Wednesday 2 July 2014

Kawasan tanah runtuh Jalan Imbi ditutup 2 minggu


KUALA LUMPUR - Kawasan terowong bawah tanah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang runtuh di simpang empat Jalan Imbi, di sini akan ditutup selama dua minggu untuk kerja-kerja baik pulih mulai hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pelaksanaan Projek dan Penyenggaraan) DBKL Datuk Mohd Najib Mohd memberitahu pemberita di tempat kejadian, kerja-kerja membaik pulih kawasan di tapak runtuhan sedang dijalankan.
 
Dalam kejadian 9.30 pagi ini, sebahagian struktur terowong sepanjang 35 meter itu yang dalam pembinaan bagi mewujudkan empat laluan kenderaan untuk mengurangkan kesesakan di simpang empat Jalan Imbi runtuh sedalam lima meter berikutan mendapan tanah.
 
Pada sidang media yang sama, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail pula berkata terdapat dua pergerakan tanah dikesan di kawasan itu pada 9.30 pagi dan 12.20 tengah hari.
 
"Kita khuatir kemungkinan akan berlaku lagi tanah runtuh di sepanjang terowong itu," katanya.


Beliau berkata ketika runtuhan tanah itu terdapat paip Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) pecah dengan air membuak keluar, dan pihaknya telahpun meminta Syabas menutup paip air tersebut, yang merupakan antara punca tanah di situ menjadi lembap.
 
"Untuk keselamatan sementara, kontraktor sedang membuang lebihan air di kawasan tersebut sebelum kerja-kerja menanam cerucuk dapat dilaksanakan bagi tujuan mengukuhkan kawasan di situ," katanya.
 
Azizan berkata pihaknya juga masih menunggu kajian daripada Syarikat Prasarana Negara, yang bertanggungjawab ke atas KLMonorail, untuk memastikan kedudukan struktur binaan tiang monorel di kawasan tanah runtuh itu sama ada terjejas ataupun tidak.
 
Sementara itu, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) berkata kejadian tanah runtuh itu tiada kaitan sama sekali dengan projek MRT.
 
"Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang tidak melalui kawasan kejadian tersebut," menurut MRT Corp dalam satu kenyataan. - Bernama

GEMPAR !!! Jalan Runtuh


"diminta jangan lalu jalan pudu atau jalan hang tuah sebab junction traffic lite kat tepi times square jalan runtuh 3 lane"












Sumber fb Aji Yusop

PUASA bukan punca Algeria kalah


Essaid Belkalem (tengah) menenangkan Sofiane Feghouli sejurus tersingkir daripada kejohanan Piala Dunia 2014.

PENJAGA gol Algeria, Rais M’Bolhi menafikan kekalahan 1-2 pasukannya kepada Jerman pada saingan kalah mati, awal pagi semalam bukan kerana rakan pasukannya berpuasa.

M’Bolhi yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan tersebut berjaya menghalang percubaan Jerman sebelum Andre Schuerrle dan Mesut Ozil menjaringkan gol kemenangan dalam masa tambahan.
Algeria memperoleh gol sagu hati yang memberi sedikit harapan menerusi pemain gantian, Abdelmoumene Djabou beberapa minit sebelum wisel penamat.

Selepas menyerang balas Jerman dengan garang dalam tempoh 90 minit permainan tanpa jaringan, pemain Algeria kelihatan penat dalam masa tambahan tetapi M’Bolhi berkata, ia bukan disebabkan beraksi di bulan Ramadan.


Kebanyakan pemain Algeria dilaporkan sedang berpuasa dan hanya boleh minum air pada penghujung babak pertama perlawanan.

“Tidak, saya tidak fikir (itu adalah satu faktor), kami sudah bersedia untuk bermain dalam masa yang ditetapkan, tiada siapa yang percaya bahawa kami dapat mengekalkan prestasi seperti itu.

“Bukan soal fizikal, semua pemain mampu dan bersedia untuk bermain, kami hanya melepaskan dua gol pada lewat perlawanan.

“Ini adalah soalan peribadi, ia antara kami dan Tuhan. Saya tidak fikir saya perlu jawab soalan anda, puasa adalah satu perkara peribadi,” kata M’Bolhi. - Sinar Harian

MH370: Tiada kuasa misteri, hanya spekulasi


Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR - Dakwaan penyiasat nahas udara Australia yang mengaitkan kehilangan penerbangan MH370 dengan kuasa misteri baru-baru ini hanyalah spekulasi, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
 
Beliau berkata kerajaan Malaysia hanya menerima pakai laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang ditubuhkan khusus berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu.
 
"Apa juga isu kita ada panel pakar untuk mengesahkannya. Laporan itu bukan daripada JACC.
 
"Bagaimanapun saya tetap anggap sebarang maklumat terkini... sama seperti yang saya lakukan pada masa lalu... biar JACC sahkan. Selama ini kita tidak pernah berhenti daripada mencari kotak hitam dan mengesan maklumat baharu berhubung pesawat itu," katanya  kepada pemberita selepas taklimat Jawatankuasa Khas Kabinet berhubung insiden MH370 di Parlimen, di sini hari ini.
 
Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Aset MH370 dan Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, iaitu Pengerusi Jawatankuasa Waris mengenai MH370.


Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) semalam, unit data satelit pesawat itu cuba 'log masuk' ke satelit dalam tempoh tidak sampai 90 minit setelah berlepas.
 
Permintaan itu yang dikenali sebagai 'hand shake' mungkin disebabkan gangguan kuasa elektrik pesawat Boeing 777 tersebut.
 
Sementara itu, Liow berkata maklumat terperinci berhubung penghantaran aset dan pakar dalam mengesan pesawat MH370 ke lokasi pencarian di Lautan Hindi akan dimaklumkan kemudian.
 
Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang serta anak kapal ke Beijing hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam.
 
Gerakan mencari membabitkan pelbagai negara bermula di Laut China Selatan sebelum diperluas ke Selat Melaka dan akhirnya di Lautan Hindi selepas data satelit menunjukkan pesawat itu melencong jauh daripada laluan asal dengan isyarat terakhir dikesan di selatan Lautan Hindi. - Bernama

PEMBERI, PEMINTA sedekah bakal berdepan hukuman



PUTRAJAYA - Pemberi dan peminta sedekah bakal berdepan hukuman seperti denda apabila undang-undang berkaitan kegiatan mengemis di ibu negara diperketat, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
 
Beliau berkata langkah itu akan dilaksana di beberapa tempat tumpuan bagi mengurangkan budaya meminta sedekah yang mencemar imej ibu negara.
 
Tengku Adnan berkata keputusan itu diambil selepas pihaknya bermesyuarat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan beberapa agensi berkaitan baru-baru ini yang antara lain, membincangkan masalah kebersihan serta isu gelandangan.
 
"Kita akan ambil satu kaedah di mana yang pemberi kita akan saman dan penerima pula akan kita 'angkut' kerana kebanyakan peminta sedekah ini adalah orang asing.

 
"Selain itu, badan bukan kerajaan yang memberi makanan secara percuma kepada gelandangan juga akan ditetapkan tempatnya dan tidak boleh merata-rata tempat kerana ini akan mengundang kekotoran," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Nur Ramadan peringkat Putrajaya malam ini.
 
Terdahulu, dalam ucapannya, Tengku Adnan berkata kementerian itu dan agensi di bawahnya akan mengadakan majlis berbuka puasa di semua 13 kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan agar dapat mendengar permasalan rakyat dan lokasi pertama ialah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
 
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 780 penerima antaranya anak yatim, fakir miskin dan orang kelainan upaya. - Bernama