Wednesday 2 July 2014

PUASA bukan punca Algeria kalah


Essaid Belkalem (tengah) menenangkan Sofiane Feghouli sejurus tersingkir daripada kejohanan Piala Dunia 2014.

PENJAGA gol Algeria, Rais M’Bolhi menafikan kekalahan 1-2 pasukannya kepada Jerman pada saingan kalah mati, awal pagi semalam bukan kerana rakan pasukannya berpuasa.

M’Bolhi yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan tersebut berjaya menghalang percubaan Jerman sebelum Andre Schuerrle dan Mesut Ozil menjaringkan gol kemenangan dalam masa tambahan.
Algeria memperoleh gol sagu hati yang memberi sedikit harapan menerusi pemain gantian, Abdelmoumene Djabou beberapa minit sebelum wisel penamat.

Selepas menyerang balas Jerman dengan garang dalam tempoh 90 minit permainan tanpa jaringan, pemain Algeria kelihatan penat dalam masa tambahan tetapi M’Bolhi berkata, ia bukan disebabkan beraksi di bulan Ramadan.


Kebanyakan pemain Algeria dilaporkan sedang berpuasa dan hanya boleh minum air pada penghujung babak pertama perlawanan.

“Tidak, saya tidak fikir (itu adalah satu faktor), kami sudah bersedia untuk bermain dalam masa yang ditetapkan, tiada siapa yang percaya bahawa kami dapat mengekalkan prestasi seperti itu.

“Bukan soal fizikal, semua pemain mampu dan bersedia untuk bermain, kami hanya melepaskan dua gol pada lewat perlawanan.

“Ini adalah soalan peribadi, ia antara kami dan Tuhan. Saya tidak fikir saya perlu jawab soalan anda, puasa adalah satu perkara peribadi,” kata M’Bolhi. - Sinar Harian