Monday, 17 February 2014

PANAS!!! Tak timbul isu itu - Bocey

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
athirah.dzulkifly@utusan.com.my


PROGRAM popular Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM2013) telah pun melabuhkan tirainya pada minggu lalu malah bahang kemenangan yang diraih kumpulan Sepahtu masih menjadi sebutan ramai.

Di sebalik kejuaraan Sepahtu, nama kumpulan Bocey juga terheret kerana ada pihak menyifatkan trio itu layak menyandang gelaran juara pada malam akhir pertandingan yang menawarkan wang tunai sebanyak RM500,000 sebagai taruhan.

Secara amnya ramai berpendapat berbanding Sepahtu, Bocey punya potensi besar untuk menjuarai MLM2013 kerana mempunyai idea yang segar dan tidak klise.

Lalu timbul isu yang mendakwa bahawa kemenangan Sepahtu telah dirancang.

Pelbagai spekulasi muncul mendakwa bahawa usaha untuk menjadikan Bocey sebagai juara ‘terhalang’ kerana kumpulan tersebut tidak lahir daripada produk Astro.

Tidak mahu menuduh Pancaindera mendapatkan Bocey yang menduduki tangga ketiga pada malam kemuncak MLM2013 untuk mendengar pandangan mereka mengenai isu tersebut.

Ini adalah penjelasan Bocey yang diwakili oleh Abam.

Ada yang mempertikai kejuaraan pertandingan MLM2013 tempoh hari wajar diberikan kepada Bocey. Apa pandangan kalian?
Sejujurnya apa-apa pun keputusan tempoh hari adalah sesuatu yang tak dijangka. Kami tak pernah mempertikai keputusan juri dan undian ramai untuk Sepahtu. Kami pun dah cukup puas hati dengan kedudukan ketiga walaupun kami tak begitu popular berbanding Sepahtu dan Shiro. Kami pun tak sangka mampu sampai ke tahap itu.
Sebagai peserta takkan tidak simpan hasrat untuk bergelar juara? Apalagi rata-rata penyokong bersetuju bahawa Bocey lebih banyak idea berbanding Sepahtu?
Kami buat persembahan lawak dengan ikhlas dan lebih pentingkan erti persahabatan. Kami tak sasarkan untuk menang pun sebab kami percaya kalau ada rezeki jadi juara maka sudah tentulah kami akan mendapat rezeki itu. Tapi keputusan menempatkan kami pada kedudukan ketiga, itu pun sudah bersyukur sebab bukan senang nak capai tahap itu.
Ternyata kesepakatan kami akhirnya membawa kami sampai ke peringkat ini dan membawa hasil yang tak terjangka. Malah kami juga percaya, Sepahtu layak menyandang gelaran juara. Mereka disokong oleh peminat yang ramai.
Memang tak rasa Bocey patut menang?
Macam kami cakap... itu semua rezeki. Lagipun kami sedar, kami ini tak popular dan masih baru berbanding Sepahtu. Jadi mungkin sukar untuk kami untuk memenangi hati semua orang. Kami rasa isu ini tak patut dipanjangkan.
Selain isu kemenangan timbul juga cerita kononnya Bocey jika tanpa Abam tidak akan ke mana. Komen?
Tak adalah. Kami semua ada kelebihan masing-masing. Sebelum persembahan kami akan berkongsi idea dan berbincang apa yang boleh dan tak boleh. Kebanyakan masa juga kami banyak merujuk pada mentor kami, Afdlin Shauki.
Apa perancangan Bocey selepas MLM2013 terutama dengan wang kemenangan tempoh hari?
Wang kemenangan belum lagi kami perolehi. Setakat ini perancangan kami untuk mengadakan kenduri kesyukuran sempena kemenangan di tempat ketiga. Namun pada masa yang sama kami merancang untuk menyertai pusat gimnasium.
Macam saya perancangan itu dibuat bukan sebab saya nak kurus tetapi lebih kepada penjagaan kesihatan. Kami faham imej adalah amat penting apabila sudah bergelar public figure. Kami juga sedar untuk membuat persembahan kami perlu memastikan diri sentiasa bertenaga. Selain itu kami juga mahu buat perubahan imej yang bersesuaian.

Sumber