Friday, 27 June 2014

BONGKAR !!! Cukuplah derita yang ditanggung


Penuh rasa belas kasihan...Faizal ketika bertemu Firdaus.

PENGARAH Imigresen Negeri Sembilan, Faizal Fazri Othman berasa marah dan kecewa bila terkenang Muhammad Firdaus Dullah, 15.

Bersama wartawan Sinar Harian, SYAMILAH ZULKIFLI, Faizal kembali mengimbas kenangan sewaktu pertama kali bertemu insan istimewa itu.

SABTU lalu, ketika dia dijumpai tubuhnya hanya tinggal tulang. Perutnya langsung tidak berisi.

Malah paling menyedihkan dia ditinggalkan di sebuah bilik kosong yang kotor dan berbau busuk.

Sehingga kini, saya masih gagal membendung rasa marah. Kecewa dan segala macam perasaan timbul setiap kali terkenang adik Muhammad Firdaus Dullah. Saya tidak sanggup memikirkan seorang anak kurang upaya dibiarkan dalam keadaan sebegitu rupa.

Semuanya bermula selepas menerima maklumat daripada jawatankuasa rumah pangsa Taman Semarak Nilai berhubung lambakan warga asing yang tinggal di situ.

Jadi saya melakukan operasi dan rumah Firdaus merupakan antara rumah yang menjadi sasaran.

Ketika menghampiri rumah terbabit kami mendapati hanya pintu besi yang berkunci.

Dari luar saya tolak pintu rumah. Ketika itu hati saya dapat rasa ada orang yang sedang bersembunyi di dalam kerana lampu tidak ditutup.

Saya cuba  memanggil beberapa kali namun tidak disahut sesiapa. Jadi saya arahkan pintu besi rumah terbabit dipecahkan.

Pemeriksaan dilakukan di setiap sudut rumah. Salah sebuah pintu bilik di rumah itu tertutup seolah-olah ada seseorang bersembunyi di dalam. Ketika itu jam sekitar 2.30 pagi.

Namun ketika pintu bilik itu ditolak saya terus beristighfar panjang.

Saya terlihat satu susuk kecil. Saya seperti melihat rangka bernyawa.

Dia sedang baring beralaskan lantai. Sedangkan lantai itu bergelumang dengan najis dan sisa makanan.

Ada sebuah kerusi roda dan sebiji bantal ditinggalkan. Firdaus yang pada awalnya baring, bangun dan merenung saya. Saya lihat ada najis keras melekat di rambutnya. Air mata saya mula bergenang. Hampir menitis.


Tiada perasaan jijik. Bau busuk dan hamis pula seperti hilang tiba-tiba. Malah seolah bau wangi syurga mula meresap hidung.

Apa yang timbul hanya rasa belas. Saya hampiri tubuh kurus itu. Saya usap kepalanya. Hati saya terlalu sebak.

Melihat keadaannya yang kurus kering, saya percaya dia sudah lama tidak menyentuh makanan.

Ramai yang bertanya kepada saya bagaimana perasaan menjadi orang pertama melihat Firdaus?

Jawapan saya, hanya mereka yang tidak mempunyai hati sahaja tidak sedih melihat Firdaus.

Sebab itu saya terus mengusap kepala dia kerana saya betul-betul tidak sangka dia yang tidak berupaya dibiarkan hidup dalam keadaan yang sangat menyedihkan.

Tapi sampai sekarang pun saya masih berfikir kenapa saya digerakkan ke situ?

Syukur ALLAH gerakkan hati ini ke sana. Seandainya tidak, mungkin sehingga hari ini tiada sesiapa pun tahu derita hidup remaja OKU bernama Firdaus.

Mungkin Firdaus akan terus menderita seorang diri. Syukur kepada ALLAH semakin bertambah.

Saya gembira lihat perubahan Firdaus. Keadaannya jauh lebih baik berbanding ketika mula dijumpai. Saya bersyukur dia kini dapat segala yang diperlukan. Cukuplah derita yang dia tanggung selama ini...

Ketika ini bukan masa untuk tuding jari tetapi penemuan itu perlu dijadikan pengajaran pelbagai pihak agar lebih menghargai anak-anak sendiri termasuk juga mereka yang bergelar orang kurang upaya (OKU). - Sinar Harian