Wednesday, 4 June 2014

BONGKAR !!! 'Doktor Ika' dipenjara tiga tahun


HASDI Jamal Aripin dibawa ke mahkamah sebelum dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan menyamar sebagai doktor di Mahkamah Majistret Melaka, semalam.

MELAKA 3 Jun - Seorang lelaki berperwatakan lembut yang menyamar sebagai doktor wanita berwajah ayu dengan gelaran 'Dr. Ika', memakai tudung dan gemar memakai baju kurung, akhirnya dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Hasdi Jamal Aripin, 27, yang beralamat di Ampang, Selangor dijatuhi hukuman tersebut oleh Majistret Nurul Ezwaney Husin setelah menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan menipu Norman Mohd. Norawai, 42, dengan menyamar sebagai Doktor Norzulaikha Jamaluddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Sabah didakwa menyerahkan dokumen sijil Perakuan Amalan Tahunan yang diketahuinya sebagai palsu dan perbuatan itu telah mendorong Norman menyerahkan wang RM8,280 sebagai gaji kepadanya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Klinik Doktor Norman Sdn. Bhd., di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam di sini antara 15 Januari dan 11 April tahun lalu.

Dakwaan terhadap Hasdi Jamal dikemukakan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan termasuk mengenakan denda terhadapnya.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashraf Abd. Hamid yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh.

Menurut Mohd. Ashraf, perbuatan tertuduh yang menyamar sebagai doktor telah menjejaskan profesion kedoktoran.

"Dalam tempoh itu juga tertuduh telah merawat banyak pesakit," kata Mohd. Ashraf.

Nurul Ezwaney memerintahkan tempoh pemenjaraan tertuduh berkuat kuasa hari ini.

Mengikut fakta kes, tembelang tertuduh yang menyamar sebagai 'Doktor Norzulaikha Jamaluddin' terbongkar selepas Norman menerima satu panggilan telefon daripada seorang wanita yang mendakwa tertuduh telah mengganggu suaminya.

Mangsa yang mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena kemudian telah membuat semakan di Internet melalui laman web Majlis Perubatan Malaysia (MMC) untuk mengetahui kesahihan kelayakan sijil yang dimiliki tertuduh.

Selepas membuka laman web itu, mangsa mendapati nama yang tertera adalah Dr. Zulaika Nordin dan bukannya Norzulaikha Jamaluddin yang diguna tertuduh.

Ekoran itu mangsa kemudian telah membuat laporan polis di Balai Polis Batu Berendam pada 8 April tahun lalu dan tertuduh kemudian ditangkap pada 11 April ketika sedang menunggu pesakit.

Sepanjang menjadi doktor sambilan selama tiga bulan, mangsa telah membayar gaji hampir RM10,000 kepada tertuduh. - Utusan