Motosikal mangsa dirempuh lori dari belakang dan kedua suami isteri maut digilis.
Kuala Lumpur - Lima beradik hilang tempat bergantung apabila ibu bapa mereka maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Loke Yew, di sini kira-kira jam 8 pagi, semalam.
Bapa mereka yang maut dikenali sebagai Jefri Mohd Zain, 50, dan isterinya, Norsalawati Ibrahim, 40, dalam perjalanan ke tempat kerja apabila terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa mereka.
Pemangku Pegawai Turus Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Mohd Fadhli Daud berkata, siasatan mendapati pasangan itu dipercayai dirempuh oleh sebuah lori dari arah belakang selepas motosikal mereka terbabas ketika melalui jalan tersebut.
"Lori berkenaan menggilis tubuh mangsa. Mangsa cedera parah di kepala dan badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pemandu lori pula terus meninggalkan tempat itu dan gagal dikesan,” katanya.
Mohd Fadhli berkata, sehubungan itu polis berusaha mengesan pemandu lori berkenaan.
Pada masa sama, katanya, saksi kejadian sudah dipanggil memberi keterangan.
“Kita masih menyiasat punca kejadian. Kes disiasat di bawah seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Menurutnya, mayat suami isteri itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat, dan waris mangsa juga sudah dimaklumkan berhubung kejadian berkenaan.
Sementara itu, adik Jefri, Zaina Mohd Zain, 40, berkata, dia mendapat tahu mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan oleh jirannya kira-kira jam 10 pagi.
“Saya hubungi polis bagi mendapatkan kepastian. Selepas itu, saya meminta pertolongan jiran untuk mengambil anak arwah yang berada di sekolah dan saya terus bergegas ke HKL.
“Anak-anak mereka hanya dimaklumkan mengenai kejadian ketika mereka dibawa pulang ke Kampung Changkat Sulaiman, Sungkai, Perak," katanya.
Zaina berkata, sebelum itu, Jefri yang bekerja sebagai juruteknik dalam perjalanan dari rumahnya di Pangsapuri Taman Desa Cheras, manakala tempat kerja isterinya adalah di kilang berhampiran di Jalan Chan Sow Lin.
Difahamkan jenazah suami isteri itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Sungkai, Perak.
Lima anak yang mereka tinggalkan itu berusia dari dua hingga 16 tahun. - Sinar Harian