almarhum dibawa ke masjid.
 
Ribuan rakyat jelata beratur di sepanjang jalan ke masjid berkenaan bagi melihat jenazah Sultan yang dikasihi buat kali terakhir.

Selepas disembahyangkan, jenazah Almarhum dibawa ke Makam Diraja yang terletak bersebelahan masjid berkenaan untuk istiadat pemakaman.

Solat jenazah diimamkan oleh Imam masjid berkenaan iaitu Ustaz Mohd Helmi Ibrahim manakala talkin dibaca oleh Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Doa pula dibaca oleh Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan Datuk Dr Muhammad Afifi Al-Akiti.


Permaisuri Tuanku Bainun mendahului keluarga Diraja menjirus air mawar dan menabur bunga di makam Almarhum dengan diiringi bacaan selawat.

Ini diikuti Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Tuanku Zara Salim, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Perak Raja Normahani Shahar Shah.
 
Ia seterusnya diikuti Raja Kecil Besar Perak Raja Iskandar Zulkarnain dan isteri Datuk Seri Diraja Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah serta kerabat Diraja dan pembesar-pembesar.
 
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut menjirus air mawar dan menabur bunga di makam baginda.
 
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Puhat Mat Nayan dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak Datuk Mohd Yusop Husin, pemimpin kerajaan, kerabat diraja serta pembesar-pembesar.
 
Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada 1.30 tengah hari semalam.  - Bernama

Istiadat pelantikan Sultan Perak baharu hari ini


Istana Iskandariah, Kuala Kangsar

IPOH - Istiadat pelantikan dan pengisytiharan Sultan Perak yang baharu akan diadakan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada petang ini.

Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayob Hashim berkata, istiadat tersebut akan dijalankan sebelum istiadat pengebumian jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah, yang mangkat semalam.

Beliau berkata satu mesyuarat khas Dewan Negara Perak diadakan lewat petang semalam bagi menentukan pengganti Sultan Azlan Shah untuk menerajui takhta pemerintahan negeri Perak.


Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin akan mempengerusikan mesyuarat tersebut yang berlangsung di Istana Iskandariah,  katanya.

Mesyuarat khas itu diadakan berdasarkan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Bahagian Yang Kedua yang terkandung dalam Fasal LXIII yang antara lain menetapkan Dewan Negara hendaklah bermesyuarat di Kuala Kangsar dalam tempoh dua puluh empat jam daripada kemangkatan seorang Raja Pemerintah.

Ayob berkata istiadat pelantikan dan pengisytiharan Sultan Perak yang baharu  akan berlangsung selepas orang ramai dan kenamaan menziarahi serta beri penghormatan terakhir buat Almarhum Sultan Azlan Shah. - Bernama

Wednesday 28 May 2014

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mangkat


Sultan Azlan Shah Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah

IPOH - Sultan Perak, Sultan Azlan Shah Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah diumumkan mangkat sebentar tadi.

Almarhum yang berusia 86 tahun mangkat pada jam 1.38 petang sebentar tadi.

Kemangkatan Paduka Seri Sultan diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry secara langsung melalui RTM, sebentar tadi.

Beliau mengisytiharkan seluruh negeri berkabung selama 100 mulai hari ini dan kerajaan meminta semua pihak mengibarkan bendera separuh tiang sepanjang tempoh itu. - Sinar Harian

Sunday 25 May 2014

Keputusan terkini Anugerah Bintang Popular



BERIKUT ialah keputusan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2013)


1. Artis Baru Lelaki Popular - Achey
2. Artis Duo/Berkumpulan Popular – Stacy & Akim
3. Artis Komedi Wanita Popular – Jihan
4. Chef Selebriti Paling Popular – Chef Wan
5. Gandingan Serasi Di Layar – Zara Zya & Azlee Khairi
6. Pelakon TV Lelaki Popular – Shah Iskandar
7. Penyampai Radio Wanita Popular – Fara Fauzana
8. Artis Berpengaruh di Laman Sosial – Datuk Siti Nurhaliza
9. Penyampai Radio Lelaki Popular – Johan
10. Pengacara TV Wanita Popular – Neelofa.
11. Watak Jahat Dalam Drama/Filem Popular – Sofi Jikan
12. Artis Komedi Lelaki Popular – Jepp
13. Pelakon TV Wanita Popular – Siti Saleha
14. Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat – Dato’ Rahim Razali
15. Pelakon Filem Wanita Popular – Siti Saleha
16. Penyanyi Lelaki Popular – Hafiz
17. Pelakon Filem Lelaki Popular – Aaron Aziz
18. Penyanyi Wanita Popular - Stacy
19. Artis Lelaki Stailo – Awal Ashaari
20. Aksi YouTube Paling Popular – Mat Luthfi
21. Anugerah Bintang Paling Popular – Aaron Aziz

-Sinar Harian

SEDIH !!! Lima beradik jadi yatim piatu


Motosikal mangsa dirempuh lori dari belakang dan kedua suami isteri maut digilis.

Kuala Lumpur - Lima beradik hilang tempat bergantung apabila ibu bapa mereka maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Loke Yew, di sini kira-kira jam 8 pagi, semalam.

Bapa mereka yang maut dikenali sebagai Jefri Mohd Zain, 50, dan isterinya, Norsalawati Ibrahim, 40, dalam perjalanan ke tempat kerja apabila terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa mereka.

Pemangku Pegawai Turus Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Mohd Fadhli Daud berkata, siasatan mendapati pasangan itu dipercayai dirempuh oleh sebuah lori dari arah belakang selepas motosikal mereka terbabas ketika melalui jalan tersebut.

"Lori berkenaan menggilis tubuh  mangsa. Mangsa cedera parah di kepala dan badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu lori pula terus meninggalkan tempat itu dan gagal dikesan,” katanya.

Mohd Fadhli berkata, sehubungan itu polis berusaha mengesan pemandu lori berkenaan.

Pada masa sama, katanya, saksi kejadian sudah dipanggil memberi keterangan.

“Kita masih menyiasat punca kejadian. Kes disiasat di bawah seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurutnya, mayat suami isteri itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat, dan waris mangsa juga sudah dimaklumkan berhubung kejadian berkenaan.


Sementara itu,  adik Jefri,  Zaina Mohd Zain, 40, berkata, dia mendapat tahu mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan oleh jirannya kira-kira jam 10 pagi.

“Saya hubungi  polis bagi mendapatkan kepastian. Selepas itu, saya meminta pertolongan jiran untuk mengambil anak arwah yang berada di sekolah dan saya terus bergegas ke HKL.

“Anak-anak mereka hanya dimaklumkan mengenai kejadian ketika mereka dibawa pulang ke Kampung Changkat Sulaiman, Sungkai, Perak," katanya.

Zaina berkata, sebelum itu, Jefri yang bekerja sebagai juruteknik dalam perjalanan dari rumahnya di Pangsapuri Taman Desa Cheras, manakala tempat kerja isterinya adalah di kilang berhampiran di Jalan Chan Sow Lin.

Difahamkan jenazah suami isteri itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Sungkai, Perak.

Lima anak yang mereka tinggalkan itu berusia dari dua  hingga 16 tahun. - Sinar Harian

Saturday 24 May 2014

PANDA !!! Dakwaan panda bazir wang rakyat tak masuk akal



TANGKAK - Pendapatan hasil jualan tiket bagi menyaksikan pasangan beruang panda China, Fu Wa dan Feng Yi, di Zoo Negara boleh mencecah RM1 bilion dalam tempoh 10 tahun berbanding keseluruhan kos penjagaan hanya RM100 juta.

Timbalan Menteri Perdagangan, Antarabangsa dan Industri Datuk Ir Hamim Samuri berkata anggaran berkenaan jelas menolak dakwaan pembangkang bahawa usaha kerajaan membawa masuk pasangan panda tersebut yang dipinjamkan oleh kerajaan China sebagai membazirkan wang rakyat.

"Kerajaan hanya membayar RM10 juta daripada RM100 juta itu untuk membeli makanan yang diimport dan menyelenggara alat hawa dinginnya.

"Bakinya dibiayai oleh syarikat-syarikat korporat," kata Hamim berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Pegawai Masjid dan Surau Cawangan Ledang, di sini, hari ini.


Hamim berkata beliau kesal kerana kesediaan kerajaan China meminjamkan pasangan panda itu dijadikan isu oleh calon DAP dalam kempen Pilihan Raya Kecil Teluk Intan.

Katanya, pembangkang tidak sedar bahawa tidak semua negara mendapat penghargaan dari China kecuali negara yang mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan yang baik dengan negara tersebut.

"Dagangan Malaysia ke China kini sudah melebihi RM100 juta setahun dan dianggarkan akan mencecah RM1 trilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Ini semua adalah kerana hubungan baik antara dua negara yang bermula sejak 40 tahun lalu," katanya. - Bernama

RESCUE !!! Tentera Laut AS temui badan kapal hilang


Badan Kapal Layar UK Cheeki Rafiki yang terapung di permukaan air. - Foto ehsan BBC

LAUT ATLANTIK – AMERIKA SYARIKAT. [DIKEMASKINI] Sebuah kapal perang Tentera Laut Amerika Syarikat dilaporkan menemui badan kapal layar UK Cheeki Rafiki yang hilang sejak 15 Mei lalu di utara Laut Atlantik, semalam.

Menurut pengawal pantai AS, perenang pasukan penyelamat telah mengetuk badan kapal untuk memastikan mangsa masih hidup namun tiada jawapan.

“Rakit keselamatan yang ada di dalam kapal tersebut tidak digunakan dan masih dalam keadaan baik,” katanya yang dipetik portal BBC, hari ini.

Difahamkan, kapal  tersebut dilayari oleh empat kru iaitu Paul Goslin, 56, dari West Camel, Somerset; Steve Warren, 52, dari Bridgwater, Somerset; Andrew Bridge, 22, dari Farnham, Surrey; dan James Male, 22, dari Romsey, Hampshire.


Kapal layar tersebut sedang dalam perjalanan pulang dari Antigua ke Britain selepas menyertai Minggu Pelayaran Antigua di St. Paul pada 15 Mei lalu.

Operasi menyelamat yang melibatkan dua pesawat dan dua kapal air dikerah sebaik sahaja hubungan komunikasi kapal tersebut dan menara kawalan terputus.

Dalam pada itu, keluarga mangsa yang telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa kekal bertenang sebaik sahaja menerima berita tragedi tersebut.

“Kami tahu mereka masih hidup di luar sana, sebagai ahli keluarga, kami harus sentiasa berfikiran positif,” kata salah seorang ayah mangsa, Graham Male.

Penemuan pasukan penyelamat mendapati tingkap badan kapal tersebut telah pecah dan kabin kapal layar tersebut telah dipenuhi air. - Sinar Harian

GEMPAR !!! Cadbury tarik balik dua produk positif DNA babi



SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Syarikat pengeluar produk berasaskan coklat, Cadbury Dairy Milk hari ini menarik balik dua produknya yang didakwa mengandungi DNA babi serta-merta.

Antara produk terbabit ialah Hazelnut Cadbury Dairy Milk dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond.

Tindakan itu dibuat susulan daripada penemuan DNA babi (porcine) yang terdapat dalam produk Coklat Susu Cadbury dengan Kacang Hazelnut dan Coklat Susu Cadbury dengan Kacang Badam oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Dalam satu kenyataan hari ini, Cadbury Confectionary Malaysia Sdn Bhd memberi jaminan akan menarik semula produknya dari pasaran dengan serta-merta.

Menurut kenyataan itu, tiada coklat Cadbury dipengaruhi oleh ujian tersebut.

Dalam pada itu, pihaknya sedang menjalankan kajian penuh rantaian bekalan bagi memastikan semua standard kualiti terus dipenuhi.

"Kami memberi jaminan kepada pengguna kami bahawa coklat Cadbury yang dikeluarkan oleh Malaysia adalah disahkan halal oleh Jakim termasuk lokasi dan bahan mentah yang digunakan dalam pengeluaran produk tersebut.

"Kami menggunakan prosedur kualiti yang ketat untuk memastikan bahawa produk kami mematuhi standard tertinggi kualiti dan keselamatan kami," katanya.

Pendedahan itu dibuat KKM dan mengesahkan bahawa dua dari tiga sampel Coklat Cadbury yang diambil telah diuji dan didapati positif porcine. - Sinar Harian

GEMPAR !!! DNA babi dalam produk coklat susu dikesan


Kementerian Kesihatan Malaysia

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan penemuan DNA babi (porcine) dalam produk makanan Coklat Susu dengan Kacang Hazelnut dan Coklat Susu dengan Kacang Badam jenama Cadbury Dairy Milk.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan analisis yang diambil dari tiga sampel, dua daripadanya didapati mengandungi porcine manakala satu lagi produk iaitu Coklat Susu Cadbury Dairy Milk Chocolate dikesan tidak mengandungi DNA tersebut.

"Ini bertujuan untuk melindungi orang awam daripada bahayanya dari segi kesihatan dan penipuan pada penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Dalam pada itu, pihak pengeluar produk, Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd memberi jaminan untuk menarik balik produk terbabit dari pasaran dengan serta-merta.

"Kami ingin menasihatkan orang ramai supaya membaca nombor kelompok (batch no.) pada label produk sebelum membeli atau memakannya," jelasnya.

Orang ramai dan pengguna boleh merujuk laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) di http://fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq untuk sebarang soalan dan pertanyaan.- Sinar Harian

GEMPAR !!! Sijil halal 2 produk Cadbury ditarik balik


Datuk Othman Mustapha

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengambil keputusan menarik balik sijil halal bagi kedua-dua produk Cadbury yang mengandungi DNA babi serta-merta.

Menurut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha, siasatan lanjut akan dibuat untuk mengenal pasti punca pencemaran tersebut.

"Kami ingin menegaskan bahawa pensijilan halal Malaysia adalah melibatkan proses pengauditan dan pemeriksaan ketat merangkumi penilaian bahan ramuan, kaedah pemprosesan, peralatan yang digunakan, termasuklah pengujian makmal berdasarkan Standard Halal Malaysia dan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Mengulas lanjut, selepas sijil pengesahan halal, pemeriksaan akan dibuat secara berkala terhadap syarikat pengeluar produk berkenaan.

"Pemantauan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa, sekiranya terdapat sebarang perlanggaran ke atas mana-mana produk atau ketidakpatuhan terhadap syarat-syarat persijilan, pihak kami akan menarik semula atau menggantung sijil halal terhadap produk tersebut," katanya. - Sinar Harian

Tuesday 6 May 2014

HARTA KARUN !!! Kontraktor nafi sengaja letak syiling


Antara gambar tersebar di internet, kononnya harta karun yang ditemui di Pulau Nangka, Melaka.

MELAKA - Syarikat kontraktor yang bertanggungjawab mencari dan mengeluarkan harta karun di Pulau Nangka, Smart Partnership International (M) Sdn Bhd, menafikan sengaja meletakkan dua  keping syiling di kawasan pencarian supaya kontrak yang sepatutnya berakhir 30 April lalu, disambung semula.

Pengarah Urusannya, Mohammad Foad Khushairy Mohd berkata, syiling itu memang ditemui pekerjanya ketika kerja penggerudian bongkah batu di kawasan pencarian.

Katanya, penemuan itu turut  disaksikan banyak pihak, termasuk wakil Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan media yang membuat liputan.

“Tuduhan mengatakan kami sengaja meletakkan dua keping syiling itu tidak benar. Malah, saya menafikan ia dibawa dari luar,” katanya.

Menurutnya, sejak dua syiling berkenaan ditemui pada malam 30 April lalu, banyak maklum balas daripada pelbagai pihak tertera pada laman sosial yang meragui kesahihannya.

Malah, katanya, ada yang berpendapat syiling seumpama itu mudah diperolehi dan banyak dijual menerusi internet.

Mohammad Foad berkata, dua syiling itu sudah pun diserahkan kepada Perzim bagi tujuan kajian.

“Saya sudah serahkan kepada Perzim untuk memutuskan kesahihannya dan keputusan ujian makmal akan menentukan sama ada ia benar-benar dari kawasan itu atau tidak.

“Saya harap orang ramai tunggu hasil kajian berkenaan sebelum membuat sebarang andaian,” katanya pada di pulau berkenaan, semalam.


Sementara itu, Mohammad Foad menafikan beberapa gambar harta karun yang tersebar di internet ditemui di Pulau Nangka sewaktu kerja pencarian.

“Saya tegaskan, setakat ini hanya dua keping syiling ditemui sepanjang tempoh pencarian dan gambar tersebar di internet itu tidak benar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, kerja-kerja mengalihkan bongkah batu terpaksa ditangguhkan lagi apabila hanya separuh sahaja berjaya dinaikkan, manakala selebih masih tertinggal dalam lubang pencarian sedalam kira-kira lima meter.

Menurutnya, batu berkenaan terpaksa dipecahkan akibat alatan digunakan tidak mampu mengangkat bebanan seberat itu.

"Secara keseluruhan, bebanan yang diangkat seberat 18 tan dan setakat ini sudah 15 tan batu berjaya dialihkan, manakala selebihnya masih tertinggal.

“Kami hanya mampu mengeluarkan separuh sahaja bongkah batu setinggi 2.5 meter dan mempunyai berat kira-kira dua tan selepas melakukan operasi dari jam 8 sehingga 10 malam semalam (kelmarin)," katanya.

Beliau bagaimanapun yakin, dapat mengeluarkan baki batuan tersebut dalam masa dua atau tiga hari lagi sebelum menjalankan kerja membersihkan tanah setebal kira-kira satu meter di dalam lubang itu. -Sinar Harian

BANTU !!! Rayu ibu Puteri Aisyah tampil


Siti Hamdah (kanan) bersama-sama Puteri Aisyah di Pejabat JKM Jerantut semalam.

JERANTUT - Hasrat seorang wanita untuk membesarkan seorang kanak-kanak sebagai anak angkat sukar apabila dia perlu mendapatkan pengesahan secara bertulis dan ditandatangani ibu kandung kanak-kanak berkenaan yang kini tidak diketahui di mana berada.

Proses itu bagi membolehkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat pengesahan hak penjagaan anak tersebut dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Siti Hamdah Mat Jani, 50, berkata, dia telah mengambil Puteri Aisyah Abdullah, 2, selepas dua hari ibunya yang dikenali sebagai Anita Mat Noor, 22, bersalin di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah pada 21 Februari 2012.

“Saya mengambil kanak-kanak ini selepas ibunya (Anita) dua hari bersalin dan saya membawa pulang ke rumah di Lipis untuk dipelihara sebagai anak angkat.


“Sebenarnya saya tidak tahu langsung mengenai peraturan perlu melaporkan kepada pihak berkuasa untuk memperoleh hak penjagaan anak ini,” katanya di pejabat JKM di sini semalam.

Katanya, surat pengesahan daripada JKM dan JPN untuk memperoleh status hak penjagaan anak ini penting untuk memudahkan kanak-kanak itu bersekolah apabila genap usia nanti termasuk kemudahan kebajikan lain pada masa akan datang.

Siti Hamdah yang kini menetap di Taman Muhibah, Batu Empat, Kuala Lipis berkata, Anita yang beralamat di Kampung Air Terjun, Jertih, Terengganu sehingga ini gagal dihubungi dan tidak tahu tempat tinggal wanita itu.

“Saya merayu Anita tampil berjumpa dengan saya untuk membolehkan semua prosedur tertentu diselesaikan dengan cepat demi masa depan Puteri Aisyah.

"Anita dan rakannya terbaca kisah ini bolehlah menghubungi saya di talian 09 3227344 atau pejabat JKM Jerantut 09 2662234," katanya. - Sinar Harian

Obama terharu layanan baik, mesra Malaysia


Presiden Amerika Syarikat Barack Obama setibanya di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang bagi rangka lawatan ke ibu negara selama tiga hari bermula hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Walaupun hanya sempat berada selama tiga hari di negara ini, namun Presiden Amerika Barack Obama amat terharu dengan layanan istimewa yang beliau terima daripada Malaysia serta terpikat dengan keramahan dan kemesraan rakyatnya.
 
Perkara ini dinyatakan Duta Besar Amerika di Malaysia Joseph Y Yun pada perjumpaan meja bulat dengan media di kedutaan Amerika di sini hari ini, dan menurut beliau, Obama meninggalkan Malaysia dengan membawa kenangan manis yang begitu berkesan di hatinya.
 
"Sepeninggalan beliau, Obama meminta saya menyampaikan ucapan terima kasih beliau kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), yang katanya seorang tuan rumah yang amat berhemah serta kepada beberapa menteri, termasuk (Menteri Luar Datuk Seri) Anifah Aman, (Menteri Belia dan Sukan) Khairy Jamaluddin, yang juga menteri pengiring, yang memainkan peranan besar dalam kunjungan beliau itu.
 
"Beliau begitu bersungguh-sungguh meminta saya menyampaikannya (ucapan terima kasih) kepada tuan rumah atas layanan mesra serta budi baik mereka sepanjang lawatan itu. Obama sungguh terharu dengan sambutan yang diberi kepadanya ke mana sahaja beliau pergi oleh rakyat Malaysia, pelajar di Universiti Malaya, usahawan muda di Cyberjaya dan para pemimpin masyarakat sivil," katanya.
 
Lawatan rasmi bermula 26 April ke negara Asia Tenggara yang mempunyai 30 juta penduduk ini - sebahagian daripada rangka kunjungan Obama ke empat negara Asia - merupakan kunjungan pertama presiden Amerika ke negara ini sejak 48 tahun lepas, setelah kali terakhir dilakukan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966. Yun berkata Obama terharu apabila melihat orang ramai sangggup menunggu untuk melihat kelibat presiden Amerika itu di laluan yang digunakannya ketika berada di negara ini.
 
Menurut Yun, beliau berpendapat Obama dan Najib mempunyai hubungan yang amat baik serta begitu serasi antara satu dengan lain, seolah-olah dua sahabat yang sudah lama tidak berjumpa.

 "Mereka sudah banyak kali bertemu di pentas pelbagai hala serta dua hala dan apabila saya melihat mereka berinteraksi dengan baik, barulah saya menyedari bahawa mereka sememangnya mengenali satu sama lain dengan baik dan oleh itu, tidak perlulah saya memberi sebarang taklimat kepada presiden," katanya sambil menjelaskan bahawa kunjungan Obama ke negara ini amat berjaya.
 
Menurut beliau, secara peribadi, banyak yang diketahui Obama tentang Malaysia dan inilah yang menyebabkan beliau sentiasa berasa selesa dari segi hubungan, yang ingin beliau pertingkatkan antara Amerika dan rantau ini.
 
"Sejarah peribadi beliau amat bermakna, sebagai contoh, pada majlis jamuan negara, beliau mengimbau kisah lampau perihal ibunya yang gemar mengumpul kain batik serta iparnya dari sebelah Indonesia yang merupakan rakyat Malaysia.

"Malah, pada majlis jamuan tengah hari dua hala di Seri Perdana, Obama memberitahu orang ramai cara sebenarnya untuk menyediakan nasi goreng yang enak. Beliau juga bergurau tentang durian, yang pernah beliau cuba makan beberapa kali, tetapi bukanlah buah kegemarannya," kata Yun.
 
Beliau berkata, melalui hubungan persahabatan unik yang terjalin antara Obama dan Najib, kedua-dua pemimpin itu dapat membawa hubungan Amerika dan Malaysia ke peringkat perkongsian komprehensif melalui peningkatan kerjasama dalam bidang ekonomi, keselamatan, pendidikan, sains, teknologi dan banyak lagi.

 
Menjelaskan tentang Program Pengecualian Visa Amerika, Yun berkata Malaysia perlu memenuhi syarat yang terkandung dalam undang-undang dan peraturan negaranya, termasuk kadar sekatan visa perlulah kira-kira tiga peratus, kewajipan Malaysia melaporkan kepada Interpol tentang pasport yang dicuri atau hilang dan pertukaran data tentang pengganas dan penjenayah.

"Walaupun Malaysia sudah memenuhi beberapa syarat seperti penyediaan pasport yang mampu dibaca mesin, membenarkan rakyat Amerika memasuki negara ini tanpa visa serta beberapa kemajuan lain, namun ia mungkin mengambil sedikit masa sebelum layak menikmati program itu," katanya.

Bagaimanapun, tegas beliau setakat ini tiada tarikh ditetapkan untuk mengadakan perundingan dan taklimat teknikal berkaitan urusan membuat penilaian tentang program itu.
 
Rakyat negara yang disenaraikan di bawah program pengecualian visa itu dibenarkan berkunjung dan tinggal di Amerika bagi tempoh maksimum 90 hari.

Kadar penafian visa Malaysia kekal sebanyak lima peratus.
 
Mengenai giliran Malaysia yang akan menjadi pengerusi Asean pada 2015, Yun berkata Amerika menunggunya dengan penuh minat dari segi diplomatik dan ekonomi serta bersedia memberi sumbangan besar berkaitan hala tuju Asean dan hasratnya untuk menjadi satu lagi gergasi serantau.
 
"Amerika sentiasa menyokong Asean sebagai sebuah kumpulan negara dan sebab itulah kami menyertai Sidang Kemuncak Asia Timur serta menawarkan bantuan teknikal kepada Asean mengenai pasaran tunggal, isu tenaga. Ia memberi peluang kepada Amerika untuk melakar banyak kemajuan dalam pelbagai perkara," katanya. - Bernama

TAKZIAH !!! Datuk Aziz Satar meninggal dunia


Aziz Sattar

PELAKON veteran, Datuk Aziz Sattar, 89, meninggal dunia akibat penyakit jantung di Hospital Kajang pada kira-kira jam 2 pagi tadi.

Memetik laporan sebuah media, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi dua anak, menantu dan seorang cucu.

Allahyarham dilaporkan dimasukkan ke hospital sejak kelmarin selepas diserang penyakit jantung.


Jenazah yang akan dibawa pulang ke rumahnya di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, sebaik dibenarkan pihak hospital dan urusan pengebumian dijangka dilakukan pagi ini.

Allahyarham yang dilahirkan di Surabaya, Indonesia merupakan rakan seangkatan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham S Shamsuddin popular menerusi filem Seniman Bujang Lapok.

Al-Fatihah...

- Sinar Harian

Monday 5 May 2014

PEMAHAMAN !!! GST bukan 'Government Service Tax'



SHAH ALAM – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa GST merupakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan bukannya cukai kerajaan seperti yang didakwa.

Menurutnya, peserta himpunan bantah GST pada 1 Mei lalu rata-rata tidak memahami apa itu GST.

“Bila mereka (peserta himpunan) ditanya, mereka tidak tahu. GST bagi mereka ialah ‘Government Service Tax’.

“Sedangkan GST yang diperkenalkan oleh kerajaan Persekutuan ialah Good Services Tax (Cukai Barangan dan Perkhidmatan),” katanya yang dipetik dalam portal berita N9kini.com.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan keraguan dan kemusykilan orang awam terhadap GST perlu diambil perhatian oleh pihak berkuasa.

“Ini merupakan satu perkara yang perlu dibuat pemahaman dan pencerahan oleh pihak berwajib.


“Sebenarnya kita menarik dua sistem cukai yang mana dulu cukainya amat tinggi, 10 peratus dan 6 peratus (cukai barangan dan perkhidmatan), kadang-kadang ia melebihi perkara yang sepatutnya dikenakan cukai,” katanya.

Tegas beliau, jika ada mana-mana pihak tidak berpuas hati, mereka perlu tampil dan memberi cadangan kepada kerajaan bukannya membuat protes di jalanan.

“Jika ada yang tidak berpuas hati, mereka perlu memberi cadangan dan pandangan kepada kerajaan, daripada kita memekak-mekak di tepi jalan menunjukkan protes. Ia secara tidak langsung memburukkan imej negara ini,” katanya.

Khamis lalu, satu perhimpunan membantah pelaksanaan GST di negara ini berlangsung di ibu kota.

Sehubungan itu, polis sedang menjalankan siasatan terhadap perhimpunan tersebut yang didakwa melanggar beberapa syarat Akta Perhimpunan Aman 2012. - Sinar Harian

GEMPAR !!! Lagi bayi lahir, hasil seludup sperma


Suad Samir Abu Fayer memangku anak perempuannya, Hurryah yang baru berusia beberapa hari.

TEBING BARAT - Seorang lagi wanita melahirkan anak perempuan hasil sperma suaminya yang diseludup keluar dari penjara Israel.

Menurut Dr Salem Abu Khaizaran di Klinik Razan, kira-kira 15 bayi dilahirkan melalui prosedur persenyawaan in-vitro (IVF) sejak kejayaan proses itu pertama kali dicipta di Tebing Barat pada Ogos 2012.

"Tujuan kaedah seperti itu digunakan adalah untuk membantu isteri tahanan yang berhasrat mempunyai zuriat walaupun suami mereka tiada di sisi.


"Kos melakukan prosedur IVF biasanya mencecah antara AS$2,000 (RM6,500) dan AS$3,000 (RM9,800). Tetapi, kami menawarkan ia secara percuma kepada isteri tahanan atas sebab kemanusiaan," katanya.

Difahamkan, penyeludupan sperma tersebut juga dilakukan dalam pelbagai cara tanpa diketahui pihak berkuasa penjara Israel.

Sementara itu, media Arab News melaporkan, enam wanita yang menjalani prosedur sama di Gaza juga bakal bergelar ibu dalam tempoh beberapa bulan lagi. - Sinar Harian

TERBAIK !!! Skuad hoki negara cipta sejarah


Pemain-pemain Malaysia meraikan kemenangan selepas menewaskan Ireland pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 2014 di Stadium Hoki Indera Mahkota di Kuantan, malam ini. - Foto Bernama

MALAYSIA melakarkan sejarah dalam siri Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 apabila menduduki tempat ketiga setelah mengalahkan Ireland 4-2 pada perlawanan menentukan kedudukan di Stadium Hoki Indera Mahkota di Kuantan, malam ini.
 
Walaupun gagal menepati sasaran ke final, namun pencapaian tempat ketiga merupakan yang terbaik selepas meraih tempat keempat pada edisi 2001 di Kuala Lumpur dan 2012 di Quilmes, Argentina.

Malaysia, yang menduduki ranking ke-13 dunia, memulakan perlawanan dengan penuh bersemangat dan agresif untuk mendahului 2-1 pada babak pertama.
 
Malaysia membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi pukulan penalti yang disempurnakan oleh Ahmad Kazamirul Nasruddin sebelum Muhammad Rashid Baharom menggandakan jaringan menerusi gol padang pada minit ke-11.
 
Ireland, yang menduduki ranking ke-15 dunia, berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi pukulan sudut penalti oleh Paul Gleghorne pada minit ke-22.

Pada babak kedua, Ireland berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-43, hasil gol padang oleh pemain berpengalaman Chris Cargo.
 
Kegembiran skuad bimbingan Fulton Craig itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila kapten pasukan negara Azlan Misron menjaringkan gol padang pada minit ke-66.
 
Empat minit kemudian, Muhammad Firhan Ashari mengesahkan kemenangan negara menerusi jaringan gol padang.

 
Jurulatih negara Muhammad Dharmaraj Abdullah berkata walaupun gagal ke final beliau berpuashati dengan persembahan anak buahnya yang dilihat bersungguh-sungguh untuk mencari kemenangan.
 
Malaysia gagal mara ke final selepas diaibkan Kanada 5-4 menerusi pukulan penalti selepas terikat 2-2 pada aksi separuh akhir semalam.
 
"Semua pemain kecewa dengan kegagalan semalam namun mereka bangkit bermain secara bersungguh-sungguh pada malam ini biarpun Ireland berjaya menyamakan kedudukan.

"Hari ini pemain negara mampu mengekalkan fokus hingga tamat perlawanan apabila Malaysia kembali menguasai perlawanan pada babak terakhir perlawanan dengan dua jaringan dalam tempoh lima minit," katanya.
 
Dharmaraj berkata, semangat tersebut yang diperlukan oleh pasukan negara bagi menghadapi cabaran yang lebih besar pada Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda, dari 31 Mei hingga 15 Jun ini.
 
Beliau berkata agak susah baginya untuk memilih barisan utama yang akan menggalas cabaran besar di Belanda nanti dan tidak perubahan yang mampu dilakukan oleh pasukan dalam masa singkat.
 
"Jika ada perubahan...mungkin hanya perubahan kecil kerana kita tidak cukup masa dan pilihan pemain," katanya.
 
Pada perlawanan penentuan sebelum ini, Jepun mengalahkan Poland 3-2 bagi merebut tempat ketujuh sementara New Zealand pula menduduki tempat kelima selepas mengalahkan Perancis 6-3. - Bernama