Friday 6 June 2014

Henti monopoli kandungan TV


Sreedhar (kiri) dan Mohd Anwar pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

PENYEDIA  perkhidmatan rangkaian televisyen kabel Asian Broadcasting Network (M) Sdn Bhd (ABNxcess) menggesa campur tangan kerajaan dalam menghapuskan perjanjian eksklusif yang mengehadkan siaran kandungan penting televisyen seperti saluran pendidikan, dokumentari dan sukan kepada hanya sebuah stesen televisyen berbayar.

Perjanjian eksklusif ialah persetujuan antara stesen televisyen berbayar dengan pembekal kandungan yang menghalang kandungan itu dijual kepada stesen televisyen lain selama beberapa tahun, mengikut tempoh dipersetujui.

Ketua Pegawai Eksekutif ABNxcess Sreedhar Subramaniam berkata, campur tangan itu perlu bagi mengimbangi industri itu dengan pembangunan negara bagi menghasilkan masyarakat berasaskan pengetahuan.

“Sebagai pemegang lesen, kami (pengendali stesen televisyen) boleh diberitahu (oleh kerajaan) jika kami melakukan aktiviti yang mengurangkan persaingan (dalam pasaran).

“Kami boleh diberitahu yang walaupun kami bebas lakukan pelbagai perkara, ada perkara yang perlu dielakkan untuk kepentingan negara,” katanya dalam sidang media sempena tahun pertama operasi ABNxcess di Kuala Lumpur, semalam.

Sreedhar berkata, ABNxcess mempunyai matlamat memastikan kandungan televisyen termasuk pendidikan, dokumentari, berita dan program agama boleh diakses oleh rakyat dengan harga rendah.

Menurutnya, negara yang mengamalkan pasaran bebas seperti Amerika Syarikat turut mengenakan kawalan dalam industri televisyen berbayar mereka untuk mengelakkan monopoli kandungan.


Beliau berkata, ABNxcess bertemu kerajaan melalui beberapa platform berhubung isu itu dan kerajaan difahamkan sedang mengkaji perkara itu.

“Tentu sekali sebelum ini kerajaan pernah mengarahkan beberapa program (televisyen) disiarkan di beberapa platform berbeza tetapi kami cadangkan ia tidak hanya terhad kepada acara sukan sahaja,” katanya.

Menyentuh pelan perniagaan ABNxcess, Sreedhar berkata, syarikat itu menyasarkan 100,000 pelanggan sehingga akhir tahun ini, selain pelaburan RM2 bilion untuk menyediakan rangkaian kabelnya ke lima juta rumah di seluruh Malaysia menjelang 2017.

Menurutnya pada masa ini, perkhidmatan ABNxcess yang menawarkan siaran televisyen digital dan internet berkelajuan tinggi boleh didapati di beberapa kawasan di Lembah Klang, Johor Bahru, dan Kajang sebelum dikembangkan ke Melaka, Seremban, Ipoh dan Pulau Pinang menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, Pengerusi ABNcxess Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, dengan pengenalan Akta Persaingan yang dikuatkuasakan pada 2012, kerajaan dan pemain industri perlu melihat untuk memberikan akses kandungan televisyen kepada semua
orang berbanding sistem monopoli.

“Kami mencadangkan tapak persaingan yang lebih adil. Mengambil semangat Akta Persaingan, kita tidak patut menggalakkan eksklusiviti dan monopoli kandungan,” katanya. - Sinar Harian