KIKI diiring polis. FOTO Luqman Hakim Zubir
Kuantan: Polis menahan wanita yang bertindak keterlaluan terhadap seorang warga emas selepas terbabit dalam kemalangan di parkir kenderaan Pusat Transformasi Bandar (UTC), Isnin lalu, bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Saleh berkata, tempoh penahanan Siti Fairrah Ashykin Kamaruddin, 30, yang lebih dikenali sebagai Kiki, bergantung kepada hasil siasatan.
"Kita menahannya berhubung tindakannya merosakkan harta benda mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
"Setakat ini beliau memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang keterangannya diambil dan kita juga berkemungkinan untuk memanggil beberapa saksi lain untuk membantu siasatan," katanya.
Siti Fairrah tiba di IPD kira-kira jam 4 petang untuk memberi keterangan berhubung kejadian itu dengan memakai baju kemeja biru dan bertudung hitam sambil ditemani ibu, bapa serta adiknya. - hmetro