Thursday, 13 March 2014

MH370::: Dr Mahathir tegur media antarabangsa



Gambar Hiasan 

SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata media antarabangsa tidak sepatutnya mengkritik Malaysia dan syarikat penerbangan nasionalnya berhubung cara mereka menangani kehilangan pesawat penerbangan #dimanaMH370.

"Memang mudah untuk mengkritik tetapi kita menghadapi satu keadaan yang tidak pernah dialami oleh mana-mana negara di dunia.

"Jika anda kata Malaysia gagal (menangani kehilangan pesawat ini), itu bermakna Amerika Syarikat, New Zealand, Australia, Singapura dan negara lain (yang membantu usaha mencari dan menyelamat) juga gagal.

"Kenapa anda tidak menyalahkan mereka juga," katanya selepas menjadi anggota panel dalam program Siri Bicara Profesional bersama Tun Dr Mahathir di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata misi mencari dan menyelamat pesawat itu dikendalikan dengan baik oleh pihak berkuasa Malaysia.



Dr Mahathir berkata, beliau sudah melawat anggota keluarga penumpang penerbangan itu dan keperluan mereka dijaga dengan baik oleh Malaysia Airlines, kerana mereka juga memenuhi permintaan untuk menjaga sehingga lima orang bagi setiap keluarga.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak mengadakan sebarang teori berhubung operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan pesawat itu kerana ia tidak membantu keadaan.

"Dapatkan fakta dan jangan kita suka membuat teori, ia tidak membantu sesiapapun," katanya. - Bernama

Sumber