Nicol Ann David ditenangkan bapanya, Desmond David selepas tewas kepada Nour El Sherbini dalam perlawanan separuh akhir Kejohanan Skuasy Wanita Dunia di Pulau Pinang semalam. - BERNAMA
PULAU PINANG - Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David gagal dalam misinya mencari kejuaraan dunia kelapan dalam Kejohanan Wanita Dunia CIMB ke-29 selepas tewas mengejut kepada pemain muda Mesir, Nour El Sherbini di sini semalam.Masuk ke gelanggang selaku pilihan utama kejohanan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang Subterranean (SPICE), Nicol, 31, gagal memanfaatkan kelebihan bermain di hadapan sokongan padu peminat di negeri kelahirannya apabila tewas dalam perlawanan lima set yang berlangsung kira-kira satu jam.
Nicol, yang muncul juara kejohanan ini di Pulau Caymen tahun lalu, kelihatan akan meraih laluan mudah setelah menang mudah pada set pertama dengan 11-4 ke atas juara remaja dunia sebanyak tiga kali berusia 17 tahun itu.
Bagaimanapun, dia gagal mengekalkan rentak kemenangan untuk tewas dua set berikutnya dengan 9-11 dan 6-11.
Namun, pemain nombor satu dunia itu mengikat kedudukan dua set sama apabila bangkit pada set keempat untuk menang 11-2 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Dalam set terakhir, Nicol seolah-olah hilang tumpuan selepas membenarkan Sherbini mendahului agak selesa malah pernah ketinggalan agak jauh dengan 4-8.
Meskipun cuba mengejar, namun Nicol tidak mampu menyaingi permainan pantas dan menyerang Sherbini sebelum tewas 9-11.
Selepas perlawanan, Nicol mengakui dia kecewa dengan kekalahan itu apatah lagi ditewaskan di hadapan penyokong sendiri.
Bagaimanapun, menurut Nicol, dia tetap berasa bangga kerana tewas di tangan seorang pemain muda yang berbakat besar serta seorang lawan yang cukup hebat seperti Sherbini.
"Dia terlalu bagus hari ini dan memberi persaingan yang cukup sengit dan saya akui pertemuan dengannya adalah perlawanan yang sukar.
"Apa pun saya terima kekalahan ini meskipun pahit kerana kecundang di negara serta negeri kelahiran saya sendiri dan saya akan menilai kekalahan ini untuk persediaan dalam kejohanan akan datang," katanya.
Kekalahan Nicol itu juga bermakna dia gagal untuk mengulangi pertemuan dengan musuh tradisi, Laura Massaro dari England dalam perlawanan akhir hari ini seperti dalam kejohanan musim lalu.
Massaro yang juga pemain No. 2 dunia melangkah ke peringkat akhir selepas menewaskan pemain No. 3 dunia juga dari Mesir, Raneem El Weleily dengan 11-9, 11-7, 6-11 dan 11-7 dalam masa 48 minit.
Dalam pada itu, Sherbini berkata, kemenangan ke atas Nicol adalah pengalaman paling manis dalam kariernya memandangkan tidak pernah berjaya menewaskan Nicol sebelum ini.
"Saya turun tanpa sebarang tekanan berbanding Nicol dan keadaan itu memberi kelebihan kepada saya untuk menewaskannya," katanya.
Sumber