Friday, 21 February 2014

GEMPAR!!! 'drama’ terjun bangunan

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
20 Februari 2014

Gempar 'drama’ terjun bangunan
  • Lelaki berusia 30-an ini cuba bertindak terjun dari bumbunag rumah jirannya di Jalan Besar, Tanjung Piandang.

PARIT BUNTAR - Seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental bertindak nekad terjun dari bangunan tingkat dua rumah jiran di Jalan Besar, Tanjung Piandang, di sini walaupun cuba digagalkan sepasukan anggota polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Kurau.

Bagaimanapun, lelaki berusia 30-an dan sudah berkahwin itu ternyata amat bernasib baik apabila hanya mengalami kecederaan di tangan setelah dia sekadar terjatuh di atas bumbung tempat parkir kenderaan yang berketinggian dua meter dari lokasi terjunan.

Jiran mangsa hanya dikenali Ah Kwan, 61, berkata, lebih kurang jam 9.30 malam kelmarin, dia dan ahli keluarga lain sedang berehat menonton televisyen sebelum dikejutkan dengan bunyi jeritan orang dari arah bumbung rumahnya.

Menurutnya, dia segera keluar rumah untuk meninjau keadaan dan terkejut mendapati seorang lelaki yang dalam keadaan mengamuk, sedang memanjat bumbung rumahnya sambil mengugut hendak membunuh diri.

“Saya terkejut mendapati lelaki terbabit merupakan salah seorang anak jiran saya yang dikenali dengan nama Han dan segera merayu kepadanya supaya turun kembali. Namun, lelaki terbabit langsung tidak mengendahkan rayuan saya.

“Bimbang tindakan nekad lelaki berkenaan, saya segera membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Kurau dan mengadukan perkara itu kepada JBPM Kuala Kurau serta Bomba Sukarela Parit Buntar,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian.

Ah Kwan berkata, sebaik sahaja pasukan polis dan bomba tiba di lokasi kejadian lebih kurang setengah jam kemudian, lelaki berkenaan secara tiba-tiba cuba menyembunyikan diri melalui celah bumbung rumahnya.

“Anggota bomba berusaha menjejakinya dan berjaya ditemui semula  sepuluh minit kemudian,” katanya.

Ah Kwan berkata, anggota bomba bersama ahli keluarga dan orang ramai cuba memujuk lelaki berkenaan untuk kembali turun ke bawah.

“Usaha anggota bomba memujuk lelaki berkenaan selama sejam tidak berjaya apabila dia nekad terjun dari bumbung rumah dua tingkat milik jirannya.

“Bagaimanapun, dia amat bernasib baik apabila hanya sekadar terjatuh atas bumbung tempat parkir kenderaan milik saya dan mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Menurutnya, anak jirannya itu segera dihantar ke Hospital Parit Buntar oleh anggota bomba sukarela sejurus kejadian itu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau, PBK II Mohd Sharif Aziz ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan pihaknya terima panggilan daripada Balai Polis Tanjung Piandang pada jam 9.52 malam.

Menurutnya, setibanya jentera bomba bersama tujuh anggota di lokasi kejadian pada jam 10.11 malam, seramai tiga anggota bomba bertindak memanjat bumbung rumah lokasi kejadian untuk memujuk mangsa, manakala empat lagi menyediakan tilam kecemasan.

“Masalah komunikasi di antara anggota bomba dan lelaki berkenaan yang berbangsa cina menyebabkan usaha memujuk sukar dilakukan sehingga isteri dan emak lelaki itu terpaksa dipanggil untuk membantu kami.

“Setelah sejam memujuk, lelaki itu terjun dari bumbung rumah secara tiba-tiba, namun hanya mengalami kecederaan ringan setelah terjatuh di atas bumbung tempat parkir kenderaan,”katanya.

Ditanya mengenai punca sebenar kejadian, Mohd Sharif menegaskan kes masih dalam siasatan, namun tidak menolak kemungkinan lelaki terbabit mengalami masalah mental.

“Lelaki berkenaan segera dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Piandang dan dikejarkan ke Hospital Parit Buntar selepas itu untuk rawatan susulan,” katanya.

Sumber