Razak terpaksa mengemas kembali barangan di bilik tidur yang berselerak selepas diselongkar perompak.
Situasi itulah yang berlaku kepada seorang gadis apabila seorang daripada empat lelaki yang memecah masuk kediamannya di Kampung Permatang Pasir, awal pagi semalam, menawarkan diri untuk menjadi teman lelaki.
Gadis dikenali Nurul, 24, penuntut sebuah universiti berkata, lelaki berusia lingkungan 25 tahun itu mengakui meminatinya dalam diam dan berhasrat untuk menjadikannya teman wanita.
Menurutnya, lelaki itu juga memaklumkan sering memerhatikannya terutama di majlis keramaian yang diadakan di kawasan itu.
“Dalam sibuk mereka cari barang, lelaki itu setia berada dekat dengan saya, dia tak ikat saya, cuma ajak saya berbual-bual, hampir satu jam juga kami berbual.
“Dia juga kata nak jadi rakan dalam Facebook dan mahukan nombor telefon supaya senang untuk berbual nanti. Saya tak dapat kenal siapa mereka, sebab pakai
topeng,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Pertubuhan Sukarela Keselamatan dan Kebajikan Islam Kerian (PSKK), Abdul Sukur Ahmad.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, empat lelaki berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun itu dipercayai memecah masuk rumah berkenaan melalui pintu belakang sebelum mengikat tiga ahli keluarga lain iaitu, kakak, abang ipar dan anak saudara Nurul.
Selain wang ringgit, barang kemas, dua komputer riba, telefon bimbit dan sebuah gitar dengan nilai keseluruhan hampir RM10,000 turut dilarikan kumpulan itu.
Nurul berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur dalam biliknya sebelum dikejutkan dua lembaga hitam yang berdiri di atas katil.
Katanya, tergamam dengan kehadiran dua lelaki tidak dikenali itu, dia cuba menjerit meminta tolong, namun mulutnya segera ditutup.
“Saya disuruh baring atas katil, seorang daripada mereka ada cuba buat sesuatu, namun dihalang seorang lagi rakan.
“Saya rasa mungkin itu ketua kumpulan sebab dia siap bagi amaran akan membelasah mereka sekiranya saya diapa-apakan,” katanya.
Sementara itu, abang ipar mangsa dikenali Razak, 35, tidak menolak kemungkinan, kumpulan lelaki itu merupakan orang tempatan.
“Saya percaya mereka memecah masuk rumah kami melalui salah satu pintu belakang rumah dan melarikan diri dengan meredah semak-samun di belakang rumah, ini kejadian pertama berlaku di rumah ini.
“Apa-apapun saya bersyukur, semua ahli keluarga selamat walaupun ada antara mereka ugut akan memperkosa adik ipar saya sekiranya melawan,” katanya.
Laporan polis dibuat di Balai Polis Bandar Baharu, jurucakap polis ketika ditemui mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan masih sedang dijalankan.
Dalam pada itu, Abdul Sukur menegaskan, PSKK menawarkan kesediaan untuk membantu polis dalam mempertingkatkan rondaan di sekitar kawasan Kampung Permatang Pasir terutama pada waktu malam. - Sinar Harian