Friday 11 July 2014

FIFA gantung Nigeria


Pasukan Nigeria tidak dibenarkan menyertai mana-mana kejohanan bola sepak antarabangsa selepas Fifa menggantung NFF.

PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menggantung Persekutuan Bola Sepak Nigeria (NFF) daripada terlibat dalam sebarang kejohanan bola sepak berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Kecemasan Fifa selepas mendapati kerajaan negara tersebut mencampuri urusan NFF.

Ia juga merupakan tindakan susulan daripada keputusan Mahkamah Nigeria yang mendapati menteri sukannya telah memecat keanggotaan NFF dan kerajaan negara itu kemudian dilantik sebagai pentadbir tunggal bola sepak, tidak lama selepas pasukan kebangsaan mereka
kembali daripada saingan Piala Dunia di Brazil.

“Mengikut Perkara 13 dan 17 Statut Fifa mendapati sesebuah persatuan bola sepak perlu diuruskan secara bebas tanpa campur tangan pihak ketiga atau kerajaan,” katanya.


Perkembangan terbaru itu menyebabkan pasukan Nigeria tidak akan dapat beraksi dalam mana-mana kejohanan di bawah Fifa.

Pertandingan paling hampir adalah kejohanan Piala Dunia Wanita dijadualkan pada 5 hingga 24 Ogos ini.

Untuk rekod, skuad bola sepak Nigeria pada saingan Piala Dunia di Brazil sekadar menamatkan saingan di peringkat 16 pasukan selepas kalah kepada Perancis, 2-0 dalam perlawanan kalah mati itu. - Sinar Harian