Sunday, 9 March 2014

MH370 belum dapat dikesan


HISHAMMUDDIN Tun Hussein (tiga, kanan) pada sidang akhbar mengenai Pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dilaporkan terhempas ke laut iaitu 246 kilometer dari luar pantai pulau Tho Chu di Vietnam di Hotel Sama-Sama KLIA, semalam.
SEPANG 8 Mac - Operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines yang dilapor hilang masih diteruskan dengan setakat ini masih belum ada sebarang tanda penemuan.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan Malaysia juga telah menghubungi pihak berkuasa Vietnam bagi mengesahkan laporan kononnya pesawat itu terhempas ke dalam laut iaitu 246 kilometer dari laut pantai pulau Thoa Chu di Vietnam.

Ini berikutan beberapa media asing memetik kononnya pesawat MAS yang membawa 239 penumpang dan 12 krew dilaporkan terhempas ke dalam laut iaitu 246 kilometer dari luar pantai pulau Tho Chu di Vietnam dengan menamakan Laksamana Vietnam Ngo Van Phat mengarahkan pasukannya bergegas ke lokasi berkenaan.

"Operasi mengesan dan mencari masih berterusan dan masih belum ada sebarang penemuan atau kesan. Wisma Putra dan Jabatan Penerbangan Awam juga belum menerima sebarang laporan yang mengatakan pesawat tersebut terhempas, semuanya spekulasi.


"Kita telah menggerakkan agensi yang berkaitan untuk pergi ke kawasan terakhir dilaporkan hilang (garisan bujur 065515 utara dan 1033443 timur) di perairan Laut China Selatan. Kali terakhir pusat kawasan mendapat isyarat ialah pada 1.30 pagi," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerajaan juga telah menggerakkan tentera udara dan tentera laut termasuk Majlis Keselamatan Negara dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk membantu operasi.

Hishammuddin berkata, Malaysia juga sedang bekerjasama dengan negara China, Filipina dan Vietnam dalam operasi mengesan dan mencari yang dipergiatkan ketika ini dan negara terbabit juga belum mempunyai sebarang maklumat atau kesan.

"Kita akan lakukan yang terbaik untuk bekerjasama dengan negara-negara terbabit selain menggerakkan agensi kita yang berkaitan. Apa sahaja usaha yang kita boleh lakukan, kita akan lakukan dengan terbaik," katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai spekulasi atau membuat spekulasi berhubung insiden itu.

Sebuah pusat koordinasi utama sedang beroperasi di Hotel Sama-Sama di sini untuk melaporkan perkembangan terkini setiap dua jam.

"MAS juga telah menghubungi 80 peratus keluarga penumpang pesawat termasuk kru untuk memberikan laporan terkini sebagai tanggungjawab menjaga kebajikan dan keperluan anggota keluarga terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mas, Ahmad Jauhari Yahya berkata, insiden itu tidak menjejaskan penerbangan MAS yang lain dan semua penerbangan beroperasi seperti biasa. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140309/dn_06/MH370-belum-dapat-dikesan#ixzz2vQBEkDe8
© Utusan Melayu (M) Bhd