Friday 27 June 2014

AWAS penyebar berita palsu akan dihukum


Mohd Roze Shaari

KLUANG - Polis di daerah ini mengingatkan orang ramai yang menyebarkan berita palsu sehingga menimbulkan rasa tidak selamat kepada orang lain boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner, Mohd Roze Shaari berkata, bagi individu yang melakukan kesalahan itu, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atau Seksyen 4 Akta Hasutan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berita yang tersebar di laman sosial Facebook kononnya wujud kegiatan penculikan kanak-kanak dan remaja menggunakan kenderaan van berwarna putih yang menggunakan nombor plat negara jiran berlaku di daerah ini.

“Semua balai dan pondok polis di daerah ini tidak ada menerima sebarang laporan mengenai kegiatan berkenaan seperti yang disebarkan individu tidak bertanggungjawab itu, malah anggota bertugas di bahagian rondaan turut tidak pernah menemui van dimaksudkan.

“Jika ada, sudah pasti mereka yang terlibat ini ditahan kerana semua pintu masuk melalui jalan utama ke daerah ini diadakan sekatan jalan 24 jam sehari sejak lebih sebulan lalu,” katanya kepada  Sinar Harian, semalam.


Mohd Roze berkata, sekiranya kejadian penculikan itu terjadi sudah pasti pihaknya menerima laporan daripada ibu bapa mahupun penjaga namun, sehingga kini beliau rasa pelik bagaimana berita seumpama itu boleh disebarkan sesuka hati oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Beliau mengingatkan masyarakat khususnya belia yang mempunyai laman sosial facebook agar tidak mudah percaya terhadap berita yang disalurkan seterusnya memanjangkan berita itu kepada kawan lain kerana mereka juga boleh dikenakan tindakan.

“Jika orang ramai terbaca tentang berita seperti ini di mana-mana laman sesawang, mereka hendaklah terlebih dahulu merujuk kepada pihak polis untuk mengetahui kesahihannya,” katanya.

Mohd Roze turut menyarankan sekiranya menerima sebarang berita palsu sama ada di laman sesawang atau sebagainya  hendaklah dimaklumkan kepada pihaknya agar tindakan boleh diambil kepada individu tidak bertanggungjawab berkenaan. - Sinar Harian