Showing posts with label national. Show all posts
Showing posts with label national. Show all posts

Tuesday, 8 July 2014

POLIS : Waspada bila menginap di hotel

Grafik ihsan Facebook PDRM

SIAPA sangka kegembiraan bercuti di hotel boleh bertukar musibah apabila anda mungkin kehilangan wang hanya dengan menerima satu panggilan telefon yang didalangi oleh sindiket penipuan.

Kebelakangan ini, terdapat satu sindiket penipuan licik yang memperdaya penginap hotel dengan membuat panggilan ke bilik hotel secara rambang bagi mendapatkan maklumat kad kredit mereka.

Modus operandi yang digunakan:

1. Mangsa menginap di sebuah hotel dan telah membuat pembayaran menggunakan kad kredit.

2. Ahli sindiket akan membuat panggilan ke hotel tersebut sebelum meminta disambungkan ke mana-mana bilik secara rambang.

3. Semasa berada dalam bilik, mangsa menerima panggilan telefon yang kononnya daripada “front desk” hotel, berkenaan masalah pengesahan kad kredit.

4. Ahli sindiket akan memperdaya memastikan mangsa untuk percaya panggilan tersebut adalah daripada “front desk” hotel dengan gaya percakapan yang profesional.

5. Mangsa diminta membacakan semula nombor kad kredit dan membuat pengesahan tiga digit nombor di belakang kad kredit yang telah digunakan.

6. Mangsa yang percaya akan memberikan semua maklumat kewangan yang diminta oleh ahli sindiket.


Nasihat polis:

1. Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada sekiranya menerima apa-apa panggilan yang meminta maklumat kewangan terutamanya maklumat kad kredit.

2. Ambil sedikit masa untuk bertanyakan beberapa soalan kepada pemanggil dan rujuk kepada orang ketiga (ahli keluarga/rakan) sebelum memberikan sebarang maklumat atau respon.

3. Dinasihatkan urusan pengesahan kad kredit hanya dibuat secara bersemuka di kaunter.

-Sinar Harian

HEBOH ikan makan bangkai babi

Inilah lokasi berhadapan sebuah stesen minyak seperti yang didakwa kononnya terletak kolam ikan terbabit namun gagal menemui kawasan yang dimaksudkan.

IPOH – Pengguna laman sosial Facebook gempar apabila tersebarnya lima keping gambar menunjukkan sebuah kolam menternak ikan air tawar yang didakwa menggunakan bangkai babi sebagai makanan ikan.

Gambar dan info terbabit turut tersebar di aplikasi WhatsApp pada petang semalam membincangkan kesahihan dakwaan rangka babi yang tidak dapat diketahui.

Pengguna laman sosial yang menggunakan nama Khirul Adnan Hamid mendakwa, kolam ternakan terbabit menjadi tumpuan warga Ipoh apabila ia pecah namun beliau terkejut apabila terdapat tulang dan kepala binatang dipercayai babi dalam kolam yang telah kering.

“Ya ikan itu makan babi dan kita makan ikan itu... tak dinafikan 99 peratus penternak bukan Islam bagi (ikan) makan babi, biasa saya dengar bagi makan usus babi, kali ini seekor babi dicampak di dalam kolam.

“Ia tulang babi sebab ada seorang seorang bukan Islam yang datang pun cakap babi, kalau kita fikir secara logik takkan orang nak letak lembu seekor dalam kolam sebab lembu mahal dan tak pernah lagi orang buat, pengalaman saya biasanya orang akan letak bangkai babi atau kuda,” tulisnya ketika menjawab persoalan pengguna lain di laman Facebook mengenai kesahihan dakwaannya, semalam.

Rata-rata pengguna memberi reaksi negatif kepada penemuan dibongkarkan Khirul Adnan dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tersebut.

Dikatakan ramai pengguna meletakkan kenderaan sepanjang laluan Lebuhraya Ipoh – Lumut semalam apabila kolam ternakan terbabit pecah.


Sinar Harian turut ke lokasi yang dikatakan oleh Khirul Adnan namun usaha mencari kolam terbabit menemui jalan buntu.

Pencarian ke kawasan Papan dan Pusing juga gagal menemui lokasi terbabit termasuk sepanjang laluan Ipoh – Lumut.

Sementara itu, Penasihat Pertubuhan Pencinta Alam dan Sukan Memancing Perak, Harrie Maulana berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan ataupun maklumat mengenai kejadian itu.

Bagaimanapun, pihaknya merasakan kewujudan rangka haiwan di dalam kolam berkenaan berkemungkinan penternak atau pemilik kolam memberi makan bangkai kepada ikan.

“Perkara itu bukanlah sesuatu yang memeranjatkan sebab spesies ikan jenis patin dan keli merupakan pemakan bangkai. Malah saya pernah lihat ada pengusaha kolam yang membuang bangkai dalam kolam mereka.

“Ada juga pengusaha yang memberikan organ dalaman haiwan seperti perut ayam. Tetapi kebanyakan pengusaha memberikan dedak untuk ikan mereka,” katanya kepada Sinar Harian. - Sinar Harian

CEMBURU !!! Pengantin baharu dibakar suami


Polis menyiasat tempat kejadian di rumah keluarga suami seorang wanita yang dibakar, semalam.

KANGAR - Pada masa mereka sepatutnya menikmati hidup bahagia berbulan madu, sepasang suami isteri yang baharu seminggu berkahwin sebaliknya sering bertengkar.

Puncanya kerana si suami dikatakan cemburu melampau lantaran mengesyaki isterinya main kayu tiga dengan lelaki lain.

Pagi semalam, perasaan cemburu itu dipercayai tidak terkawal lagi hingga dia dikatakan bertindak melampaui batas cuba membakar wanita itu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, kejadian berlaku di rumah keluarga lelaki itu di Kampung Abi, Padang Machang di sini,  kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

“Pada masa kejadian, seorang jiran mendengar pasangan itu bergaduh besar sebelum bertindak masuk ke dalam rumah berkenaan kerana risau berlaku perkara tidak baik. Dia terkejut apabila melihat suami isteri itu terbakar di dalam bilik air rumah berkenaan,” katanya.

Abdul Rahman berkata, berdasarkan siasatan awal , suspek yang juga seorang penganggur  berusia 23 tahun itu, dipercayai menyimbah petrol ke badan isterinya sebelum bertindak mencucuh dengan menggunakan pemetik api.

“Namun api turut menyambar kaki dan tangannya  mengakibatkan dia sendiri turut mengalami kesan terbakar kira-kira 20 peratus," katanya.

Menurut Abdul Rahman, mangsa pula mengalami kecederaan akibat terbakar kira-kira 85 peratus berikutan api menyambar bajunya menyebabkan bahagian pinggang dan kakinya terbakar.

Katanya, beberapa jiran menolong memadamkan kebakaran sementara menunggu kedatangan bomba dan penyelamat.

“Mangsa dihantar ke Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan rapi sementara suspek masih berada di Hospital Tuanku Fauziah dan akan direman untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.


Dalam pada itu, keluarga mangsa sepatutnya mengadakan majlis kenduri kesyukuran semalam bagi menyambut ulang tahun kelahiran wanita tersebut.

Nenek mertua mangsa berusia 70-an berkata, mereka sekeluarga sepatutnya mengadakan kenduri kesyukuran sempena hari lahir mangsa yang ke 23 semalam.

Bagaimanapun, mereka sekeluarga dikejutkan dengan kejadian berkenaan.

Menceritakan semula kejadian, ketika itu, dia baru pulang dari pasar sebelum terdengar jeritan orang meminta tolong dari dalam bilik.

“Saya kemudian masuk ke dalam rumah dan melihat badan mangsa sedang terbakar.

“Cucu saya yang cuba memadamkan api itu juga mengalami kecederaan, sebelum membantu mangsa dengan mengambil air dan mencurahkannya ke badan mangsa,” katanya dalam nada sedih. - Sinar Harian

Monday, 7 July 2014

Berjaya rakam visual ‘TOYOL’


Kanak-kanak lelaki itu masuk ke dalam kedai runcit melalui lubang kecil pada dinding kayu yang reput.

PETALING JAYA -  Tiga kali premis dipecah masuk membuatkan seorang pemilik kedai runcit di Kampung Sungai Kayu Ara memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan suspek.

Huzaifah Mohd Yatim, 25, terkejut selepas CCTV itu berjaya merakam visual seorang kanak-kanak sedang menggeledah barangan  dan mencuri wang yang disimpan dalam kedai jam 2.50 pagi 20 Jun lalu.

“Kanak-kanak itu mengaku  masuk ke dalam kedai melalui lubang kecil celah dinding papan kedai yang reput,” katanya.

Menurutnya, perangkap itu sengaja dibuat bagi mengesan pencuri yang menjadi buah mulut penduduk kampung itu selama ini.

“Saya kerugian besar selepas kedai dipecah masuk. Malah selepas ditangkap budak itu masih cuba pecah masuk kedai saya,” katanya.


Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Man berkata, dia kerugian RM4,000 selepas rumahnya dimasuki akhir bulan lalu.

“Dompet yang mengandungi wang saya letak di dalam poket seluar yang digantung di dalam bilik lesap dan kejadian itu disedari ketika saya bangun waktu pagi.

“Anehnya tiada kesan rumah dipecah masuk, tapi ada saksi yang nampak kelibat kanak-kanak merayau di sekitar rumah saya pada waktu malam,” katanya.

Menurutnya, laporan mengenai kejadian itu dibuat di Balai Polis Damansara. - Sinar Harian

'RAJA TOYOL' terlibat 23 kes kecurian


Raja Toyol dicekup penduduk selepas memecah masuk kedai runcit, di Kampung Sungai Kayu Ara, Damansara.

PETALING JAYA - Dia bukan anggota geng kongsi gelap, bukan penyamun, jauh sekali  perompak. Kalau dilihat dari luaran dia hanyalah seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.

Namun, siapa sangka dalam usia semuda itu dia mendapat gelaran Raja Toyol selepas terbabit dalam tidak kurang daripada 23 kes kecurian membabitkan kes pecah rumah, kecurian tabung masjid  dan kedai runcit  di kawasan Kampung Sungai Ara, Damansara, di sini, sejak setahun lalu.

Meskipun sudah acap kali ditangkap penduduk kampung kerana mencuri, bahkan pernah dibelasah kerana perbuatannya itu, budak lelaki yang sudah tidak bersekolah ini tidak serik,  malah bertambah aktif seolah-olah mencuri menjadi kerjaya sepenuh masanya.

Difahamkan kanak-kanak  ini hanya  memerlukan tempoh yang singkat untuk melarikan wang yang disimpan di dalam rumah tanpa disedari oleh pemiliknya. Sudah beribu ringgit masuk ke sakunya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya rakam visual ‘toyol’]

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Sungai Kayu Ara, Ramli Daud berkata, kanak-kanak  itu  pernah diserahkan kepada polis tetapi dibebaskan semula kerana dia di bawah umur.

“Dia bergerak seorang diri di dalam kampung dan sasaran utamanya adalah wang.

“Baru-baru ini dia pernah ditangkap  dan apabila ditanya ke mana wang curi itu dibelanjakan, dia dengan selamba memberitahu wang itu digunakan untuk berhibur di pusat siber. Saya  yakin dia berkawan dengan budak yang lebih besar dan di situlah wang itu dibelanjakan,” katanya.


Menurut Ramli, kanak-kanak ini melakukan kerja tidak kira siang ataupun malam. Jika ada peluang dia akan masuk ke dalam rumah sesiapa sahaja tanpa disedari.

“Dia akan sasarkan wang yang disimpan di dalam rumah, tidak kira di dalam poket seluar, almari mahupun laci.

“Peliknya dia boleh tahu di mana wang itu disimpan dan dengan  tubuhnya yang kecil dia boleh masuk ikut  lubang kecil selain tahu membuka gril pintu rumah,” katanya.

Jelas Ramli lagi, masalah itu sukar diselesaikan kerana keluarga kanak-kanak ini langsung   tidak mengambil berat  terhadapnya.

“Dia anak ketujuh daripada lapan adik-beradik dan tinggal  bersama ayahnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan. Keluarganya  sudah lali dengan cerita kanak-kanak itu ditangkap.

“Ramai yang nasihat ayahnya supaya tidak membiarkan anaknya terus begitu, tetapi tidak diendahkan,” katanya. - Sinar Harian

Friday, 4 July 2014

Dua tentera maut kereta perisai terbalik


Keadaan kereta perisai yang terbalik hingga meragut nyawa dua anggota tentera dan dua lagi cedera parah. - Foto Sinar Harian oleh Ridauddin Daud

KUALA KANGSAR - Dua anggota tentera ​masing-masing ​berpangkat Koperal dan Sarjan maut apabila kereta perisai tentera yang ​dinaiki ​bersama dua lagi anggota ​hilang kawalan ​sebelum terbalik di Kilometer 232 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan), petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.46 petang itu, mangsa, Sarjan Bayong Burma maut di tempat kejadian, sementara Koperal Che Mohd Fatanah Che Ismail, 31, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kangsar.

Dua lagi anggota dikenali Lans Koperal Freaddy Barlabas, 29, dan Koperal Sharifuddin Abdullah, 36, dilaporkan parah di beberapa bahagian badan dan sudah menerima rawatan di hospital sama.


Siasatan awal mendapati, kenderaan dipercayai dipandu Freaddy yang dalam perjalanan dari Kedah untuk menjalani latihan menembak di Negeri Sembilan itu, hilang kawalan akibat tayar pecah.

Keadaan itu menyebabkan, kenderaan terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik ke bahu kiri laluan. -Sinar Harian

Lagi gambar kemalangan, sumber daripada fb 









Thursday, 3 July 2014

'Saya boleh dihalau keluar dari rumah'


Ahmad menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada Rohayati ketika mengetuai rombongan AJK Persatuan Penduduk Desa YPK Bijangga, Dungun, pagi semalam.

BIJANGGA - Gara-gara suaminya dipenjara akibat kes dadah, seorang ibu kepada empat anak bukan sahaja gagal membayar tunggakan sewa rumah, malah terpaksa bergantung kepada ihsan adik-beradik untuk meneruskan kehidupan.

Walaupun sesuatu yang amat sukar untuk dihadapi, namun Rohayati Mohd Rasid, 33, terpaksa menerima segala ujian Tuhan dengan penuh sabar.

Berkongsi kedukaan, Rohayati berkata, sejak suaminya dipenjara dia terpaksa mencari kerja bagi membolehkan empat anaknya dapat meneruskan kehidupan termasuk tiga daripadanya, Mohd Iman Ikhwan, 9; Normaisarah, 15; serta Mohd Amir, 12, yang masih bersekolah.

Kata Rohayati, pendapatan yang diperoleh sebanyak RM30 sehari sebagai pembantu kedai makan kadangkala tidak cukup untuk menampung perbelanjaan anak-anak menyebabkan dia sering mengalami tekanan termasuk gangguan emosi.

Akibat masalah kewangan, Rohayati  yang kini menyewa rumah Flat Desa Keluarga Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Bijangga gagal menjelaskan sewa rumah yang kini sudah tertunggak lebih RM2,000.

“Saya boleh dihalau keluar dari rumah bila-bila masa kerana gagal membayar sewa.

“Kalau saya dihalau, saya tak tahu di mana saya harus tinggal, macam mana nasib anak-anak saya nanti jika tiada tempat berteduh?,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak, Mohd Rizki Raika, 1 tahun.

Menurut Rohayati, walaupun hidup miskin, namun dia tidak pernah meminta simpati daripada sesiapa pun, apatah lagi mengharapkan bantuan pihak tertentu.

Namun, dia tidak menolak jika ada pihak yang ingin membantu, terutama dalam membuat persiapan raya untuk anak-anak.

Katanya, masyarakat sering memandang serong padanya kerana suaminya seorang penagih dadah, namun dia tidak mampu keluar dari kemelut itu kerana tiada tempat bergantung selain abang dan seorang kakaknya yang sering menghantar bekalan makanan, itu pun tidak menentu.


“Kadang-kadang sedih juga, apabila abang lambat hantar makanan, kami terpaksa mengikat perut.

“Nak minta tolong, siapa yang nak bantu keluarga kami? semuanya sebab salah suami saya,” katanya yang kini sedang memikirkan status hubungannya dengan suami yang ditahan selama empat tahun di Pusat Pemulihan dekat Gambang Kuantan.

Kedukaan Rohayati yang tinggal empat beranak bersama seorang adik perempuan, Rosayuni Mohd Rasid, 15,  bagaimanapun sedikit terubat apabila menerima kunjungan daripada ahli jawatankuasa Persatuan Penduduk Desa Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Bijangga.

Pengerusi persatuan berkenaan, Ahmad Mahmood yang mengetuai rombongan itu turut menyampaikan sedikit sumbangan berupa barang keperluan untuk kegunaan keluarga Rohayati sempena Ramadan ini.

Kepada yang ingin menderma, boleh menyalurkan bantuan kepada Rohayati Mohd Rasid, akaun Bank Islam 13044020890774 atau hubungi di talian 017-9353652. - Sinar Harian

Wednesday, 2 July 2014

Kawasan tanah runtuh Jalan Imbi ditutup 2 minggu


KUALA LUMPUR - Kawasan terowong bawah tanah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang runtuh di simpang empat Jalan Imbi, di sini akan ditutup selama dua minggu untuk kerja-kerja baik pulih mulai hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pelaksanaan Projek dan Penyenggaraan) DBKL Datuk Mohd Najib Mohd memberitahu pemberita di tempat kejadian, kerja-kerja membaik pulih kawasan di tapak runtuhan sedang dijalankan.
 
Dalam kejadian 9.30 pagi ini, sebahagian struktur terowong sepanjang 35 meter itu yang dalam pembinaan bagi mewujudkan empat laluan kenderaan untuk mengurangkan kesesakan di simpang empat Jalan Imbi runtuh sedalam lima meter berikutan mendapan tanah.
 
Pada sidang media yang sama, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail pula berkata terdapat dua pergerakan tanah dikesan di kawasan itu pada 9.30 pagi dan 12.20 tengah hari.
 
"Kita khuatir kemungkinan akan berlaku lagi tanah runtuh di sepanjang terowong itu," katanya.


Beliau berkata ketika runtuhan tanah itu terdapat paip Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) pecah dengan air membuak keluar, dan pihaknya telahpun meminta Syabas menutup paip air tersebut, yang merupakan antara punca tanah di situ menjadi lembap.
 
"Untuk keselamatan sementara, kontraktor sedang membuang lebihan air di kawasan tersebut sebelum kerja-kerja menanam cerucuk dapat dilaksanakan bagi tujuan mengukuhkan kawasan di situ," katanya.
 
Azizan berkata pihaknya juga masih menunggu kajian daripada Syarikat Prasarana Negara, yang bertanggungjawab ke atas KLMonorail, untuk memastikan kedudukan struktur binaan tiang monorel di kawasan tanah runtuh itu sama ada terjejas ataupun tidak.
 
Sementara itu, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) berkata kejadian tanah runtuh itu tiada kaitan sama sekali dengan projek MRT.
 
"Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang tidak melalui kawasan kejadian tersebut," menurut MRT Corp dalam satu kenyataan. - Bernama

GEMPAR !!! Jalan Runtuh


"diminta jangan lalu jalan pudu atau jalan hang tuah sebab junction traffic lite kat tepi times square jalan runtuh 3 lane"












Sumber fb Aji Yusop

PEMBERI, PEMINTA sedekah bakal berdepan hukuman



PUTRAJAYA - Pemberi dan peminta sedekah bakal berdepan hukuman seperti denda apabila undang-undang berkaitan kegiatan mengemis di ibu negara diperketat, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
 
Beliau berkata langkah itu akan dilaksana di beberapa tempat tumpuan bagi mengurangkan budaya meminta sedekah yang mencemar imej ibu negara.
 
Tengku Adnan berkata keputusan itu diambil selepas pihaknya bermesyuarat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan beberapa agensi berkaitan baru-baru ini yang antara lain, membincangkan masalah kebersihan serta isu gelandangan.
 
"Kita akan ambil satu kaedah di mana yang pemberi kita akan saman dan penerima pula akan kita 'angkut' kerana kebanyakan peminta sedekah ini adalah orang asing.

 
"Selain itu, badan bukan kerajaan yang memberi makanan secara percuma kepada gelandangan juga akan ditetapkan tempatnya dan tidak boleh merata-rata tempat kerana ini akan mengundang kekotoran," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Nur Ramadan peringkat Putrajaya malam ini.
 
Terdahulu, dalam ucapannya, Tengku Adnan berkata kementerian itu dan agensi di bawahnya akan mengadakan majlis berbuka puasa di semua 13 kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan agar dapat mendengar permasalan rakyat dan lokasi pertama ialah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
 
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 780 penerima antaranya anak yatim, fakir miskin dan orang kelainan upaya. - Bernama

Tuesday, 1 July 2014

GEMPAR !!! Wisma Putra dijangka jawab isu diplomat dituduh lakukan serangan seksual di NZ

Anifah Aman bakal mengadakan sidang media pada jam 12 tengah hari ini.

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan mengadakan satu sidang media hari ini yang dijangka antara lain bagi menjawab isu seorang diplomat di New Zealand yang didakwa terbabit dalam satu kes serangan seksual dengan niat untuk merogol.

Menurut laporan The New Zealand Herald, Perdana Menteri New Zealand John Key mahu negara terbabit untuk memberikan pendirian yang jelas dan mahu diplomat berkenaan – di mana identitinya dan dari negara mana tidak didedahkan – untuk bertanggungjawab.

Tambah beliau, walaupun diplomat terbabit terlepas dari pendakwaan di New Zealand, namun beliau akan menghadapi tuduhan yang serius di negaranya.

Laporan itu turut berkata Kementerian Luar New Zealand secara rasmi telah meminta negara terbabit untuk mengetepikan kekebalan diplomatik (diplomatic immunity) tetapi permohonan itu dikatakan telah ditolak.

“Pilihan New Zealand adalah untuk mendakwa beliau. Namun negara terbabit menghalang kami berbuat demikian,” katanya kepada pemberita.


Dalam insiden 9 Mei itu, seorang lelaki dalam lingkungan 30-an didakwa telah mengekori seorang wanita berusia 21 tahun ke rumahnya sebelum melakukan serangan seksual.

Lelaki terbabit yang dikatakan seorang diplomat hadir buat kali pertama di Mahkamah Daerah Wellington pada 10 Mei lalu namun tiada media yang hadir ketika pembicaraan untuk membuat liputan.

MalaysiaKini.com sebelum ini melaporkan bahawa diplomat berkenaan bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand.

Portal berkenaan bagaimanapun tidak mendedahkan identiti diplomat terbabit kerana menunggu jawapan rasmi Wisma Putra.

Laporan yang sama berkata, akhbar di New Zealand dihalang daripada mendedahkan nama pesalah atau negara asal beliau selepas seorang hakim New Zealand mengeluarkan perintah larangan "suppression order" bagi mengelakkan identiti lelaki didedahkan. - Astro Awani

Monday, 30 June 2014

IBU remaja OKU diikat jamin


SEREMBAN – Selepas tiga hari Lolanopita Sadi, 40, didakwa di mahkamah, wakil Kesatuan Pekerja-Pekerja Brahim’s Airline Catering (BAC) hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban hari ini, bagi membayar wang jaminannya berjumlah RM7,000.

Dua wakil daripada syarikat tempatnya bekerja hadir kira-kira jam 3.30 petang.

Difahamkan, wang jaminan tersebut dibayar atas dasar kebajikan kesatuan pekerja tersebut terhadap nasib menimpa Lolalopita atau lebih dikenali sebagai Lola.

Pada 27 Jun lalu, Lola dihadapkan di mahkamah seksyen di sini atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan meninggalkan anaknya yang juga OKU, Muhammad Firdaus Dullah, 15, tanpa pengawasan pada 21 Jun lalu di sebuah bilik Flat Taman Semarak, Nilai.


Bagi kesalahan tersebut, wanita berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) dan Seksyen 33(c) Akta Kanak-Kanak 2001.

Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan (RM3,500 satu pertuduhan) dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 24 Julai, sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Sementara itu, menurut sumber, Lola kini diberi cuti tanpa gaji oleh majikannya sehingga kesnya selesai. - Sinar Harian

TEKNOLOGI ::: Kesan babi dalam 1 minit


PROF DR ANUAR AHMAD

SETIAP kali ke pasar, perkara utama yang selalu kita fikirkan ialah mahu membeli barangan yang baik sebagai santapan keluarga. Dan sebagai orang Islam, makanan itu seharusnyalah halal.

Namun dalam keadaan di sebuah negara yang lebih 70 peratus produk makanan dikeluarkan oleh pengusaha bukan Islam, tidak dapat tidak, pasti timbul keraguan dari segi status halalnya. Akan tetapi, kita memang tidak ada pilihan. Biarpun sangsi, perut perlu juga diisi.

Dalam keadaan ini, apa yang paling kita boleh harapkan ialah adanya logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Namun timbul pula isu-isu berkaitan logo halal Jakim.

Sudahlah jenuh dengan cerita logo halal palsu, kontroversi demi kontroversi turut mencarikkan keyakinan. Lalu ke mana lagi mahu disandarkan pergantungan?

Langkah Universiti Selangor (Unisel) membangunkan produk kit halal yang berfungsi untuk mengenal pasti bahan tidak halal dan berupaya memberikan keputusan dalam tempoh sesingkat seminit diharap akan membawa kelegaan dan menyelesaikan masalah umat Islam di negara ini, dan mungkin juga di seluruh dunia suatu hari nanti.

Ikuti kupasan lanjut berkaitan alat canggih ini daripada Naib Canselor Unisel, PROF DR ANUAR AHMAD yang disediakan wartawan Sinar Harian, Robiatuladawiyah Abd Rashad, Noor Ainulyakin Mohamad Ishak & Siti Nursyahidah Abu Bakar.

Anda sedang membeli-belah di pasar raya dan terpandang satu produk makanan yang begitu anda inginkan. Namun, mungkin akibat terpengaruh dengan penyebaran maklumat dalam media sosial kononnya produk berkenaan mengandungi unsur haram, anda dibelenggu rasa was-was.

Mengikut nasihat agamawan, apabila timbul rasa was-was, anda perlu jauhi makanan itu.

Akan tetapi dengan adanya teknologi halal kit, situasi anda tidak perlu sampai ke tahap itu.

Ini kerana teknologi yang sedang dibangunkan Universiti Selangor (Unisel) mampu memberikan anda jawapan halal atau tidak sesuatu makanan hanya dalam tempoh seminit.


Sangat cepat dan sangat mudah, bukan?

Dengan adanya teknologi ini, anda juga tidak perlu membawa senarai panjang logo halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk disemak setiap kali mahu membeli sesuatu produk yang mungkin logo-logo itu juga belum sahih keasliannya disebabkan peniruan pada zaman serba canggih ini sangat licik.

Sama ada terdapat logo halal Jakim ataupun tidak, anda boleh periksa sendiri untuk memastikan sesuatu produk itu mengandungi unsur babi ataupun tidak. Malah produk yang tidak ada logo halal sekalipun anda boleh kunyah dan telan tanpa was-was jika mendapati ia bebas daripada unsur haiwan itu.

"Inilah gunanya kit halal yang sedang kita usahakan," kata Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad ketika ditemui di kampus universiti itu di Shah Alam.

Mengenai projek kit halal itu, Anuar menjelaskan bahawa Unisel diberi peruntukan RM1.3 juta untuk membangunkan alat itu dalam tempoh 18 bulan dan dijangka siap pada Disember 2015.

"Alat ini bukan untuk makanan saja tetapi juga kosmetik dan ubat-ubatan," katanya.
 

Kesan zat babi serendah 0.001 peratus

Kit halal bukan perkara baharu. Sebelum ini, di negara kita sahaja sudah ada beberapa pihak terutama universiti yang cuba memajukan kit halal.

Namun setakat ini, teknologi yang akan dibangunkan Unisel dikenal pasti sebagai yang termaju.

"Kit halal yang ada sebelum ini berfungsi untuk mengesan kandungan DNA babi saja. Ini berbeza dengan apa yang kita akan keluarkan yang mana kit halal Unisel menggunakan teknologi pengesan nano bagi mengetahui kandungan zat babi sekecil 0.001 peratus," kata Anuar.

Sebagai contoh, kandungan perisa dalam makanan atau gelatin yang digunakan pada kapsul, zatnya memang terlalu rendah.  Apabila alat pengesan konvensional yang kemampuannya untuk mengesan hanya sekadar lingkungan 20 peratus, ia tidakakan dapat memberi bacaan tepat mengenai kandungan sebenar bahan terlarang dalam produk itu.

Itulah kelebihan kit halal Unisel yang mampu mengesan zat serendah 0.001 peratus iaitu zat paling rendah yang kebiasaannya terkandung dalam makanan,  kosmetik atau ubatan dalam pasaran
.

Bagaimana menggunakannya?

Mudah, sangat mudah! Hanya masukkan sampel ke dalam pengesan, kemudian goncang hingga larut dalam masa 10 saat. Seterusnya uji bahan yang sudah larut itu dengan alat pengesan elektronik pada kit.

Secara automatik, kit akan mengeluarkan cahaya floresen yang akan menentukan kandungan zat babi dalam tempoh seminit!


Siapa yang akan gunakan kit itu?

Kumpulan utama sasaran menggunakan kit halal Unisel ialah penguat kuasa. Selepas itu, baharulah ia diperluaskan kepada orang ramai. Namun alat berkenaan mungkin dikeluarkan dalam versi berbeza antara penguat kuasa dan pengguna.


Berkesankah?

Walaupun kecil bentuknya, kata Anuar, kit halal itu tidak perlu diragui kerana pihaknya melaksanakan mandat Kerajaan Selangor untuk membangunkan teknologi itu dengan penuh amanah dan tanggung jawab.

"Walaupun kecil ia dapat menjimatkan kos berbanding ujian makmal. Oleh itu, jangan ragu-ragu menggunakan alat ini, kerana hasil ujiannya diyakini tepat, setanding dengan hasil ujian makmal yang menelan belanja ribuan ringgit,” katanya penuh yakin.


Cabaran mendapatkan komponen

Namun  dalam setiap penciptaan, pasti halangan dan cabaran tidak dapat dielakkan. Ia diakui sendiri oleh Anuar yang mana katanya, proses mendapatkan komponen elektronik kit mungkin agak sukar kerana kini ia lebih kecil dan teknologinya berbeza.

"Teori tentang kit ini, memang tidak ada masalah kerana telah selesai, hanya menunggu bajet diumumkan kerajaan negeri untuk membeli komponen elektronik dan pengesan yang dijangka diperoleh Julai ini.

“Saya pernah menghasilkan alat yang hampir serupa sebelum ini. Namun, kebanyakan komponen digunakan ketika itu sudah tidak ada dalam pasaran. Jadi, kita perlu mendapatkan komponen baru yang lebih canggih. Kita juga akan menggunakan teknologi dan kepakaran dari Amerika Syarikat bagi memastikan alat ini mengikut piawaian sebelum dipasarkan,” katanya.


Hilangkan rasa was-was

Sebagai pengguna apabila ada alat yang boleh mengesan status halal dengan kadar segera, pastinya sesiapa juga mahu memilikinya bagi mengelak perasaan was-was yang membelenggu diri sebelum ini.

“Walaupun ada logo halal Jakim, ia masih dilihat kurang memberi keyakinan kepada pengguna berikutan banyaknya lambakan logo halal palsu di pasaran. Jadi, jika tidak mahu timbul rasa ragu-ragu, penggunaan kit halal seperti yang dinyatakan sedikit sebanyak dapat mengatasi masalah itu,” katanya.

Oleh itu, harapannya, sekiranya kit ini siap kelak, ia bukan saja akan dipasarkan di Selangor dan negeri lain, malah di seluruh dunia agar kelebihannya dapat digunakan sebaiknya oleh umat Islam di mana-mana sahaja.

Bagi Unisel, penghasilan kit itu lebih kepada niat fardu kifayah kepada pengguna Muslim, bukan untuk mengaut keuntungan dan secara tidak langsung, ia juga boleh menjadi nilai tambah kepada kredibiliti Unisel. -Sinar Harian

Sunday, 29 June 2014

GEMPAR !!! Pekerja restoran melampau


Gambar dipercayai suspek dengan tangan bergari mula disebarkan di Facebook.

SEREMBAN – Seorang wanita terkejut apabila dua pekerja warga asing sebuah restoran, di sini dengan berani memeluk dan mengusap anak perempuannya berusia 10 tahun secara tiba-tiba ketika dia sedang membeli air, Khamis lalu.

Ibu mangsa berusia 30-an yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu anaknya turun membeli air seorang diri di restoran berkenaan.

Menurutnya, dia memberhentikan kenderaannya di hadapan kedai makan terbabit dan hanya menunggu di dalam kereta bersama seorang lagi anak perempuannya berusia enam tahun.

“Saya suruh anak sulung turun seorang diri kerana hanya mahu membeli air. Malah kereta saya diparkir betul-betul berhadapan kedai makan berkenaan.

“Dari dalam kereta saya lihat pergerakan anak. Tapi tiba-tiba saya pelik apabila salah seorang pekerja di situ memeluk anak saya dari belakang,” katanya.

Malah katanya, seorang lagi pekerja turut bertindak di luar batasan apabila dengan sengaja mengusap leher dan pipi anaknya.

Berang dengan keadaan itu, dia membunyikan hon kereta beberapa kali sebagai tanda amaran sebelum pekerja terbabit melarikan diri dan bersembunyi di bahagian belakang kedai.


“Saya turun berjumpa dengan penyelia restoran terbabit kerana tidak berpuas hati dengan tindakan kurang sopan tersebut.

“Tapi dia memujuk saya agar tidak membesarkan hal itu dan meminta maaf mewakili pekerjanya. Saya memang bengang sangat sebab dia berani usik anak perempuan saya macam itu. Memang dia masih kanak-kanak tapi janganlah sesuka hati mahu memeluk dan mengusik anak orang,” katanya.

Sebaik sahaja pulang ke rumah, dia memaklumkan perkara itu kepada suaminya sebelum membuat laporan di Balai Polis Senawang.

Sementara itu, Sinar Harian mendapati, gambar dua lelaki warga asing dengan tangan bergari dipercayai suspek  mula disebarkan di laman Facebook, sejak Khamis lalu.

Malah ia turut mendapat pelbagai maklum balas orang ramai yang ternyata sangat terkejut dan tidak berpuas hati dengan kejadian yang berlaku. - Sinar Harian

Saturday, 28 June 2014

WARDINA :: 'Perasaan saya tidak penting'


Wardina

PENEMUAN remaja OKU, Muhammad Firdaus Dullah, 15, pada Sabtu lalu, di Flat Semarak, Nilai, mendapat perhatian seluruh masyarakat.

Di saat masing-masing sedang membuat andaian sendiri, kenyataan yang dikeluarkan pelakon dan pengacara, Wardina Safiyyah, mengenai nasib remaja OKU ini mendapat pelbagai reaksi masyarakat.

Wardina menerusi Instagram, berkata perkara ini berpunca daripada ibu bapa remaja OKU yang tidak diberikan bantuan.

Malah, Wardina turut membandingkan sistem pengurusan kerajaan dan polisi negara ini dengan tempat kediamannya, Australia.

Walaupun ada yang menyokong tindakan Wardina yang dilihat lantang bersuara, namun ada juga yang memandang negatif terhadap kenyataan selebriti ini.

Malah, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, membidas kenyataan Wardina dan memberitahu bahawa kerajaan sebenarnya telah mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan keperluan remaja berkenaan dipenuhi.

Meskipun dikritik, dicemuh dan menerima tohmahan, namun Wardina tetap positif dan berpegang teguh kepada kenyataannya sebelum ini.

"Perasaan saya tidak penting. Yang penting adalah perasaan ibu bapa yang selama ini menjaga anak-anak OKU.

"Jangan tanya saya, tanyalah ibu bapa yang mempunyai anak-anak OKU, bagaimana perasaan mereka sepanjang menjaga anak-anak istimewa ini.

"Tanya juga kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terlibat dengan perkara ini seperti Orkids.

"Saya pernah bekerjasama dengan mereka," katanya menerusi perbualan di Facebook miliknya.


Kongsi kisah rakan

Dalam pada itu, Wardina juga turut berkongsi kisah rakannya di Facebook yang perlu menjaga suaminya yang berstatus OKU.

Menerusi tulisan itu, suaminya dikatakan mengidap sejenis penyakit kulit bersisik (Psoriasis) dan bengkak sendi seluruh badan (rheumatod arthritis) yang kronik, terpaksa menunggu lebih setahun untuk mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, dia turut menyokong pendapat Wardina yang dilihat dapat membantu dalam menyedarkan kerajaan mengenai kesukaran untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya.

Selain itu, menerusi tulisan itu, pemilik akaun bernama, Khairun Darwani Khairuddin, permohonan untuk mendapatkan bantuan JKM bukanlah semudah yang disangka.

Menurutnya, untuk mendapatkan bantuan RM300 sebulan, permohonan mereka akan disaring dan sekiranya ibu bapa anak-anak OKU bekerja, peluang untuk mendapatkannya sukar.

"Bagi yang layak pula, mereka terpaksa membawa anak-anak OKU ini menghadiri kelas Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sekurang-kurangnya lapan kali sebulan.

"Agak tidak logik untuk membawa anak-anak OKU yang terlantar sakit, tambahan pula kekangan masa ibu bapa yang bekerja," katanya. - Sinar Harian

Friday, 27 June 2014

AWAS penyebar berita palsu akan dihukum


Mohd Roze Shaari

KLUANG - Polis di daerah ini mengingatkan orang ramai yang menyebarkan berita palsu sehingga menimbulkan rasa tidak selamat kepada orang lain boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner, Mohd Roze Shaari berkata, bagi individu yang melakukan kesalahan itu, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atau Seksyen 4 Akta Hasutan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berita yang tersebar di laman sosial Facebook kononnya wujud kegiatan penculikan kanak-kanak dan remaja menggunakan kenderaan van berwarna putih yang menggunakan nombor plat negara jiran berlaku di daerah ini.

“Semua balai dan pondok polis di daerah ini tidak ada menerima sebarang laporan mengenai kegiatan berkenaan seperti yang disebarkan individu tidak bertanggungjawab itu, malah anggota bertugas di bahagian rondaan turut tidak pernah menemui van dimaksudkan.

“Jika ada, sudah pasti mereka yang terlibat ini ditahan kerana semua pintu masuk melalui jalan utama ke daerah ini diadakan sekatan jalan 24 jam sehari sejak lebih sebulan lalu,” katanya kepada  Sinar Harian, semalam.


Mohd Roze berkata, sekiranya kejadian penculikan itu terjadi sudah pasti pihaknya menerima laporan daripada ibu bapa mahupun penjaga namun, sehingga kini beliau rasa pelik bagaimana berita seumpama itu boleh disebarkan sesuka hati oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Beliau mengingatkan masyarakat khususnya belia yang mempunyai laman sosial facebook agar tidak mudah percaya terhadap berita yang disalurkan seterusnya memanjangkan berita itu kepada kawan lain kerana mereka juga boleh dikenakan tindakan.

“Jika orang ramai terbaca tentang berita seperti ini di mana-mana laman sesawang, mereka hendaklah terlebih dahulu merujuk kepada pihak polis untuk mengetahui kesahihannya,” katanya.

Mohd Roze turut menyarankan sekiranya menerima sebarang berita palsu sama ada di laman sesawang atau sebagainya  hendaklah dimaklumkan kepada pihaknya agar tindakan boleh diambil kepada individu tidak bertanggungjawab berkenaan. - Sinar Harian

BONGKAR !!! Cukuplah derita yang ditanggung


Penuh rasa belas kasihan...Faizal ketika bertemu Firdaus.

PENGARAH Imigresen Negeri Sembilan, Faizal Fazri Othman berasa marah dan kecewa bila terkenang Muhammad Firdaus Dullah, 15.

Bersama wartawan Sinar Harian, SYAMILAH ZULKIFLI, Faizal kembali mengimbas kenangan sewaktu pertama kali bertemu insan istimewa itu.

SABTU lalu, ketika dia dijumpai tubuhnya hanya tinggal tulang. Perutnya langsung tidak berisi.

Malah paling menyedihkan dia ditinggalkan di sebuah bilik kosong yang kotor dan berbau busuk.

Sehingga kini, saya masih gagal membendung rasa marah. Kecewa dan segala macam perasaan timbul setiap kali terkenang adik Muhammad Firdaus Dullah. Saya tidak sanggup memikirkan seorang anak kurang upaya dibiarkan dalam keadaan sebegitu rupa.

Semuanya bermula selepas menerima maklumat daripada jawatankuasa rumah pangsa Taman Semarak Nilai berhubung lambakan warga asing yang tinggal di situ.

Jadi saya melakukan operasi dan rumah Firdaus merupakan antara rumah yang menjadi sasaran.

Ketika menghampiri rumah terbabit kami mendapati hanya pintu besi yang berkunci.

Dari luar saya tolak pintu rumah. Ketika itu hati saya dapat rasa ada orang yang sedang bersembunyi di dalam kerana lampu tidak ditutup.

Saya cuba  memanggil beberapa kali namun tidak disahut sesiapa. Jadi saya arahkan pintu besi rumah terbabit dipecahkan.

Pemeriksaan dilakukan di setiap sudut rumah. Salah sebuah pintu bilik di rumah itu tertutup seolah-olah ada seseorang bersembunyi di dalam. Ketika itu jam sekitar 2.30 pagi.

Namun ketika pintu bilik itu ditolak saya terus beristighfar panjang.

Saya terlihat satu susuk kecil. Saya seperti melihat rangka bernyawa.

Dia sedang baring beralaskan lantai. Sedangkan lantai itu bergelumang dengan najis dan sisa makanan.

Ada sebuah kerusi roda dan sebiji bantal ditinggalkan. Firdaus yang pada awalnya baring, bangun dan merenung saya. Saya lihat ada najis keras melekat di rambutnya. Air mata saya mula bergenang. Hampir menitis.


Tiada perasaan jijik. Bau busuk dan hamis pula seperti hilang tiba-tiba. Malah seolah bau wangi syurga mula meresap hidung.

Apa yang timbul hanya rasa belas. Saya hampiri tubuh kurus itu. Saya usap kepalanya. Hati saya terlalu sebak.

Melihat keadaannya yang kurus kering, saya percaya dia sudah lama tidak menyentuh makanan.

Ramai yang bertanya kepada saya bagaimana perasaan menjadi orang pertama melihat Firdaus?

Jawapan saya, hanya mereka yang tidak mempunyai hati sahaja tidak sedih melihat Firdaus.

Sebab itu saya terus mengusap kepala dia kerana saya betul-betul tidak sangka dia yang tidak berupaya dibiarkan hidup dalam keadaan yang sangat menyedihkan.

Tapi sampai sekarang pun saya masih berfikir kenapa saya digerakkan ke situ?

Syukur ALLAH gerakkan hati ini ke sana. Seandainya tidak, mungkin sehingga hari ini tiada sesiapa pun tahu derita hidup remaja OKU bernama Firdaus.

Mungkin Firdaus akan terus menderita seorang diri. Syukur kepada ALLAH semakin bertambah.

Saya gembira lihat perubahan Firdaus. Keadaannya jauh lebih baik berbanding ketika mula dijumpai. Saya bersyukur dia kini dapat segala yang diperlukan. Cukuplah derita yang dia tanggung selama ini...

Ketika ini bukan masa untuk tuding jari tetapi penemuan itu perlu dijadikan pengajaran pelbagai pihak agar lebih menghargai anak-anak sendiri termasuk juga mereka yang bergelar orang kurang upaya (OKU). - Sinar Harian

Thursday, 26 June 2014

GELOMBANG KEDUA !!! Lebih 700,000 rumah di lima wilayah alami gangguan bekalan air

KUALA LUMPUR 26 Jun - Lebih 700,000 rumah di sekitar wilayah Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam dan Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual hari ini.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dalam kenyataan hari ini, berkata gangguan ini berikutan pengeluaran air terawat dari loji rawatan air yang berkaitan tidak dapat menampung permintaan air tinggi di kawasan itu.

SYABAS menjangkakan pemulihan bekalan air mengambil masa agak lama dan tidak dapat ditentukan kerana bergantung kepada bilakah loji rawatan air yang terlibat dapat mencapai pengeluaran maksimum dan jika terdapat sumber air terawat tambahan disediakan.


SYABAS akan terus menggerakkan lori tangki air dan tangki statik untuk pengagihan bekalan air kecemasan tetapi bantuan itu amat terhad serta tidak mampu menampung sepenuhnya permintaan pengguna di kawasan terlibat, katanya.

Antara kawasan yang terlibat ialah: Wilayah Gombak

Air Panas

Aman Siara

Ampang Jaya

Ampang Jaya Water Front

Andaman Ukay

Astana Gemilang

AU1-AU5

Balai Polis Gombak

Bandar Baru Ampang

Bandar Baru Selayang

Bandar Baru Wangsa Maju

Beverly Height

Bukit Antarabangsa

Bukit Idaman/Idaman Hills

Bukit Indah

Bukit Lela

Bukit Setiawangsa

Bukit Wangsa Mas

Dagang Jaya/Halaman Indah

Dataran Ukay

Desa Bakti

Desa Hussein Onn

Desa Lembah Pantai

Desa Melawati

Desa Minang

Gombak Setia

Harmonis

Industri Bolton

Intan Baiduri

Jalan Ampang

Jalan Chung Hwa Gombak

Jalan Genting Kelang

Jalan Hulu Kelang

Jalan Kepong

Jinjang Baru

Jinjang Selatan

Kampung Ampang Campuran

Kampung Ampang Indah

Kampung Baru Ampang

Kampung Cangkat

Kampung Dato Mufti

Kampung Datuk Keramat

Kampung Kemensah

Kampung Kerdas

Kampung Klang Gates

Selayang Utama

Sering Ukay

Setapak Jaya

Sri Edaran Kepong

Sri Gombak

Sri Melati

Sri Murni

Taman Ampang Indah

Taman Ampang Mewah

Taman Ampang Prima

Taman Ampang Utama

Taman Andaman Wangsa Maju

Taman Beringin Jinjang

Taman Bidara

Taman Bukit Ampang

Taman Bukit Ampang Permai

Taman Bukit Jaya

Taman Bukit Jubina

Taman Bukit Kemensah

Taman Bukit Mas Melawati

Taman Bukit Mewah

Taman Bukit Mulia

Taman Bukit Utama

Taman Bunga Raya

Taman Cahaya Indah

Taman Cemerlang

Taman Danau Kota

Taman DAR

Taman Desa Setapak

Taman Fadason

Taman Faizura Ampang

Taman Gombak Jaya

Taman Grandview Ampang Jaya

Taman Halaman/KESUMA

Taman Harmonis

Taman Hijau

Taman Hillview

Taman Ibukota

Taman Kamariah

Taman Kelab Ukay

Taman Kemensah Indah

Taman Kepong

Taman KOSAS

Taman Melati

Taman P. Ramlee Wilayah Klang/Shah Alam

Bandar Putera

Batu 3 Shah Alam

Batu 8 Bukit Kemuning

Bukit Naga

Bukit Jelutong

Jlan Harum Estate

Jalan Hulubalang

Jalan Kebun

Jalan Kebun Nanas

Jalan Sellathevan

Kampung Baru HICOM

Kampung Kebun Bunga

Kampung Lombong

Kota Kemuning

Lorong Seri Gambut

Puncak Perdana

Putra Height

Seksyen 1-3, Shah Alam,

Seksyen 7-9, Shah Alam

Seksyen 11-13, Shah Alam

Seksyen 16, Shah Alam

Seksyen 22, Shah Alam

Seksyen 25 (Axis), Shah Alam

Seksyen 26-28, Shah Alam

Seksyen 32,33, Shah Alam

Taman Alam Impian, Seksyen 35, Shah Alam

Bukit Rimau

Berjaya Park

Johan Setia

Sri Lembayung

Subang Mas

Taman Alam Nyata

Taman AMJ

Taman Cahaya SPK

Taman D'Kayangan

Taman Desa Kemuning

Taman Desa Latania

Taman Kandis Permai

Taman Samarinda

Taman Sentosa

Taman Sunway Suria

Taman Subang Impian Wilayah Petaling

Seluruh USJ Subang Wilayah Kuala Lumpur

Flat DBKL Dato Keramat

Jalan Padang Tembak

Jalan Semarak

Jalan Gurney

Kementah

Pulapol

Wisma Tanah

JUPEM

Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

FELDA

Pusat Latihan Telekom

Jalan U-Thant

Jalan Ampang Hilir

Taman Pandan Jaya

Taman Cempaka

Taman Bakti

Taman Nirwana

Kampung Pandan Dalam

Taman Cahaya

Pandan Cahaya

Taman Dagang

Taman Shamelin Perkasa

MINDEF

Taman Tenaga

Taman Miharja

Taman Kobena

Desa Pandan

Flat Sri Melaka

Jalan Kent 1 hingga 7

Taman Putra Sulaiman

Taman Pandan Utama

Bandar Sri Permaisuri

Senarai bagi wilayah Hulu Langat tidak disertakan dan juga beberapa kawasan lain yang turut terjejas. - BERNAMA

BONGKAR !!! Isteri sayangkan Firdaus, tak pernah dera



SHAH ALAM - Bapa tiri kepada remaja malang, Muhammad Firdaus Dullah berkongsi rasa bahawa isterinya itu terlalu menyayangi anak sulungnya yang juga orang kurang upaya (OKU).

Menurut laporan sebuah portal, lelaki itu yang hanya mahu dikenali dengan panggilan Abdullah berkata, isterinya yang dikenali pada 2004 itu ada memberitahu bahawa dia mempunyai anak OKU sebelum mereka berkahwin.

“Isteri saya terlalu sayangkan anaknya itu dan saya tidak pernah melihat dia menderanya sejak kami berkahwin 10 tahun lalu,” ujarnya.

Menurutnya lagi, ibu Muhammad Firdaus atau dikenali dengan panggilan Lola itu dijadikan isteri keduanya selepas mengenalinya dalam tempoh setahun.

“Dia sentiasa berkongsi masalah dan menceritakan penderitaan serta kesusahan dialaminya," ujarnya lagi.

Malah lelaki itu turut mengakui, jarang pulang ke rumah isteri keduanya kerana perkahwinan dengan Lola dirahsiakan daripada isteri pertama.

“Sejak berkahwin, saya akui jarang pulang ke rumahnya di Flat Semarak, Taman Semarak, Nilai, kerana saya merahsiakan perkahwinan itu daripada isteri pertama.

“Saya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab dengan memberikan Lola wang setiap bulan untuk perbelanjaannya dan anak termasuk Muhammad Firdaus,” katanya.


Muhammad Firdaud ditemui pihak Imigresen kira-kira jam 2 pagi dalam keadaan tidak terurus semasa operasi memburu pendatang asing tanpa izin (Pati) di Taman Semarak, pada 21 Jun lalu.

Semasa ditermui, remaja berkenaan dilaporkan dalam keadaan lapar, tidak terurus dan dibiarkan bergelumang ditempat yang kotor dan bernajis.

Muhammad Firdaus kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban manakala ibu kandungnya direman polis hingga ke hari ini. - Sinar Harian

GEMPAR !!! Perompak tawar diri jadi kekasih!


Razak terpaksa mengemas kembali barangan di bilik tidur yang berselerak selepas diselongkar perompak.

BANDAR BAHARU – Pelik tapi benar! Detik berhadapan dengan penyamun sepatutnya menjadi saat mendebarkan boleh bertukar menjadi satu koleksi cerita lucu yang mungkin diingati sampai bila-bila.

Situasi itulah yang berlaku kepada seorang gadis apabila seorang daripada empat lelaki yang memecah masuk kediamannya di Kampung Permatang Pasir, awal pagi semalam, menawarkan diri untuk menjadi teman lelaki.

Gadis dikenali Nurul, 24, penuntut sebuah universiti berkata, lelaki berusia lingkungan 25 tahun itu mengakui meminatinya dalam diam dan berhasrat untuk menjadikannya teman wanita.

Menurutnya, lelaki itu juga memaklumkan sering memerhatikannya terutama di majlis keramaian yang diadakan di kawasan itu.

“Dalam sibuk mereka cari barang, lelaki itu setia berada dekat dengan saya, dia tak ikat saya, cuma ajak saya berbual-bual, hampir satu jam juga kami berbual.

“Dia juga kata nak jadi rakan dalam Facebook dan mahukan nombor telefon supaya senang untuk berbual nanti. Saya tak dapat kenal siapa mereka, sebab pakai
topeng,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Pertubuhan Sukarela Keselamatan dan Kebajikan Islam Kerian (PSKK), Abdul Sukur Ahmad.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, empat lelaki berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun itu dipercayai memecah masuk rumah berkenaan melalui pintu belakang sebelum mengikat tiga ahli keluarga lain iaitu, kakak, abang ipar dan anak saudara Nurul.

Selain wang ringgit, barang kemas, dua komputer riba, telefon bimbit dan sebuah gitar dengan nilai keseluruhan hampir RM10,000 turut dilarikan kumpulan itu.


Nurul berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur dalam biliknya sebelum dikejutkan dua lembaga hitam yang berdiri di atas katil.

Katanya, tergamam dengan kehadiran dua lelaki tidak dikenali itu, dia cuba menjerit meminta tolong, namun mulutnya segera ditutup.

“Saya disuruh baring atas katil, seorang daripada mereka ada cuba buat sesuatu, namun dihalang seorang lagi rakan.

“Saya rasa mungkin itu ketua kumpulan sebab dia siap bagi amaran akan membelasah  mereka sekiranya saya diapa-apakan,” katanya.

Sementara itu, abang ipar mangsa dikenali Razak, 35, tidak menolak kemungkinan, kumpulan lelaki itu merupakan orang tempatan.

“Saya percaya mereka memecah masuk rumah kami melalui salah satu pintu belakang rumah dan melarikan diri dengan meredah semak-samun di belakang rumah, ini kejadian pertama berlaku di rumah ini.

“Apa-apapun saya bersyukur, semua ahli keluarga selamat walaupun ada antara mereka ugut akan memperkosa adik ipar saya sekiranya melawan,” katanya.

Laporan polis dibuat di Balai Polis Bandar Baharu, jurucakap polis ketika ditemui mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan masih sedang dijalankan.

Dalam pada itu, Abdul Sukur menegaskan, PSKK menawarkan kesediaan untuk membantu polis dalam mempertingkatkan rondaan di sekitar kawasan Kampung Permatang Pasir terutama pada waktu malam. - Sinar Harian