18/03/2014
KUALA LUMPUR 17 Mac - Pasukan kembara lasak bermotosikal terkemuka negara, 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER) yang kini berada di Oruro, Bolivia meluangkan masa mengunjungi tasik garam terbesar dunia, Salar de Uyuni, semalam.
Ketua 1MWER, Datuk Zamri Mohamed, 50, berkata, tasik garam seluas 10,582 kilometer (km) persegi yang terletak pada ketinggian 3,656 meter dari aras laut itu diselaputi kerak garam dengan ketebalan sehingga 180 meter menyebabkan keadaan memutih seperti salji.
Beliau berkata, yang lebih menarik, permukaannya mendatar bagaikan laut dan keadaan tasik yang kering ketika ini memudahkan 1MWER melaluinya.
"Kami berada di tengah lautan garam yang memutih serta membeku dan menunggang tanpa halangan.
"Masing-masing boleh menunjukkan kemahiran menunggang, kami bagaikan burung yang bebas terbang di angkasa. Betapa indahnya ciptaan Ilahi yang dipertontonkan kepada makhluknya," katanya yang berkongsi pengalaman melalui e-mel kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Sementara itu, Zamri berkata, dari jarak sejauh 100 km, mereka sudah boleh melihat bukit atau pulau yang berada di sekitar Salar de Uyuni.
Katanya, jarak itu nampak seakan-akan dekat namun lokasinya amat jauh dan jika mahu menuju ke sana, perancangan yang rapi terutama bekalan minyak dan penyelenggaraan kenderaan amat diperlukan.
"Pada 1988, sebuah keluarga tempatan seramai lima orang meninggal dunia di tasik ini kerana tidak menerima bantuan selepas tiga hari tayar kenderaan mereka pancit. Bayangkan betapa luasnya Salar de Uyuni.
"Dalam perjalanan balik, kami berpeluang mengharungi laluan air garam sedalam dua meter," katanya sambil menjelaskan tasik tersebut merupakan lokasi permulaan sesi kedua Rali Dakar dan terdapat sebuah tugu berkaitannya didirikan di situ.
Ekspedisi 1MWER yang turut dianggotai Rosmadi Saad, 46 dan Mohd. Faizal Sukree, 38, itu dianjurkan oleh Yayasan Wangsa Perdana dengan sokongan Tourism Malaysia, Telekom Malaysia, FlexiRoam, Buraq Oil dan Bank Rakyat selaku penaja utama.
Perkembangan ekspedisi 1MWER yang akan menjelajah lebih 40 buah negara meliputi jarak 53,000 km dalam usaha mencipta rekod dunia boleh diikuti melalui laman Facebook rasmi 1MWER: 1Malaysia World Endurance Ride.
PASUKAN 1Malaysia 1MWER tidak melepaskan peluang untuk menunggang di atas permukaan tasik garam yang kering di Salar de Ayuni, Bolivia, kelmarin.