Monday, 24 February 2014

GAYA!!! Pandu Uji: Evolusi Corolla Altis

Sepanjang tempoh 47 tahun, sudah 11 generasi kereta segmen C menerusi model Toyota Corolla mengalami evolusi untuk menyesuaikan keperluan dan kehendak semasa.
Model kereta ini yang dijual mencecah sehingga 40 juta unit di seluruh dunia pasti menampilkan wajah lebih segar serta menerima pembaharuan teknologi terkini setiap kali generasi terbarunya dikeluarkan.
Jika di luar negara, kereta itu diberi nama berbeza seperti Corolla Axio di Jepun, manakala bagi pasaran Asia Tenggara dipanggil Corolla Altis, termasuk Malaysia.

Pengenalan generasi ke-11 untuk pasaran tempatan pada Januari lalu itu pasti memberi impak dalam persaingan kenderaan kategori segmen C seperti Honda Civic, Nissan Slyphy, Kia Cerato dan Hyundai Elantra.
Foto
REKA bentuk terbaru dan bergaya.
Generasi terbaru itu menerima sentuhan rekaan moden yang tidak jemu dipandang, sekali gus memberi karakter berbeza berbanding model konvensional terdahulu.
Foto
TAMPAK gah dengan rekaan terbaru.
Ketika memandu uji Corolla Altis minggu lalu, penampilan yang mahu disampaikan oleh jurutera­nya pasti menerima sambutan baik masyarakat global kerana bentuk luarannya kelihatan jauh lebih sporty selepas menggunakan konsep ‘Modern Prestige’.

Foto
LAMPU depan dengan lampu siang LED.
Garisan tajam menghiasi bahagian depan, sisi dan belakang de­ngan sentuhan konsep ‘Keen Look’ menyalurkan imej agresif bagi memenuhi gaya serta cita rasa golongan eksekutif muda.

Kenderaan pandu uji menerusi varian 2.0 V ini adalah spesifikasi paling tinggi yang dilengkapi beberapa ciri istimewa seperti lampu depan LED Projektor dengan Lampu Siang serta tampak lebih gah selepas dipadankan rim aloi 17 inci.

Foto
PAPAN pemuka tampak kemas dengan rekaan kontemporari.
Pada pandangan kasar, mungkin segelintir masyarakat menyang­ka ia masih mengekalkan dimensi sama seperti generasi ke-10.

Namun, hakikatnya berbeza kerana jentera ini lebih panjang sehingga 80 milimeter (mm) dan sedikit lebar 16 mm, manakala jarak roda ditambah 100 mm untuk memberi keselesaan kepada ruang kabin.

Penambahan jarak roda itu memberi kesan positif, terutama bahagian ruang kaki yang menawarkan kapasiti lebih besar sehingga 92 mm dengan rekaan tempat duduknya dibaluti material kulit.

Bagi penulis, suasana dalam ruang kabinnya lebih menarik de­ngan padanan warna hitam yang tampak eksklusif dan bergaya, selain papan pemukanya menerap­kan rekaan berciri kontemporari.

Susunan pelbagai butang tidak kelihatan ‘serabut’, malah lebih kemas selepas padanan sistem audio skrin tujuh inci yang dilengkapi sistem navigasi serta kamera undur bagi mengesan objek di belakang.

Ia juga lebih praktikal apabila padanan lapan tempat meletak bekas air dan kerusi belakang yang boleh dilipat secara mendatar untuk memaksimumkan ruang penyimpan barangan.

Bagi jentera pandu uji ini, penulis seronok ‘membelasah’ enjin 3ZR-FE berkapasiti 2.0 liter Dual VVT-i di lebuh raya.

Di laluan lurus, jentera ini mudah memecut sehingga melebihi 160 kilometer sejam dengan prestasi enjin yang menyalurkan kuasa maksimum 145 PS serta tork sehing­ga 187 Nm.

Jika kekurangan kuasa dikehendaki sama ada untuk memotong kenderaan lain, transmisi CVT boleh ditukar secara manual tujuh kelajuan dengan menarik pedal di belakang stereng.

Sistem suspensinya juga menarik minat penulis untuk berkongsi pengalaman apabila ia terasa sedikit lembut bagi menyerap hentakan laluan tidak rata atau beralun.

Biarpun lembut, kestabilannya masih mantap untuk melayan selekoh dengan kelajuan sedikit tinggi berbanding biasa.

Paling mengujakan penulis ketika memandu uji jentera ini adalah kedapan bunyinya ketika kelajuan tinggi.

Boleh dikatakan, penambahbaikan kedapan bunyi menerusi pengurangan getaran dan kekerasan (NVH) memberi ketenangan kepada penulis sepanjang perjalanan.

Malah, ‘Aero-Stabilising Fins’ pada bahagian cermin sisi, lampu dan bampar belakang turut me­ngurangkan kebisingan seretan angin serta meningkatkan tahap aerodinamik yang mampu memberi penjimatan bahan api.

Bagi varian ini, ia dilengkapi sistem keselamatan seperti Kawalan Tarikan (TRC) dan Kawalan Ke­stabilan Kenderaan (VSC), padanan Sistem Antikunci Brek (ABS) de­ngan EBD dan BA


SPESIFIKASI

ENJIN: bersesaran 1,987 cc, empat silinder sebaris, DOHC dengan Dual VVT-i
KUASA MAKSIMUM: 143 hp pada 6,200 rpm
TORK MAKSIMUM: 187 Nm pada 3,600 rpm
TRANSMISI: CVT
CIRI KESELAMATAN: ABS, EBD, BA, VSC, pengesan jarak, beg udara SRS hadapan dan ISOFIX
HARGA: RM136,000