Wednesday 2 July 2014

Kawasan tanah runtuh Jalan Imbi ditutup 2 minggu


KUALA LUMPUR - Kawasan terowong bawah tanah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang runtuh di simpang empat Jalan Imbi, di sini akan ditutup selama dua minggu untuk kerja-kerja baik pulih mulai hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pelaksanaan Projek dan Penyenggaraan) DBKL Datuk Mohd Najib Mohd memberitahu pemberita di tempat kejadian, kerja-kerja membaik pulih kawasan di tapak runtuhan sedang dijalankan.
 
Dalam kejadian 9.30 pagi ini, sebahagian struktur terowong sepanjang 35 meter itu yang dalam pembinaan bagi mewujudkan empat laluan kenderaan untuk mengurangkan kesesakan di simpang empat Jalan Imbi runtuh sedalam lima meter berikutan mendapan tanah.
 
Pada sidang media yang sama, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail pula berkata terdapat dua pergerakan tanah dikesan di kawasan itu pada 9.30 pagi dan 12.20 tengah hari.
 
"Kita khuatir kemungkinan akan berlaku lagi tanah runtuh di sepanjang terowong itu," katanya.


Beliau berkata ketika runtuhan tanah itu terdapat paip Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) pecah dengan air membuak keluar, dan pihaknya telahpun meminta Syabas menutup paip air tersebut, yang merupakan antara punca tanah di situ menjadi lembap.
 
"Untuk keselamatan sementara, kontraktor sedang membuang lebihan air di kawasan tersebut sebelum kerja-kerja menanam cerucuk dapat dilaksanakan bagi tujuan mengukuhkan kawasan di situ," katanya.
 
Azizan berkata pihaknya juga masih menunggu kajian daripada Syarikat Prasarana Negara, yang bertanggungjawab ke atas KLMonorail, untuk memastikan kedudukan struktur binaan tiang monorel di kawasan tanah runtuh itu sama ada terjejas ataupun tidak.
 
Sementara itu, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) berkata kejadian tanah runtuh itu tiada kaitan sama sekali dengan projek MRT.
 
"Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang tidak melalui kawasan kejadian tersebut," menurut MRT Corp dalam satu kenyataan. - Bernama