28 Februari 2014
Tun Dr Mahathir Mohamad
KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad membidas golongan yang menuduh beliau sebagai anti hadis hanya kerana memberi pandangan yang dilihat seperti membela dan menyokong Dr Kassim Ahmad.
Dalam entri blognya, chedet.cc kelmarin, Mahathir menyatakan golongan itu mahu segala yang diperkatakan oleh mereka diterima bulat-bulat sebagai fatwa seperti firman ALLAH dalam al-Quran.
"Mereka yang menghukum saya takut kalau-kalau hukuman mereka dipersoal. Orang yang benar, berani.
"Orang yang takut, takut kerana salah atau mungkin didapati salah. Memberi label dan mengecap orang apabila kita tidak bersetuju dengannya memanglah satu cara orang yang tidak sanggup berhujah.
"Terima sahajalah apa yang didakwa oleh mereka tanpa berfikir. Jangan guna akal fikiran yang dikurniakan oleh ALLAH SWT. kerana ini kononnya dilarang oleh agama Islam," tulisnya dalam maksud sinikal.
Menurut negarawan itu, beliau kini dilabel sebagai anti hadis kerana kononnya sudah jadi penyokong Kassim Ahmad yang telah diberi gelaran yang sama.
"Saya juga diberitahu bahawa sebagai seorang yang tidak tahu bahasa Arab maka saya tidak berhak bercakap berkenaan agama Islam. Ya, saya tak tahu bahasa Arab. Justeru saya terpaksa terima apa sahaja yang diajar kepada saya dalam bahasa Melayu sebagai ajaran Islam.
"Apakah kerana saya menerima Islam dalam bahasa Melayu maka ia bukan Islam? Apakah saya tidak Islam? Apakah lafaz dua kalimah syahadat oleh saya tidak boleh diterima?" soalnya.
Menurut Mahathir, beliau pernah dihukum kafir kerana bekerjasama dengan orang kafir.
"Kemudian orang yang mengkafirkan saya bekerjasama dan berpeluk-peluk dengan orang kafir. Saya tertanya-tanya apakah kelebihan mereka? Apakah mereka maksum?"
Mahathir kemudian bertanya: "Apakah melabel, menghukum seseorang selepas membaca akhbar atau mendengar laporan TV mencerminkan keadilan yang dituntut dalam Islam?"
"Apakah tanpa memberi peluang kepada yang tertuduh untuk mempertahankan diri, adil di sisi agama Islam?
"Apakah tanpa membincang dan membahas oleh badan yang dipertanggungjawabkan seperti mahkamah, yang terdiri dari orang yang tidak berkepentingan, adalah cara Islam?"
Mahathir mengakui, jawapan kepada tulisannya itu bahawa beliau anti hadis, anti al-Quran bahkan kafir.
"Saya tidak lama lagi akan pergi menemui Tuhan saya, ALLAH SWT. Saya akan diadili Kadzi Rabbul Jalil. Saya tidak tahu apakah akan disahkan segala tuduhan terhadap saya atau tidak. Tetapi yang saya tahu dan yakin ialah pengadilan oleh ALLAH SWT tetap adil. Dan saya terima apa sahaja hukum yang dijatuhkan ke atas saya."
Sumber