Thursday 17 July 2014

KES DI SWEDEN ::: Azizul Raheem lapor diri hari ini

Pegawai Tourism Malaysia di Sweden, Azizul Raheem Awalluddin bertemu wartawan selepas hadir melaporkan diri di Jabatan Sumber Manusia, Ibu Pejabat Tourism Malaysia, di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Pegawai Tourism Malaysia yang dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara tiga bulan di Sweden kerana memukul empat anaknya, Azizul Raheem Awalludin, melaporkan diri di pejabat Tourism Malaysia di sini, hari ini.
 
"Saya perlu menguruskan pelbagai perkara berkaitan kerja dan peribadi," katanya ketika ditemui pemberita di pejabat tersebut.
 
Azizul Raheem berkata, beliau memohon untuk bercuti dan akan kembali bertugas selepas cuti Hari Raya Aidilfitri ini untuk meluangkan masa bersama anak-anaknya.

Katanya, beliau kini menjawat jawatan sebagai Penolong Pengarah Kanan di Tourism Malaysia namun jabatan penempatan bertugas beliau masih belum ditetapkan.
 
Azizul Raheem, yang dibebaskan pada 9 Julai lepas, didakwa memukul anaknya sejak September 2010 dan dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan manakala isterinya Shalwati Norshal, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji, dijatuhi hukuman penjara 14 bulan.
 
Bagaimanapun hukuman itu dikurangkan dan mereka masing-masing hanya perlu menjalani satu pertiga daripada jumlah hukuman itu.
 
Pasangan berkenaan mempunyai empat anak, iaitu Aisyah, 15, Ammar, 12, Adam, 11, Ariff, 8.

 
Ditanya mengenai persekolahan anak-anaknya, Azizul Raheem berkata mereka akan terus bersekolah di Kelantan sehingga akhir tahun ini sebelum diputuskan sama ada untuk menghantar mereka bersekolah di Kuala Lumpur atau kekal di Kelantan.
 
"Saya perlu berbincang dengan isteri saya apabila dia pulang ke Malaysia nanti. Perkara ini akan juga dibincangkan dengan saudara-mara untuk memutuskan sekolah yang paling sesuai untuk anak-anak akan ditempatkan kelak," katanya.
 
Azizul Raheem mula berkhidmat di Tourism Malaysia sejak September 2000.

Sebelum bertugas di Sweden sejak 2010, beliau pernah berkhidmat di pejabat Tourism Malaysia di Johannesburg, Afrika Selatan dari 2006 hingga 2010.
 
"Pengalaman dihukum penjara menjadikan diri saya lebih matang dalam menjalani kehidupan seharian, saya berazam untuk meningkatkan mutu kerja pada masa depan," katanya. - Bernama