Tuesday, 6 May 2014

BANTU !!! Rayu ibu Puteri Aisyah tampil


Siti Hamdah (kanan) bersama-sama Puteri Aisyah di Pejabat JKM Jerantut semalam.

JERANTUT - Hasrat seorang wanita untuk membesarkan seorang kanak-kanak sebagai anak angkat sukar apabila dia perlu mendapatkan pengesahan secara bertulis dan ditandatangani ibu kandung kanak-kanak berkenaan yang kini tidak diketahui di mana berada.

Proses itu bagi membolehkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat pengesahan hak penjagaan anak tersebut dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Siti Hamdah Mat Jani, 50, berkata, dia telah mengambil Puteri Aisyah Abdullah, 2, selepas dua hari ibunya yang dikenali sebagai Anita Mat Noor, 22, bersalin di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah pada 21 Februari 2012.

“Saya mengambil kanak-kanak ini selepas ibunya (Anita) dua hari bersalin dan saya membawa pulang ke rumah di Lipis untuk dipelihara sebagai anak angkat.


“Sebenarnya saya tidak tahu langsung mengenai peraturan perlu melaporkan kepada pihak berkuasa untuk memperoleh hak penjagaan anak ini,” katanya di pejabat JKM di sini semalam.

Katanya, surat pengesahan daripada JKM dan JPN untuk memperoleh status hak penjagaan anak ini penting untuk memudahkan kanak-kanak itu bersekolah apabila genap usia nanti termasuk kemudahan kebajikan lain pada masa akan datang.

Siti Hamdah yang kini menetap di Taman Muhibah, Batu Empat, Kuala Lipis berkata, Anita yang beralamat di Kampung Air Terjun, Jertih, Terengganu sehingga ini gagal dihubungi dan tidak tahu tempat tinggal wanita itu.

“Saya merayu Anita tampil berjumpa dengan saya untuk membolehkan semua prosedur tertentu diselesaikan dengan cepat demi masa depan Puteri Aisyah.

"Anita dan rakannya terbaca kisah ini bolehlah menghubungi saya di talian 09 3227344 atau pejabat JKM Jerantut 09 2662234," katanya. - Sinar Harian