Sunday 20 July 2014

MH17 ::: Kenyataan Menteri Pengangkutan mengenai nahas MH17


KUALA LUMPUR - Berikut kenyataan daripada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai semasa sidang akhbar berhubung tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 di Hotel Sama-Sama, Sepang, hari ini:
 
"Hari ini Malaysia Airlines menyiarkan senarai akhir warganegara yang menaiki pesawat MH17. Setiap daripadanya mewakili nyawa yang hilang, dan keluarga yang dirundung duka. Selepas sidang akhbar ini, Malaysia Airlines akan menyiarkan senarai penuh penumpang.

Malaysia meratapi kehilangan kesemua 298 penumpang dan kru. Kami turut merasai kesedihan keluarga mereka. Dan kami berjanji akan melakukan segala yang boleh untuk memastikan siasatan dilengkapkan, dan keadilan ditegakkan.
     
TENTANG SIASATAN:

Malaysia amat bimbang apabila kawasan kemalangan tidak dilindungi dengan rapi. Integriti kawasan ini telah dicurigai, dan terdapat tanda bahawa bukti penting tidak dipelihara dengan sebaik-baiknya.

Perbuatan mengganggu kawasan kemalangan mengundang risiko yang menjejaskan siasatan itu sendiri. Sebarang tindakan yang menghalang kami daripada mendapatkan kebenaran tentang apa yang berlaku kepada MH17 tidak boleh diterima.

Kegagalan untuk menghentikan gangguan seperti itu akan merupakan pengkhianatan kepada mereka yang kehilangan nyawa.
 
Malaysia menggesa semua pihak supaya melindungi integriti kawasan kemalangan, dan membenarkan siasatan dijalankan. Kami menggesa semua pihak terlibat agar menghormati keluarga, dan negara yang kehilangan warga mereka dalam serangan ini.

Ya, MH17 telah menjadi isu geopolitik. Namun begitu kita tidak harus lupa bahawa ini adalah tragedi kemanusiaan. Beberapa hari selepas pesawat ini terhempas, mayat 298 orang di dalam pesawat ini masih belum ditemui. Warganegara dari sebelas negara – tidak seorangpun daripada mereka terlibat dalam konflik di Timur Ukraine – tidak dapat disemadikan. Kehidupan mereka diragut oleh keganasan; kini keganasan juga menghalang mereka daripada diberi penghormatan terakhir. Ini tidak boleh dibiarkan berterusan.

     
TENTANG PENUGASAN:
 
Awal hari ini, pasukan khas Malaysia tiba di Kiev. Kami memohon sokongan berterusan daripada kerajaan Ukraine, dan pihak lain yang terlibat, sambil  pasukan itu membantu pihak berkuasa Ukraine dalam mencari dan mengenal pasti mayat penumpang dan kru, dengan penyiasatan lebih meluas.

Dunia mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan mayat kesemua mangsa ditemui dan diuruskan dengan penuh hormat. Kami akan menjalankan peranan kami dalam memenuhi tanggungjawab ini. Sebab itulah, lewat hari ini, saya akan menyertai pasukan Malaysia di Kiev, dan saya akan bekerjasama dengan rakan sejawatan saya dalam kerajaan Ukraine, untuk menyokong usaha mencari mayat mangsa, dan membantu dalam siasatan ini.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, penyiasat yang bertanggungjawab dari Malaysia, dan Pengerusi Malaysia Airlines akan menyertai saya. Ketua Pegawai Eksekutif  Malaysia Airlines sudahpun berada di Kiev.

MENGENAI LALUAN PENERBANGAN:
 
Berhubung laluan penerbangan MH17, saya ingin merujuk kepada komen yang dilaporkan baru-baru ini oleh pegawai dari Eurocontrol, badan yang meluluskan laluan penerbangan Eropah di bawah peraturan-peraturan ICAO.

Menurut Wall Street Journal, pegawai itu menyatakan bahawa kira-kira 400 penerbangan komersial, termasuk 150 penerbangan antarabangsa, merentasi Timur Ukraine setiap hari sebelum nahas ini. Pegawai dari Eurocontrol turut menyatakan bahawa dalam tempoh dua hari sebelum kemalangan ini, 75 syarikat penerbangan yang berlainan menggunakan laluan serupa seperti MH17.

Laluan penerbangan MH17 adalah laluan udara utama yang sibuk, bagaikan sebuah lebuh raya di udara. Ia mengikuti laluan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa penerbangan antarabangsa, diluluskan oleh Eurocontrol, dan digunakan beratus-ratus pesawat lain. Ia terbang pada ketinggian ditetapkan, dan dianggap selamat oleh pengawal trafik udara tempatan. Dan ia tidak pernah menyimpang ke dalam ruang udara yang dilarang.

Penerbangan ini dan pengendalinya mematuhi peraturan. Bagaimanapun, di daratan, peraturan perang dilanggari. Dalam tindakan serangan yang tidak boleh diterima, nyata bahawa MH17 telah ditembak; penumpang dan kru penerbangan ini terkorban akibat serangan peluru berpandu.

PENUTUP

Perbuatan kejam ini tidak boleh dibiarkan tanpa dihukum. Sekali lagi, Malaysia mengutuk tindakan serangan yang kejam ini, dan menggesa supaya mereka yang bertanggungjawab dikenal pasti, dan diadili dengan sepenuhnya tanpa berlengah lagi. - Bernama