Wednesday, 19 February 2014

KEJAM!!! Maut disyaki angkara kekasih

Oleh AZRAI MOHAMMAD
pengarang@utusan.com.my


polis menyita rumah yang mana seorang wanita ditemui cedera parah di kepala dipercayai dipukul oleh teman lelakinya di Lagoon Perdana, Bandar Sunway, kelmarin. Mangsa meninggal dunia di PPUM, Petaling Jaya, semalam.


KUALA LUMPUR 18 Feb. - Seorang pekerja wanita sebuah pusat panggilan bank di ibu negara maut akibat dipukul di kepala dipercayai dilakukan oleh teman lelakinya di sebuah rumah di Lagoon Perdana, Bandar Sunway, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, mangsa, Pakizah Raja Khan, 27, disahkan meninggal dunia pada pukul 1.41 pagi ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) setelah dihantar untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital berkenaan.

"Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam semalam, ibu mangsa yang tinggal di Kajang menerima panggilan daripada seorang lelaki yang meminta dia ke sebuah rumah di Lagoon Perdana.

"Setibanya di rumah berkenaan, ibu mangsa mendapati anak perempuannya itu meronta-ronta kesakitan serta berdarah di bahagian kepala dan muka.

"Mangsa yang dipercayai mengalami keretakan tengkorak sebelah kiri dikejarkan ke hospital dengan ambulans tetapi disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Yahaya berkata, ekoran itu, ibu mangsa membuat laporan di Pondok Polis PPUM kerana mengesyaki anaknya tersebut telah dipukul kerana terdapat kesan luka baharu dan lama di badan mangsa.

"Pihak polis kini sedang mengesan teman lelaki mangsa yang dipercayai terlibat dalam kejadian ini dan pemeriksaan di rumah suspek mendapati dia telah meninggalkan rumah itu," ujarnya.

Sumber