Sunday, 2 March 2014

BANGGA!!! 1MWER bersemangat sempurnakan misi


TIGA penunggang 1MWER bergambar kenangan ketika berada di Bandar Ushuaia, Argentina yang digelar sebagai bandar penghujung dunia, semalam.
KUALA LUMPUR 28 Feb. - Pasukan 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER) tetap bersemangat menjayakan misi mengelilingi dunia bagi memartabat dan mempromosikan nama negara walaupun berdepan pelbagai cabaran luar jangka di sepanjang perjalanan.

Pegawai Khas Perhubungan dan Media 1MWER, Marina Md. Yusoff berkata, tiga ahli pasukan ekspedisi itu, Datuk Zamri Mohamed, 50; Rosmadi Saad, 46, dan Mohd. Faizal Sukree, 38, kini berada dalam laluan benua Amerika Selatan selepas menjelajah benua Asia dan Eropah.

Katanya, pasukan tersebut hari ini tiba di Mendoza, Argentina selepas menunggang kira-kira 35,000 kilometer dalam tempoh lapan bulan.

"Esok, mereka akan berlepas ke Santiago, Chile dan bakal disambut oleh Duta Besar Malaysia yang selepas itu membuat pelepasan ke destinasi berikutnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pasukan 1MWER yang dilepaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pertengahan tahun lalu akan menjelajah lebih 40 negara meliputi jarak 53,000 kilometer dalam usaha mencipta rekod baharu dunia.

Selain memperkenalkan negara, 1MWER juga mempromosikan Gerakan Kesederhanaan Global Untuk Keamanan.

Pada peringkat awal, pasukan itu disertai lima penunggang namun kini mereka hanya tinggal bertiga apabila dua lagi anggota terpaksa menarik diri di atas faktor yang tidak dapat dielakkan.

Sementara itu, Marina menjelaskan, ekspedisi itu sebenarnya dijangka mengambil masa enam bulan tetapi disebabkan beberapa masalah di luar jangka, tempoh itu terpaksa dilanjutkan sehingga Mei ini.

Beliau berkata, perkembangan penjelajahan pasukan itu boleh diperoleh melalui laman Facebook rasmi 1MWER: 1 Malaysia World Endurance Ride

Sumber