19 Februari 2014
- Abdullah memasukkan botol untuk mengumpul air tuak sebelum dijual kepada pelanggan.
Abdullah Omar, 75, berkata, cuaca panas terik sejak akhir-akhir ini menyebabkan air tuak menjadi pilihan utama penggemar minuman tradisi rakyat Kelantan itu sebagai penghilang dahaga kerana aroma dan rasanya enak.
“Bahkan permintaan air tuak pakcik ini pada musim panas ini laris seperti di bulan Ramadan sehingga pakcik tidak menang tangan mengumpul air tuak dari 80 pokok kelapa wangi yang ditanam lima tahun lalu,” katanya.
Abdullah berkata, jualan air tuaknya bukan bermusim untuk bulan puasa sahaja, sebaliknya dia menjualnya sepanjang masa walaupun pada musim hujan.
Menceritakan bagaimana dia terlibat dalam perusahaan air tuak di usia emas ini, Abdullah berkata, ia bermula apabila perniagaan keropok lekornya merosot berikutan kenaikan kos bahan mentah.
“Kebetulan pakcik ada tanah pusaka di Kampung Jubakar Pantai seluas setengah ekar, jadi pakcik terfikir untuk menanam pokok kelapa wangi.
“Usaha pakcik membuahkan hasil kerana selepas tiga tahun, pokok kelapa ini membawa rezeki kepada pakcik, selain dijual sebagai kelapa muda, mayangnya juga boleh hasilkan tuak,” katanya yang mempunyai tujuh anak, dari Kampung Dalam Rhu, di sini.
Menurutnya, kebun kelapa berhampiran jalan utama memberi kelebihan buatnya apabila jualan air tuaknya di tepi jalan diketahui ramai.
“Musim kemarau ini pakcik dapat jual air tuak sekitar 50 botol sehari. Setiap satu botol berisi 500 mililiter dengan harga RM3 sebotol.
“Bagaimanapun kalau diusahakan 80 pokok tersebut, mungkin lebih air tuak dapat dikutip tetapi disebabkan pakcik sudah agak uzur, pakcik kutip setakat mampu sahaja, itu pun pada pokok kelapa yang rendah,” katanya.
Bagaimanapun katanya, anak bongsunya, Zuhairi, 33, banyak membantu mengutip air tuak pada waktu petang selepas waktu bekerja sebagai kerani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berangan.
Sumber