Thursday 17 April 2014

VESPA LXV 150 3V i.e utama elemen KLASIK

NIK N HIDAYAT

PENGIMPORT  tunggal dan pengedar skuter Vespa di Malaysia, NAZA Premira Sdn Bhd melancarkan varian tambahan terbaru dalam rangkaian produk jenama itu baru-baru ini.

Vespa LXV 150 3V suntikan bahan api menggabungkan gaya vintaj jenama ikonik Itali dengan teknologi Piaggio termaju.

Yehuda (kiri) menggayakan Vespa LXV 150 3V i.e.

Turut hadir pada acara pelancaran rasmi tersebut ialah Pengurus Jualan Piaggio Asia Pasifik, Yehuda Sangaran, Naib Presiden Kanan Bahagian Diversified NAZA Group of Companies, Abdul Hamid Ismail, dan Naib Presiden Naza Two Wheels, Nik Danial Nik Mahmood.

Vespa LXV 150 3V mengekalkan struktur binaan Vespa LX sebelum ini tetapi menerima beberapa perubahan untuk menyerlahkan lagi perincian konsep klasik.

Perubahan yang dilakukan adalah semata-mata untuk membawa semula nostalgia kegemilangan Vespa pada tahun 1960-an termasuklah kemasan kromium pada hendal berbentuk tiub, skrin pengadang angin, lampu hadapan bulat dan pelana kulit gaya baharu.


Pengenalan model ini tidak hanya tertumpu kepada elemen klasik yang diilhamkan, bahkan menekankan teknologi enjin dan sistem suntikan bahan api terbaharu.

Unit ini menerima enjin empat lejang 154.8cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik tiga injap sebagai penjana kuasa utama.

Enjin 3V sejukan udara dikatakan lebih ringan berbanding model sebelumnya. Enjin yang dibangunkan di kilang Pontedera lebih menumpukan pengurangan geseran dalam enjin dan penggunaan bahan api lebih efisien.

Usaha intensif pengeluar skuter ikonik tersebut berjaya menghasilkan enjin yang lebih cekap bahan api - kira-kira 30 peratus lebih baik daripada generasi sebelumnya di samping kadar pelepasan pencemaran yang lebih rendah dan peningkatan tahap prestasi.

Varian terbaharu ini masih mengekalkan penggunaan lengan ayun tunggal pada bahagian hadapan dengan suspensi hidraulik. Manakala, sistem kejutan bahagian belakang boleh laras kepada empat tetapan pra-beban.


Skuter ini menggunakan tayar hadapan bersaiz 110/70 11 inci dan tayar belakang 120/70 10 inci untuk menyediakan pengendalian mudah.

Bagi daya hentian pula, ia dilengkapi dengan brek cakera 200 milimeter (mm) di hadapan dan 110mm di bahagian belakang.

Ketika majlis perasmian di Pusat Vespa 3S Petaling Jaya, Nik Danial Nik Mahmood menyatakan skuter ikonik terbaharu ini bukan hanya membawa pesona klasik Vespa, tetapi turut melengkapkan trend fesyen masa kini selain daripada aspek teknikal asas enjin dan teknologi terbaharu.

“Vespa telah menggabungkan elemen penting dalam reka bentuk popular klasik dengan teknologi Piaggio terkini untuk menyediakan keseronokan tunggangan dalam bandar atau menikmati perjalanan santai di luar bandar,” kata Nik Danial Nik Mahmood.

“Inovasi teknologi terkini disemai dengan baik kepada gaya retro Vespa khas buat pelanggan-pelanggan kami dengan pakej gaya, praktikal dan ekonomi,” tambahnya.

Vespa LXV 150 boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Midnight Blue, Rossa Chianti (Maroon) dan Beige dengan harga jualan asas RM 11,658.00.

NAZA Premira menyasarkan penjualan sebanyak 2000 LXV 150 3V bagi tahun ini. Syarikat milikan Bumiputera itu turut merancang untuk membawa tiga lagi model pada tahun ini termasuk Vespa Primera. - Sinar Harian