Thursday, 17 April 2014

TRIUMPH Tiger Sport jentera touring paling selesa!

NIK N HIDAYAT
Tiger Sport boleh ditambah dengan beberapa bagasi pilihan yang ditawarkan Triumph.

SUKAR untuk kita menjustifikasikan sesuatu perkara yang subjektif dan berbeza-beza mengikut cita rasa individu. Akan tetapi, secara jujurnya, boleh saya katakan kebanyakan justifikasi kepada hasil kerja mekanikal jenama Triumph sangat impresif.

Pada awalnya, saya cukup takut pendapat saya kepada mesin-mesin Triumph adalah berat sebelah atau mungkin akan dilabel sebagai ‘syok sendiri’. Setelah berkongsi pandangan bersama orang-orang lama dalam industri motosikal, saya yakin dengan kebolehpercayaan kepada jenama ikonik British itu.

Pengalaman selama lebih 110 tahun sejak kewujudannya sehingga kekal pada hari ini digunakan sebaiknya untuk menghasilkan produk yang hebat di atas jalan raya.

Saya masih terbayang-bayang keindahan ciptaan Bonneville T100 yang baru diuji tempoh hari. Mungkin satu hari nanti, saya akan pastikan Bonneville antara salah satu koleksi peribadi dalam garaj saya kelak.

Pengedar rasmi motosikal Triumph, Fast Bikes Sdn Bhd (Fast Bikes) baru sahaja membawa masuk varian Tiger Sport bersempena dengan pembukaan pusat pameran utama di Seksyen 13 Petaling Jaya pada hujung tahun lalu.

Tiger Sport merupakan varian baharu yang menerima penambahbaikan dari segi reka bentuk badan, prestasi pengendalian dan kuasa enjin.

Pada hujung minggu lalu, Fast Bikes memberi saya peluang menguji jentera touring ini untuk ke Pulau Pinang bagi menyaksikan majlis pelancaran cawangan Triumph di sana.

Bagi saya, peluang tersebut merupakan yang terbaik untuk menguji sejauh mana kebolehpercayaan jentera ini terutamanya dalam melengkapkan perjalanan jarak jauh.

Pada hari yang dijanjikan, saya menerima kunci Tiger Sport berwarna putih selain pilihan warna merah yang ditawarkan dalam pasaran.

Jentera ini mempunyai sentuhan rekaan yang lebih bergaya di samping swing-arm tunggal. Penawaran ciri ini lebih terserlah dengan set sport rim yang anggun.

Jika dibandingkan dengan model sebelumnya, Tiger Sport baharu diperbaharui dari segi reka bentuk ekor dan lampu belakang, panel sisi, pengadang angin dan tempat duduk yang lebih rendah.

Prestasi

Tiger Sport dikuasakan oleh enjin tiga silinder DOHC yang menghasilkan 123 kuasa kuda dan mempunyai tork puncak 104Nm. Jentera ini direka sebagai motosikal pengembaraan, tetapi tidak berkecenderungan ke arah tujuan yang lebih lasak ke laluan off-road. Mungkin watak itu lebih sesuai dipegang Triumph Explorer 1200.

Triumph sememangnya terkenal dengan penawaran sudut tunggangan yang selesa dan lembut tanpa mengetepikan tahap prestasi enjin.

Sepanjang perjalanan ke Pulau Pinang bersama ahli Rat-Pack, jentera ini berjaya membuatkan saya lebih gemar kepada teknologi tradisi Triumph.

Ternyata, ia bukan hanya kerana faktor jenama, tetapi penawaran prestasi yang memuaskan dan wajar dihargai.

Enjin tiga silinder 1050cc Triumph fleksibel dan berkuasa. Ya, saya setuju untuk mengatakan enjin Tiger Sport terlebih lembut dan mungkin menjadi defisit jika disasarkan kepada golongan yang mahukan sensasi tork.

Tetapi secara peribadi, saya lebih gemar prestasi enjin yang lembut seperti yang dibawa Tiger Sport untuk mendapatkan keselesaan tunggangan dan menghargai suasana perjalanan lebih santai.

Daya pecutan tidak menghampakan dan masih mampu memberi daya pecutan walaupun pada kitaran enjin rendah dalam gear terakhir.

Oleh kerana itu, saya tidak perlu menukar gear terlalu banyak di sepanjang perjalanan di lebuh raya. Kelajuan selesa Tiger Sport adalah antara 140 kilometer sejam (km/j) hingga 170 km/j. Tidak ada masalah sekiranya anda mahu memecut melebihi 200 km/j.

Tindak balas pendikit cukup baik walaupun tidak dibekalkan dengan sistem Ride-by-Wire (RbW) seperti mana motosikal moden lain. Namun, saya lebih menyukai motosikal yang lebih ringkas tanpa terlalu banyak sistem elektronik.


Pengendalian impresif

Mengendalikan Tiger Sport di lebuh raya mudah dan seperti mana-mana motosikal touring, saiz dan ketinggian jentera banyak membantu untuk menjangka trafik di hadapan.

Memasuki ke trafik sibuk dalam bandar pulau mutiara tersebut, saya dapat mengendalikan motosikal dengan baik tanpa sebarang masalah walaupun sesak.

Menghala ke Ferringhi melalui jalan berliku, saya dapati prestasi Tiger di selekoh baik dan tidak terbeban dengan saiz dan ketinggiannya. Ia seolah-olah saya sedang mengendalikan motosikal yang lebih kecil.

Ketika di selekoh ketat, saya yakin dengan cengkaman brek cakera 320 milimeter (mm) dan angkum empat omboh Nissin. Fork Showa 43mm terbalik boleh laras dan penyerap hentak tunggal Showa pada bahagian belakang juga memainkan fungsi dengan cemerlang.

Lebih nilai daripada harga

Secara keseluruhan, Triumph Tiger Sport mudah untuk ditunggang sama ada di lebuh raya atau pun di dalam bandar. Jika anda sedang mencari motosikal pelbagai kegunaan, Tiger Sport wajar dipertimbangkan.

Mungkin ia juga sesuai untuk dijadikan sebagai kenderaan harian ke tempat kerja terutamanya yang jauh terpaksa berulang alik.

Aspek prestasi enjin, pengendalian dan nilai praktikaliti kepada jumlah harga yang ditawarkan adalah munasabah dan berbaloi.

Triumph Tiger Sport dijual pada harga RM85,900, tidak termasuk cukai jalan dan insurans.- Sinar Harian