Wan Azizah Wan Ismail
SHAH ALAM - PKR menamakan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
PKR mencapai keputusan itu selepas selesai mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Pusat (MPP) lewat malam tadi, lapor sebuah portal.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Wan Azizah yang juga Presiden PKR mampu memberi kestabilan kepada PR di Selangor.
"Nama yang dicadangkan adalah Wan Azizah selaku Presiden parti dan saya percayai ia mampu beri gambaran kestabilan kepada PKR dan PR," kata Anwar pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, semalam.
Laporan itu dipetik, Anwar mengakui mesyuarat diadakan bagi membincangkan mengenai isu Menteri Besar Selangor dan keputusan yang diperoleh adalah mengemukakan Wan Azizah sebagai calonnya.
"Jadi konsensus tadi (semalam) ialah untuk terus dengan keputusan awal (Langkah Kajang) dengan kemukakan satu nama kepada Majlis Pakatan Rakyat.
"Proses itu akan dibawa kepada Majlis Pakatan Rakyat," katanya.
Anwar menjelaskan pengumuman tersebut bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu di negeri Selangor yang semakin meruncing.
"Tapi kita rasa kena ada langkah tambahan untuk selesaikan isu panas dan legakan kegelisahan rakyat dan menarik kembali keyakinan kepada PR," katanya.
Anwar bagaimanapun dilaporkan tetap memuji pentadbiran Abdul Khalid yang dilantik menteri besar untuk penggal kedua tetapi menegaskan perubahan perlu dilakukan.
"Pertama kita akui, prestasi itu membanggakan dan menghargai jasa Abdul Khalid mentadbir serta banyak rekod yang boleh dibanggakan," katanya.
Menurut Anwar, pertemuan malam tadi juga bagi menjelaskan mengenai perkembangan terakhir "Langkah Kajang" yang pada awalnya diambil untuk menukar kepimpinan di Selangor.
"Jadi malam ini, kita teruskan pertemuan dengan ahli pimpinan baru, ketua cabang baru serta pemimpin PKR lain.
"Kita adakan pertemuan ini bagi beri ruang untuk dapatkan penjelasan dan maklumat terakhir mengenai Langkah Kajang," katanya.
Isu Menteri Besar Selangor panas sejak selepas PRU13 dan tidak selesai sehingga kini.
Abdul Khalid kehilangan sokongan daripada partinya sendiri selepas dilantik semula menjawat jawatan nombor satu itu untuk penggal kedua.
Anwar minggu lepas juga memberi isyarat PKR sudah memiliki pengganti menteri besar baharu.
Nama Dr Wan Azizah sebelum ini juga dikatakan akan mengisi jawatan tersebut.
Sementara itu, isu jawatan Menteri Besar Selangor juga dikatakan menjadi salah satu punca populariti PR jatuh merudum di Selangor setahun selepas PRU13. - Sinar Harian