Thursday, 17 April 2014

GEMPAR !!! Bangkai pesawat MH370 telah ditemui?



Seorang pemburu bangkai yakin pasukan mencari sudah menemui kawasan di mana pesawat Malaysia Airlines MH370 terhempas dan kotak hitam dipercayai akan dikesan tidak lama lagi, lapor Sydney Morning Herald (SMH).

Pengarah Blue Water Recoveries, Davied Mearns, dalam program 7.30 ABC semalam, berkata beliau yakin berdasarkan kepada kekuatan mereka, empat ping yang dikesan kapal tentera laut Australia, Ocean Shiled minggu lalu adalah dari kotak hitam.

“Saya fikir, pada asasnya mereka sudah menemui kawasan bangkai,” SMH memetiknya sebagai berkata dalam program berkenaan.

“Walaupun kerajaan masih belum mengumumkannya lagi, jika seseorang tanya saya 'secara teknikal adalah mereka mempunyai maklumat mencukupi untuk berkata demikian?', jawapan saya jelas, ya.

“Mereka terima empat pengesanan yang sangat baik dengan spectrum bunyi yang tepat datang dari mereka dan ia tidak boleh daripada benda lain,” katanya.

Mearns, seorang warga Amerika, dianugerahkan pingat Order of Australia kerana berjaya menemui bangkai kapal HMAS Sydney pada 2008, iaitu 66 tahun selepas ia hilang di Lautan Hindi ketika Perang Dunia Kedua.

Beliau juga membantu dalam operasi mencari bangkai pesawat Air France 447 di Lautan Atlantik pada 2011, lapor SMH.

Mearns berkata, pegawai mencari mengambil sikap berhati-hati demi menjaga perasaan keluarga pesawat dan anak kapal sementara mereka menunggu kenderaan robotik dasar laut (AUV) Bluefin-21 untuk membawa pulang bukti bergambar bangkai pesawat itu.

Kapal selam mini itu dihantar lagi malam tadi dari Ocean Shield selepas tidak ada apa-apa yang menarik ditemui daripada data terkumpul dari misi pertamanya pada Isnin, menurut kenyataan Pusat Penyelaras Agensi Bersama (JACC) di Perth, hari ini.

Setiap misi AUV mengambil masa 16 jam.

Perkakas sonar itu mengambil kira-kira dua jam untuk turun ke kedalaman 4,500 m sebelum mengimbas kawasan pencarian antara seluas 5km x 8 km persegi. Ia kemudian akan kembali ke kapal Ocean Shield untuk menukar bateri.

Data dari perkakas itu mengambil masa sehingga empat jam untuk dianalisis.

Kapten tentera laut Amerika Syarikat, Mark Matthews memberitahu Fairfax Media, Bluefin-21 mengkaji kemungkinan kawasan serpihan dan mengukur kepadatan objek berkenaan untuk mengenal pasti jika sesuatu itu kelodak atau kilauan logam, yang boleh memberi petunjuk bangkai pesawat.

Sebaik sahaja objek buatan manusia dikenal pasti, pengendali operasi mencari boleh memprogramkan semula Bluefin-21 untuk mengumpul imej beresolusi tinggi.


“Anda kemudian boleh menukar sistem sonar dengan sistem pengimejan, sistem kamera, untuk mengambil gambar kawasan serpihan bagi membolehkan anda mengenal pasti secara positif ia adalah bangkai pesawat atau benda lain,” kata Matthews.

Beliau berkata, pencari mempunyai “beberapa petunjuk positif” di kawasan yang sebenar, termasuk mengesan empat isyarat akustik sonar dan tumpahan minyak yang ditemui pada Isnin.

Mearns berkata, kejayaan dalam siasatan itu datang bersama analisis laluan penerbangan MH370, yang memperincikan kawasan carian.

“Di satu tempat, pecahan kebijaksanaan yang hebat disatukan untuk benar-benar mengecilkan kawasan pencarian, itulah caranya pencari dan penyiasat dapat mencarinya dengan cepat,” katanya dalam program ABC itu.

“Ocean Shield hanya baru beberapa hari di situ dan mereka dapat menemui sesuatu. Ia adalah kejayaan yang baik dan keajaiban,” katanya.

Sebanyak 11 pesawat tentera, tiga pesawat awam dan 11 kapal akan membantu dalam operasi mencari hari ini, kata JACC.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia merancang kawasan pencarian visual kira-kira 55,151 km persegi. Pusat kawasan mencari terletak kira-kira 2,000km barat laut Perth.- TMI

Sumber BeritaOMG

TRIUMPH Tiger Sport jentera touring paling selesa!

NIK N HIDAYAT
Tiger Sport boleh ditambah dengan beberapa bagasi pilihan yang ditawarkan Triumph.

SUKAR untuk kita menjustifikasikan sesuatu perkara yang subjektif dan berbeza-beza mengikut cita rasa individu. Akan tetapi, secara jujurnya, boleh saya katakan kebanyakan justifikasi kepada hasil kerja mekanikal jenama Triumph sangat impresif.

Pada awalnya, saya cukup takut pendapat saya kepada mesin-mesin Triumph adalah berat sebelah atau mungkin akan dilabel sebagai ‘syok sendiri’. Setelah berkongsi pandangan bersama orang-orang lama dalam industri motosikal, saya yakin dengan kebolehpercayaan kepada jenama ikonik British itu.

Pengalaman selama lebih 110 tahun sejak kewujudannya sehingga kekal pada hari ini digunakan sebaiknya untuk menghasilkan produk yang hebat di atas jalan raya.

Saya masih terbayang-bayang keindahan ciptaan Bonneville T100 yang baru diuji tempoh hari. Mungkin satu hari nanti, saya akan pastikan Bonneville antara salah satu koleksi peribadi dalam garaj saya kelak.

Pengedar rasmi motosikal Triumph, Fast Bikes Sdn Bhd (Fast Bikes) baru sahaja membawa masuk varian Tiger Sport bersempena dengan pembukaan pusat pameran utama di Seksyen 13 Petaling Jaya pada hujung tahun lalu.

Tiger Sport merupakan varian baharu yang menerima penambahbaikan dari segi reka bentuk badan, prestasi pengendalian dan kuasa enjin.

Pada hujung minggu lalu, Fast Bikes memberi saya peluang menguji jentera touring ini untuk ke Pulau Pinang bagi menyaksikan majlis pelancaran cawangan Triumph di sana.

Bagi saya, peluang tersebut merupakan yang terbaik untuk menguji sejauh mana kebolehpercayaan jentera ini terutamanya dalam melengkapkan perjalanan jarak jauh.

Pada hari yang dijanjikan, saya menerima kunci Tiger Sport berwarna putih selain pilihan warna merah yang ditawarkan dalam pasaran.

Jentera ini mempunyai sentuhan rekaan yang lebih bergaya di samping swing-arm tunggal. Penawaran ciri ini lebih terserlah dengan set sport rim yang anggun.

Jika dibandingkan dengan model sebelumnya, Tiger Sport baharu diperbaharui dari segi reka bentuk ekor dan lampu belakang, panel sisi, pengadang angin dan tempat duduk yang lebih rendah.

Prestasi

Tiger Sport dikuasakan oleh enjin tiga silinder DOHC yang menghasilkan 123 kuasa kuda dan mempunyai tork puncak 104Nm. Jentera ini direka sebagai motosikal pengembaraan, tetapi tidak berkecenderungan ke arah tujuan yang lebih lasak ke laluan off-road. Mungkin watak itu lebih sesuai dipegang Triumph Explorer 1200.

Triumph sememangnya terkenal dengan penawaran sudut tunggangan yang selesa dan lembut tanpa mengetepikan tahap prestasi enjin.

Sepanjang perjalanan ke Pulau Pinang bersama ahli Rat-Pack, jentera ini berjaya membuatkan saya lebih gemar kepada teknologi tradisi Triumph.

Ternyata, ia bukan hanya kerana faktor jenama, tetapi penawaran prestasi yang memuaskan dan wajar dihargai.

Enjin tiga silinder 1050cc Triumph fleksibel dan berkuasa. Ya, saya setuju untuk mengatakan enjin Tiger Sport terlebih lembut dan mungkin menjadi defisit jika disasarkan kepada golongan yang mahukan sensasi tork.

Tetapi secara peribadi, saya lebih gemar prestasi enjin yang lembut seperti yang dibawa Tiger Sport untuk mendapatkan keselesaan tunggangan dan menghargai suasana perjalanan lebih santai.

Daya pecutan tidak menghampakan dan masih mampu memberi daya pecutan walaupun pada kitaran enjin rendah dalam gear terakhir.

Oleh kerana itu, saya tidak perlu menukar gear terlalu banyak di sepanjang perjalanan di lebuh raya. Kelajuan selesa Tiger Sport adalah antara 140 kilometer sejam (km/j) hingga 170 km/j. Tidak ada masalah sekiranya anda mahu memecut melebihi 200 km/j.

Tindak balas pendikit cukup baik walaupun tidak dibekalkan dengan sistem Ride-by-Wire (RbW) seperti mana motosikal moden lain. Namun, saya lebih menyukai motosikal yang lebih ringkas tanpa terlalu banyak sistem elektronik.


Pengendalian impresif

Mengendalikan Tiger Sport di lebuh raya mudah dan seperti mana-mana motosikal touring, saiz dan ketinggian jentera banyak membantu untuk menjangka trafik di hadapan.

Memasuki ke trafik sibuk dalam bandar pulau mutiara tersebut, saya dapat mengendalikan motosikal dengan baik tanpa sebarang masalah walaupun sesak.

Menghala ke Ferringhi melalui jalan berliku, saya dapati prestasi Tiger di selekoh baik dan tidak terbeban dengan saiz dan ketinggiannya. Ia seolah-olah saya sedang mengendalikan motosikal yang lebih kecil.

Ketika di selekoh ketat, saya yakin dengan cengkaman brek cakera 320 milimeter (mm) dan angkum empat omboh Nissin. Fork Showa 43mm terbalik boleh laras dan penyerap hentak tunggal Showa pada bahagian belakang juga memainkan fungsi dengan cemerlang.

Lebih nilai daripada harga

Secara keseluruhan, Triumph Tiger Sport mudah untuk ditunggang sama ada di lebuh raya atau pun di dalam bandar. Jika anda sedang mencari motosikal pelbagai kegunaan, Tiger Sport wajar dipertimbangkan.

Mungkin ia juga sesuai untuk dijadikan sebagai kenderaan harian ke tempat kerja terutamanya yang jauh terpaksa berulang alik.

Aspek prestasi enjin, pengendalian dan nilai praktikaliti kepada jumlah harga yang ditawarkan adalah munasabah dan berbaloi.

Triumph Tiger Sport dijual pada harga RM85,900, tidak termasuk cukai jalan dan insurans.- Sinar Harian

VESPA LXV 150 3V i.e utama elemen KLASIK

NIK N HIDAYAT

PENGIMPORT  tunggal dan pengedar skuter Vespa di Malaysia, NAZA Premira Sdn Bhd melancarkan varian tambahan terbaru dalam rangkaian produk jenama itu baru-baru ini.

Vespa LXV 150 3V suntikan bahan api menggabungkan gaya vintaj jenama ikonik Itali dengan teknologi Piaggio termaju.

Yehuda (kiri) menggayakan Vespa LXV 150 3V i.e.

Turut hadir pada acara pelancaran rasmi tersebut ialah Pengurus Jualan Piaggio Asia Pasifik, Yehuda Sangaran, Naib Presiden Kanan Bahagian Diversified NAZA Group of Companies, Abdul Hamid Ismail, dan Naib Presiden Naza Two Wheels, Nik Danial Nik Mahmood.

Vespa LXV 150 3V mengekalkan struktur binaan Vespa LX sebelum ini tetapi menerima beberapa perubahan untuk menyerlahkan lagi perincian konsep klasik.

Perubahan yang dilakukan adalah semata-mata untuk membawa semula nostalgia kegemilangan Vespa pada tahun 1960-an termasuklah kemasan kromium pada hendal berbentuk tiub, skrin pengadang angin, lampu hadapan bulat dan pelana kulit gaya baharu.


Pengenalan model ini tidak hanya tertumpu kepada elemen klasik yang diilhamkan, bahkan menekankan teknologi enjin dan sistem suntikan bahan api terbaharu.

Unit ini menerima enjin empat lejang 154.8cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik tiga injap sebagai penjana kuasa utama.

Enjin 3V sejukan udara dikatakan lebih ringan berbanding model sebelumnya. Enjin yang dibangunkan di kilang Pontedera lebih menumpukan pengurangan geseran dalam enjin dan penggunaan bahan api lebih efisien.

Usaha intensif pengeluar skuter ikonik tersebut berjaya menghasilkan enjin yang lebih cekap bahan api - kira-kira 30 peratus lebih baik daripada generasi sebelumnya di samping kadar pelepasan pencemaran yang lebih rendah dan peningkatan tahap prestasi.

Varian terbaharu ini masih mengekalkan penggunaan lengan ayun tunggal pada bahagian hadapan dengan suspensi hidraulik. Manakala, sistem kejutan bahagian belakang boleh laras kepada empat tetapan pra-beban.


Skuter ini menggunakan tayar hadapan bersaiz 110/70 11 inci dan tayar belakang 120/70 10 inci untuk menyediakan pengendalian mudah.

Bagi daya hentian pula, ia dilengkapi dengan brek cakera 200 milimeter (mm) di hadapan dan 110mm di bahagian belakang.

Ketika majlis perasmian di Pusat Vespa 3S Petaling Jaya, Nik Danial Nik Mahmood menyatakan skuter ikonik terbaharu ini bukan hanya membawa pesona klasik Vespa, tetapi turut melengkapkan trend fesyen masa kini selain daripada aspek teknikal asas enjin dan teknologi terbaharu.

“Vespa telah menggabungkan elemen penting dalam reka bentuk popular klasik dengan teknologi Piaggio terkini untuk menyediakan keseronokan tunggangan dalam bandar atau menikmati perjalanan santai di luar bandar,” kata Nik Danial Nik Mahmood.

“Inovasi teknologi terkini disemai dengan baik kepada gaya retro Vespa khas buat pelanggan-pelanggan kami dengan pakej gaya, praktikal dan ekonomi,” tambahnya.

Vespa LXV 150 boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Midnight Blue, Rossa Chianti (Maroon) dan Beige dengan harga jualan asas RM 11,658.00.

NAZA Premira menyasarkan penjualan sebanyak 2000 LXV 150 3V bagi tahun ini. Syarikat milikan Bumiputera itu turut merancang untuk membawa tiga lagi model pada tahun ini termasuk Vespa Primera. - Sinar Harian

TAKZIAH !!! 2 Gambar kemalangan maut libatkan kenderaan Karpal Singh



Ahli parlimen Bukit Gelugor dan peguam kanan Karpal Singh maut dalam kemalangan dekat Tapah awal pagi ini.

Pembantu beliau Michael Cornandez turut meninggal dunia apabila kereta yang mereka naiki melanggar sebuah lori dalam perjalanan menuju utara di Lebuh Raya Utara Selatan kira-kira jam 1 pagi tadi.

Anaknya Ram Karpal dan pemandu kereta dilaporkan cedera.
Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 1 pagi berhampiran kilometer 301.6 arah utara Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).


Gambar di kawasan kemalangan menunjukkan kereta kenderaan Karpal rosak teruk.

Seorang jurucakap polis memberitahu Malaysiakini kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Alphard tersebut merempuh lori yang menukar laluan tanpa memberi isyarat.

Karpal, 74, menjadi lumpuh dan menggunakan kerusi roda selepas terbabit dalam satu kemalangan pada 2005.

Ahli politik lantang ini mendapat ijazah perundangan dari Universiti Singapura dan berkhidmat sebagai peguam sebelum bertanding kerusi Parlimen pada tahun 1978.

Perkhidmatan lama beliau sebagai MP Jelutong sebelum ini serta ucapan berapi di Dewan Rakyat menyebabkan beliau digelar 'Harimau Jelutong'.

Karpal melepaskan jawatan Pengerusi DAP baru-baru ini selepas didapati bersalah dalam kes hasutan.


Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan takziah melalui laman sosial twitter.

"Saya baru mendarat di Ankara (Turki) apabila mendapat khabar YB Karpal terbunuh dalam kemalangan jalan raya. Takziah kepada keluarga beliau," tulis twit tersebut.

Sementara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut bersedih dengan pemergian pemimpin veteran DAP itu yang turut menjadi peguamnya dalam kes Liwat II.

“Kami kehiangan sahabat; pejuang gigih keadilan Karpal Singh. Kami berbicara panjang melalui talipon jam 630 ptg semlm. Takziah buat keluarga,” kata Anwar di akaun Twitter @anwaribrahim.

Karpal merupakan salah seorang pemimpin yang menjayakan penubuhan gabungan pembangkang PR dianggotai DAP, PKR dan PAS selepas buat pertama kalinya majoriti tradisi dua pertiga Barisan Nasional (BN) dinafikan di Parlimen.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menulis di akaun Twitter @khalid_ibrahim: "Perkhabaran sedih. Negara kehilangan tokoh politik & peguam yang berwibawa. Takziah kepada seluruh keluarga mendiang Karpal Singh." - Sumber Inikalilah