17 Mac 2014
Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia menunjukkan buaya yang ditemui pekerja ladang sawit di Kampung Parit Bugis, semalam.
MUAR – Seorang pekerja ladang sawit terkejut apabila mata kail yang dipasang untuk menangkap ikan toman di sebuah parit diragut seekor buaya berukuran hampir dua meter dekat Kampung Parit Bugis di sini, semalam.
Kalit Morsid, 55, berkata, pancing itu ditinggalkan di sungai berkenaan jam 5 petang kelmarin, dan dia kembali jam 8 pagi keesokan hari untuk melihat hasilnya.
"Saya lihat muncung buaya ketika menarik pancing berkenaan dan gigi buaya itu dilihat tersangkut pada mata kail.
“Saya terkejut lalu tinggalkan pancing di tepi parit untuk mencari rakan-rakan bagi memaklumkan kejadian tersebut. Saya keliru sama ada untuk menyelamatkannya atau tidak.
“Rakan-rakan suruh saya selamatkan buaya dengan cabut mata kail kerana khuatir buaya itu mati,” katanya.
Katanya, dia bersama tiga rakan lain mengambil masa dua jam untuk menaikkan dan mengikat reptilia itu yang pada mulanya cuba bertindak agresif.
“Adik saya, Mohd Tajul menghubungi dan menyerahkan buaya itu kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
“Ini pengalaman yang tidak dapat dilupakan sejak mula menajur ikan toman di sini tiga tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi JPAM Muar, Mohd Izzudin Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10.00 pagi dan seramai enam orang anggota dikerah ke lokasi berkenaan.
“Haiwan tersebut sudah diikat penduduk kampung dan kemudiannya dibawa ke Pusat Kawalan Operasi JPAM sebelum diserah kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara untuk tindakan selanjutnya.
“Tangkapan haiwan liar melibatkan buaya adalah pertama kali tahun ini. Tahun lalu, kita tangkap seekor burung hering setinggi kira-kira satu meter dipercayai cedera dan sesat di Taman Seri Aman, Parit Keroma, di sini,” katanya.
Sumber