Friday, 28 February 2014

ZALIM!!! Kanak-kanak Syria disembelih

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Februari 2014

Kanak-kanak Syria disembelih
Comel, itulah yang diakui Sani terhadap semua kanak-kanak di sana.


GEORGETOWN - Kebangkitan di Syria berlaku pada Mac 2011. Puncanya bermula dari sekumpulan kanak-kanak sekolah rendah di sebuah bandar bernama Dar’a.

Kanak-kanak berkenaan menconteng dinding sekolah dengan perkataan Ash-sha’ab yurid isqaat an-nizam bermaksud ‘rakyat hendak jatuhkan kerajaan’.

Mereka tulis perkataan itu bukan sebab diajar, tetapi masa itu berlakunya Arab Spring iaitu kebangkitan negara Arab di Tunisia, Yaman dan Mesir. Apabila kebangkitan itu, semua negara ini tulis slogan yang sama iaitu Ash-sha’ab yurid isqaat an-nizam ketika berdemonstrasi.

Polis datang ke sekolah dan mengarahkan sekolah ditutup. Kanak-kanak yang terlibat ditangkap, dipenjarakan dan diseksa. Antara seksaan yang dikenakan ialah dicabut kuku mereka.

Begitulah antara kekejaman yang dihadapi kanak-kanak di Syria, sungguh menyayat hati dan menyedihkan.

Lebih menakutkan apabila kanak-kanak yang tidak berdosa ini turut disiat kulit mereka dan turut disembelih, demikian cerita Pengarah Strategik Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), SaniAraby Al Kahery.

Kisah itu diceritakan ketika menempuh Misi Rescue Syria (Winter Series) pada Januari lalu bersama Mapim dan beberapa sukarelawan dari negara ini.

Kanak-kanak Syria disembelih
Sani bersama dua kanak-kanak yang mengalami kecederaan.


Ibu mengandung ditembak tepat pada perut

Semalam kisahnya bertemu dengan tentera ekstremis Islam sudah pun berakhir, hari ini, Sani menceritakan kisah mengenai kanak-kanak dan golongan yang lemah diserang sehingga membawa maut.

“Sama seperti yang berlaku di Palestin, anak-anak kecil ditembak mati, ini kerana mereka tidak mahu wujudnya generasi baru yang akan terus memperjuangkan bangsa mereka, sama seperti yang berlaku di Syria.

“Ibu bapa menangis apabila melihat anak mereka ditembak, disembelih dan disiat kulitnya, bukan itu saja, penembak tepat turut menembak perut ibu mengandung, bahkan ia tepat ditembak di bahagian perut, sungguh pilu,” katanya.

Disebabkan sengaja mahu mewujudkan ketakutan, rejim juga dengan sengaja menembak apa saja yang dapat ditembak oleh mereka termasuk kucing.

Serangan psikologi itu sekali gus membuatkan masyarakat yang lemah bertambah lemah.

Sani berkata, peluru bila-bila masa saja boleh terkena orang awam kerana harganya begitu murah dari 1 hingga 5 dolar sahaja.

“Disebabkan itulah mereka boleh tembak apa saja termasuk haiwan termasuk anak-anak yang tidak berdosa,” katanya.

Ceritanya, anak-anak kecil di Syria begitu comel, malah ia berbeza dengan kanak-kanak di tempat lain.

“Bila kami tengok muka mereka, masya-ALLAH memang sangat comel dengan mata biru dan kulit yang cantik, namun ramai juga antara mereka yang menjadi cacat.

“Saya bersama rakan-rakan ke khemah salah sebuah keluarga di sana dan bayangkan dengan keadaan sejuk, dalam khemah yang sempit itu mereka tinggal sekeluarga bersama anak-anak, langsung tiada pemanas haba.

“Lebih menyedihkan apabila ramai anak keluarga tersebut menjadi cacat kerana kekurangan bekalan oksigen dalam otak, gara-gara hanya tinggal di dalam khemah yang mempunyai satu lubang udara sahaja,” katanya.


Kaki batang penyapu

Sudahlah diserang, bekalan ubat-ubatan mahupun pelbagai keperluan untuk penduduk yang cedera juga amat kritikal.

Sukarelawan dari Malaysia itu juga melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana seorang kanak-kanak kaki kudung digantikan dengan batang penyapu sebagai kaki baru.

Ia dilakukan seorang doktor yang berusaha membantu kanak-kanak berkenaan akibat kecederaan kaki setelah diserang.

Ketika berada di hospital, ia tambah menyayat hati apabila terlihat anak kecil terbaring di katil hospital sementara sebelah tangan mereka berada di dalam tong sampah akibat terputus.

Raut wajah anak kecil itu kelihatan sungguh tabah, sebagaimana orang dewasa di sana mampu menghadapinya, begitu jugalah dengan anak kecilnya.

Esok Sani akan menceritakan kisahnya bertemu seorang wanita yang menagih zakat di jalanan, mengejutkan apabila dahulu wanita itulah yang pernah menyumbangkan zakat kepada Kerajaan Syria sebanyak RM2 juta setahun.

Untuk membuat sumbangan, anda bolehlah melayari laman www.tabungsyria.com.

Sumber