BENCI RASUAH
MENGAPA SAIFUL NANG BENCI RASUAH? Baca sampai ke hujung dan korang juga akan jadi benci rasuah.
Usahawan Melayu tipikal dulu-dulu (sekarang dah ok sikit) kalau bukak company sahaja akan mula main kontrak gomen. Saya dah buktikan, syarikat saya tidak bergantung pada gomen. Jika gomen nak beri kita ambil, jika tidak ada kita tetap terus berniaga.
Kebergantungan dengan gomen ini membuatkan timbul satu istilah iaitu "MELOBI" dan melobi itu amatlah hampir sangat dengan "RASUAH". Memanglah kita tak cakap itu rasuah, tetapi jika kita dah bagi hadiah handphone kepada pegawai-pegawai tertentu, takkanlah dia sampai hati nak biarkan kita tak dapat projek berbanding saingan yang sedikit lebih baik kan? Akan berlaku justifikasi sedapat-dapatnya pemberi handphone juga yang dapat job itu.
Dulu masa saya mula meniaga tahun 2001, saya beli 1 beg pemukul golf. Otai business ajar, jika nak business kena pandai main golf. Satu round boleh sampai 5 jam lebih dan di situ takkan nak cerita pasal bedi, eagle, par, wood dan iron sahaja? Mesti ada cucuk jarum.
Masuk padang golf cuba main dahulu dengan kawan yang dulu pernah jadi kedi lepas SPM. Baru hole ke dua, marshall dah datang suruh keluar. Katanya...rosak rumput aku cangkul. Dia suruh pergi ke driving range untuk belajar pukul dulu.
Punyalah nak mahirkan golf, hari-hari training. Akhirnya saya terfikir semula. Untuk apa saya main golf?
Untuk melobi projek?
Untuk apa melobi jika kita sudah cukup bagus?
Kalau melobi nanti siapa yang bayar green fees di padang golf?
Kalau kita bayar, bukan ke jadi rasuah?
Depa cakap....TAKK!!
Itu entertainment namanya.
Entertainment?
Hiburan ke?
Boleh juga, kita gembirakan hati client dan bakal client kita. Ok...untuk apa digembirakan hati mereka?
Supaya mereka bagi projek lah dol!
OK aku dol...tapi aku tengah fikir ni.
Kalau aku bagi dia happy dalam ruang yang bukan berkaitan kerja, dan aku kena bayar SEBELUM aku diberikan projek walaupun ada orang lain lebih layak...ITUKAN RASUAH??
Otai jawab...itu bukan rasuah lah. Itulah entertainment.
Ntah...inilah bendanya.
Antara hitam dan putih ada ruang samar-samar yang nampak macam kelabu tapi bukan hitam juga bukan putih.
Isu BABI yang JAKIM kata HALAL
KKM kata HARAM
Korang yakin ke tak?
Was-was dalam hal makanan ni Nabi pesan tinggalkan.
Tinggalkan sahaja yang meragukan.
Tapi kalau yakin...telan lah.
Dalam soal tu...aku tak yakin. Aku rasa itu adalah rasuah yang telah diberi nama baru iaitu ENTERTAINMENT ataupun LOBI MELOBI.
Dari situ aku berprinsip...
AKU AKAN BUAT BUSINESS DAN TUNJUKKAN YANG AKU HEBAT, BUSINESS AKU HEBAT SAMPAI ORANG DATANG CARI AKU BUKAN AKU KENA MELOBI ORANG.
Angkuhnya...
Memang lah kena angkuh. Lambang aku bencikan rasuah sampaikan pegawai Pelancongan pernah kena ceramah agama dengan Ustaz Saiful Nang pasal hint nak suruh mark-up contract RM700k jadi RM1.5Mil tapi terus terang berpantun...
"Saya boleh tolong Saiful, tapi Saiful kenalah tolong saya juga".
Saya faham...tapi buat-buat tak faham.
"Maksud Encik, RASUAH ek?"
"Ehhhh...bukan rasuah...astaghfirullah alazim...rasuah tu haram, takk...ini sumbangan namanya"
SAYA CAMPAKKAN PROPOSAL KE MEJA. Saya katakan dengan tegas, Kamu tak layak jadi manusia kalau nak makan harta rakyat...aku tak kaya tapi aku TAK LAPAR nak makan rasuah.
Memanglah kerajaan bayar, tapi bukankah kalau dia tak kelepet duit tu dan aku tak jadi talibarut saluran kelepetan itu, duit tu boleh menjadikan beberapa orang anak Malaysia jadi doktor.
Prinsip lebih bermakna dari wang RM1.5 Million. Padahal, masa tu company bukan besar mana pun. Kalau dapat RM1.5 Million tu dah kira job paling besar dah pun.
Setahun selepas itu pada tahun 2007, saya kahwin dengan anak Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia ketika itu. Rezeki lepas kahwin melimpah ruah pula. Selepas beberapa bulan sahaja dah dapat bawa keluar kereta bimmer baru koyak plastik lagi. Kemudian makin menjadi-jadi pulak dengan perlantikan sebagai jurugambar diRaja Brunei dan banyak tugasan-tugasan luar negara.
HATERS mula bercakap, saya kahwin anak datuk...saya banyak dapat projek KPM.
Hati menyirap...Mak mertua bengang gila dengan haters. Tapi nak buat macammana, depa cakap mulut takda insuran pun.
Yang tak kenal Pak Mertua saya, dia orang yang pelik. Selepas 4 tahun bersara, saya cuma tanya "Siapa nak saya hubungi untuk jual buku saya ke library sekolah".
Dari rancak berbual, dia terus diam dan kemudian...
"Kamera apa yang bagus kalau ayah nak shoot gambar burung?" (TUKAR TOPIK).
Saya faham, dia tak suka saya masuk KPM untuk buat business. Nanti takut orang akan ingat saya ada kroni. Dia tak cakap, tapi kita kenalah faham kalau dah 2 kali perkara di atas berlaku. Saya tak buat pun orang kata buat...apalagi jika saya buat.
Tahun 2011, saya dan partner wakafkan seluruh keuntungan syarikat kepada kebajikan. Kami hanya makan gaji dah selepas itu. Satu benteng besar apabila kami diminta mengumumkan pewakafan itu secara terbuka oleh penerima faedah.
Mengapa?
Bagi orang segan nak minta suap. Maaf...bukan suap...tapi ENTERTAINMENT.
bukan juga...ia SUMBANGAN jer.
Ada ke orang tergamak nak minta suap jika dalam profile terang-terang menyatakan siapa "Share holder" kami? Kalau minta juga, memang dia tak faham bahasa.
Kesimpulannya, jangan ikut OTAI TIPIKAL MELAYU BUAT BUSINESS yang semuanya nak main kabel, lobi, golf, entertainment, duit kopi, undertable, duit rokok, seks, sumbangan AKA Rasuah.
Jikalah rasuah betul-betul dan dibendung, saya fikir...SPRM mungkin perlukan staff seramai anggota polis dan tentera digabungkan.
Buat masa ini, saya hanya jumpa orang yang makan "ikan bilis" sahaja. Dengan jerung saya belum ada pengalaman.
Setiap kali saya memikirkan tentang rasuah.
Saya sentiasa ingat, saya telah dan akan menyebabkan ada bayi yang mati tak cukup vitamin, ada ibu bapa yang mati digilis lori kerana tak mampu beli minyak kereta untuk pergi kerja.
Saya rasa sangat bersalah...
SEBAB ITU SAYA PILIH UNTUK MEMBENCI RASUAH.
Saya sanggup berniaga macam Chinaman yang bermula dari bawah jual barang di gerai Uptown, lama-lama buka kedai, buka cawangan dan buka chain store dan jadi pengimport yang pelanggannya seramai sejuta orang. Setakat tak melobi kerajaan dan tak dapat kontrak...tak jadi kudis pun.
SAIFUL NANG
Saya Benci Sama Kurapsi
*Share if you hate corruption
** Pernah selalu nampak CEO datang meeting bawa secretary pakai skirt terlupa jahit tepi. Being in the business...saya tahu sebahagian yang dipanggil PA atau secretary ialah HADIAH kepada client.