Monday, 7 July 2014

Permintaan terakhir KAK PAH


Datuk Sharifah Aini

“YA ALLAH, Kak Pah cakap pun Kak Pah hendak menangis,” demikian antara kata-kata terakhir Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar ketika menjadi panel jemputan Rancangan Celik Hati bersama Profesor Dr Muhaya Mohamad di TV 9 yang lalu.

Jelas Sharifah Aini atau lebih mesra disapa Kak Pah, penampilan beliau yang lalu membuatkan beliau malu kepada ALLAH, dan berharap penampilannya yang lalu tidak lagi disiarkan oleh mana-mana pihak selepas ketiadaanya.

“Tengok YouTube dengan rambut dan penampilan saya… saya malu pada ALLAH, terlalu malu…saya malu pada ALLAH…tapi itu sudah lepas, hendak kata apa lagi.

“Jadi saya ada permintaan pada stesyen televisyen, kepada kawan-kawan media, kalau nak keluarkan gambar tolonglah jangan keluarkan gambar dulu, gambar yang tidak berhijab.

“Kasihan dekat kita semua, kami semua sudah ‘move on’ ke jalan Tuhan. Hendak jadi lebih baik, hendak dekat dengan ALLAH, setiap hari kami mencari keredaan ALLAH,” katanya.

Berbicara lanjut Kak Pah turut mengatakan bahawa kelahiran Aliff Omar Ali adalah suatu yang paling berharga baginya dan berharap Aliff menjadi imam bagi menyembahyangkan jenazahnya.

“Selama 40 tahun (dalam industri hiburan), waktu yang paling berharga bagi saya adalah melahirkan anak, bukan peminat, bukan populariti.


“Alhamdullilah Aliff berada di Madinah selama 11 tahun belajar, dan pada saya, hanya itu sahaja harta yang saya ada.

“Dalam perbincangan saya dengan Aliff kalau dia balik cuti, Aliff doa mami mudah-mudahan mami mati dekat pangkuan Aliff.

“… kalau ALLAH izinkan Aliff, Alifflah yang jadi imam untuk sembahyangkan jenazah mami… itulah harapan saya,” katanya.

Allhamdullilah hasrat Kak Pah tertunai apabila solat jenazahnya semalam diimamkan sendiri oleh Aliff di Masjid Al Taqwa Taman Tun Dr Ismail kira-kira jam 11.30 pagi .

Allahyarhamah meninggal pada usia 61 tahun kerana menghidap fibrosis paru-paru sejak dua tahun lalu dan kira-kira lima bulan lalu pernah dijangkiti virus Influenza A (H1N1).

Jenazah kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara Kuala Lumpur .

Al-Fatihah

-Sinar Harian