12 Februari 2014
Ajai
“DALAM soal ini saya perlu pentingkan kesihatan sendiri. Saya tidak akan ambil pusing apa yang orang lain katakan kerana kesudahannya, saya sendiri yang akan merasai kesannya,” jelas komposer terkenal, Ajai berkaitan khabar yang mengaitkan dirinya melakukan pembedahan hidung.
Mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu, Ajai memberitahu pembedahan yang dilaluinya kira-kira empat bulan lalu bukanlah bertujuan untuk kecantikan tetapi sebagai rawatan penyakit sinus yang dihadapinya sejak belasan tahun lalu.
“Sebenarnya saya sudah belasan tahun saya menghidap sinus tapi memandangkan tidak ada masa, jadi saya cuma buat rawatan tradisional sahaja sebelum ini.
“Sehinggalah satu hari, kira-kira empat bulan lalu, bila bangun daripada tidur saya mendapati telinga sebelah kiri saya tidak dapat mendengar dengan jelas dan rasa sakit bila di sentuh.
“Tidak sangka lepas buat pemeriksaan, doktor dapati jangkitan daripada sinus itu telah merebak ke bahagian telinga kiri. Doktor syorkan supaya saya menjalani pembedahan ini untuk selamatkan pendengaran telinga kiri saya,” jelasnya panjang lebar ketika ditemui pada majlis sidang akhbar program terbaru TV3, Jemput Masuk, Cef, kelmarin.
Tambahnya, kesan daripada pembedahan itu, dia menerima sebanyak 19 jahitan dan gegendang telinga kirinya terpaksa dibuang kerana dijangkiti.
“Alhamdulillah, setelah berehat selama dua bulan, keadaan saya sudah pulih walaupun ada kalanya rasa tidak selesa.
“Saya tidak kisah kalau ada yang membuat andaian yang tidak sepatutnya. Apa yang penting kesihatan saya sekarang sudah pulih,” ujarnya.
Teruja bergelar pengacara
Selain bergelar penyanyi dan komposer terkenal, kini Ajai buat pertama kalinya menceburi bidang pengacaraan dalam program TV3, Jemput Masuk, Cef yang bakal menemui penonton bermula hari ini.
Kali pertama ditawarkan sebagai pengacara, Ajai akui konsep program yang lebih santai tanpa terikat dengan sebarang protokol adalah antara faktor utama dia bersetuju menerima tugasan itu.
“Bidang pengacaraan juga adalah cabang karier dalam industri hiburan dan ia juga tidak jauh daripada kerjaya saya sebagai seorang pemuzik.
“Memang pada awalnya saya ambil masa untuk terima tawaran ini tapi setelah diberitahu oleh pihak produksi mengenai konsep program secara keseluruhannya, saya tertarik dan bersetuju,” katanya.
Bagaimanapun, Ajai memberitahu dia hanya akan mengacarakan program ini sahaja dan tidak merancang untuk menerima mana-mana tawaran lain.
“Dalam program ini saya rasa tertarik kerana ia menceritakan tentang diri saya sendiri dan dalam pada masa yang sama, saya berkesempatan menjemput rakan selebriti sebagai artis jemputan untuk setiap episod.
“Rata-rata daripada mereka ini merupakan teman saya sendiri, jadi perasaan kekok itu tidak timbul,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ajai bakal memperkenalkan single keduanya esok dan pada masa yang sama melancarkan muzik video Aduh.
Sinar Harian Telus & Tulus