Tuesday, 1 April 2014

BONGKAR !!! Persoalan utama siapa RAMPAS pesawat

1 April 2014

SHAH ALAM – Teori yang mengatakan pesawat MH370 berkemungkinan dirampas pihak tertentu sebelum pesawat tersebut dilaporkan berakhir di Lautan Hindi, masih boleh diterima dan tidak boleh ditolak begitu sahaja.

Walau bagaimanapun, persoalan utama ialah siapa individu yang merampas pesawat tersebut dan tanda tanya itu sukar untuk dikupas.

Menurut sumber, arah tuju pesawat yang menghala ke Lautan Hindi itu sendiri telah menunjukkan pesawat itu dirampas dan bukan akibat masalah pada pesawat ataupun dikawal dari jarak jauh.

“Pesawat itu menuju ke Lautan Hindi iaitu lautan yang amat sunyi dan sudah tentu ia menuju ke suatu tempat yang tidak diketahui.

“Saya percaya ia melibatkan rampasan tetapi yang menjadi persoalan ialah siapa yang merampas pesawat itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau juga menolak teori mengatakan bahawa juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid bertanggungjawab dalam rampasan pesawat itu.

Namun katanya, teori yang diperkatakan itu tidak boleh didedahkan secara terperinci kerana ia akan mencampuradukkan isu membabitkan antara negara.

“Saya tidak boleh komen lebih lanjut kerana ia akan menyentuh isu antara negara selain jika benar teori ini benar akan menjadi teori konspirasi berprofil tinggi," katanya.


Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi berdasarkan kepada siasatan syarikat satelit Inmarsat dan Air Accident Investigation Branch  (AAIB) di Britain.

Timbul pelbagai andaian berikutan pesawat tersebut melencong jauh daripada laluan asal sehingga ke Lautan Hindi yang disifatkan tempat paling sunyi di dunia.

Sebelum ini, isu rampasan pesawat yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal dibangkitkan pada hari kedua kehilangan pesawat MH370, selain turut dikaitkan dengan penggunaan pasport palsu oleh dua orang warga asing yang menaiki pesawat tersebut.

Sehingga kini, polis masih belum menolak andaian pesawat tersebut dirampas dan turut menyiasat tiga elemen lain yang berkemungkinan motif kejadian iaitu sabotaj, masalah peribadi serta masalah psikologi membabitkan semua individu yang menaiki pesawat itu.

Sumber