Monday 24 February 2014

INFO!!! AS Mungkin Mansuh Temu Duga Permohonan Visa Rakyat Malaysia

Isnin Februari 24, 2014

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) sedang mengkaji kemungkinan memansuhkan temu duga untuk permohonan visa bagi pengembara ulangan dari Malaysia yang mempunyai rekod prestasi baik.

Penolong Setiausaha Amerika Syarikat bagi Hal Ehwal Konsul, Duta Janice L. Jacobs berkata mereka juga mungkin tidak perlu melalui proses untuk cap jari diambil semula di Kedutaan Amerika Syarikat di sini.

"Ini untuk memudahkan pengembara Malaysia yang mempunyai rekod prestasi yang baik untuk melawat AS sekali lagi sama ada untuk tujuan melancong atau urusan perniagaan," kata beliau pada perbincangan meja bulat dengan media Malaysia sempena lawatan rasminya selama dua hari ke Kuala Lumpur, bermula pada Isnin.

"Kami melihat bahawa pada 2017, kami mungkin dapat memansuhkan temu duga bagi rakyat Malaysia yang 10 cap jari mereka telahpun diambil. Cap jari itu diambil sejak 2007," katanya.

Jacobs menarik perhatian bahawa rakyat Malaysia layak memperolehi visa bukan imigran untuk tempoh sehingga 10 tahun, tempoh maksimum yang dibenarkan oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Jacobs berkata pejabat kedutaan AS mengeluarkan lebih 42,000 visa kepada rakyat Malaysia yang melawat negara itu tahun lepas atas urusan perniagaan atau melancong.

"Daripada 42,000 itu, 800 ialah visa imigran," kata beliau dan menambah visa juga dikeluarkan kepada rakyat Malaysia yang menuntut di AS yang jumlahnya kini hampir 7,000 orang.

"Di seluruh dunia, masa menunggu bagi temujanji untuk temu duga visa adalah kurang daripada 15 hari. Di Malaysia, masa menunggu hanya satu hari," kata beliau.

Mengenai lawatannya, Jacobs berkata beliau akan menemui pegawai kanan kerajaan daripada pelbagai sektor untuk membincangkan beberapa isu termasuk kes penipuan melalui Internet.

Beliau berkata kira-kira 12 kes seperti itu berkaitan kedua-dua negara dilaporkan seminggu, menyebabkan kerugian beratus-ratus ribu dolar.

Jacobs berkata beliau akan memohon kerjasama pihak berkuasa Malaysia bagi membanteras kes penipuan itu dan membwa mereka yang yang melakukan jenayah itu ke pengadilan. - BERNAMA

Sumber