Tuesday 25 February 2014

SEDIA!!! Catuan air di seluruh Selangor mulai esok

24 Februari 2014


Abdul Khalid Ibrahim
  • Abdul Khalid Ibrahim


SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor akan melaksanakan program catuan air secara bergilir di seluruh negeri mulai esok bagi menyeimbangkan penyaluran air di kawasan yang mengalami gangguan bekalan sejak 7 Februari lepas.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata melalui program itu kawasan yang terbabit akan mendapat bekalan air selama dua hari diikuti catuan bagi dua hari berikutnya.

"Menerusi program catuan ini, kita janji setiap pengguna akan dapat bekalan air cuma ia akan dicatu iaitu penyaluran bekalan air dilakukan selama dua hari dan dua hari (berikutnya) tiada air dan seterusnya.

"Sekurang-kurangnya dalam seminggu, empat hari pengguna akan dapat air sepenuhnya dan catuan akan berlarutan sehingga ke suatu masa yang kita rasa sesuai untuk hentikannya iaitu apabila musim hujan bermula, dijangka akhir Mac," katanya selepas menghadiri perjumpaan bulanan penjawat awam di sini hari ini.

Beliau berkata program catuan air dilakukan bagi mengekalkan jumlah air sedia ada di empangan di negeri ini supaya ia dapat bertahan untuk dua bulan akan datang seandainya musim panas terus berlarutan.

Abdul Khalid berkata jika musim hujan tiba lebih awal, catuan itu akan dihentikan dan pihaknya akan memaklumkan keadaan sebenar krisis air pada pertengahan Mac depan untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata menerusi program catuan itu, kawasan di Selangor akan dibahagikan kepada dua zon dan notis terperinci berkenaan pencatuan bekalan air mengikut kawasan itu akan dikeluarkan selewat-lewatnya petang ini untuk hebahan lanjut.

Tambahnya, kerajaan negeri akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan di kawasan yang teruk terjejas bekalan iaitu di sekitar loji Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi untuk mencari jalan terbaik membantu meringankan beban masyarakat yang mengalami kekurangan bekalan air.

Justeru, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya menggunakan air sewajarnya dan menyimpan air mengikut keperluan bagi mengelak kekurangan bekalan selain mengurangkan aktiviti yang boleh membazirkan bekalan itu dalam keadaan cuaca yang panas dan kering sekarang.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata pengurangan pelepasan air mentah dari Empangan Sungai Selangor akan dibuat di loji Sungai Rasa, Sungai Selangor 1, 2 dan 3 esok.

Ini akan menyebabkan kawasan yang menerima bekalan air dari loji-loji itu akan mengalami gangguan bekalan, dan pengumuman kawasan yang terlibat akan dilakukan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) esok, katanya.

Beliau berkata bekalan akan mula dikurangkan sebanyak tujuh peratus pada peringkat pertama diikuti dengan 10 peratus bagi peringkat kedua, 15 peratus (peringkat ketiga) dan 20 peratus (keempat).

Abdul Khalid berkata semua pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diarahkan untuk lebih proaktif membantu penduduk yang terjejas.

Sementara itu, pegawai pelaburan PBT pula diarah memantau kawasan industri masing-masing bagi memastikan penjadualan bekalan air memberi kesan minimum kepada para pengilang, katanya.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan berusaha melakukan pembenihan awan pada masa yang sesuai bagi menghasilkan hujan dan berharap rakyat dapat menggunakan air secara berhemah berikutan cuaca panas sekarang.

Sementara itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur berkata Syabas akan membuat pengumuman perincian air berjadual di kawasan Hulu Langat dan Kuala Langat esok.

Menurut suruhanjaya itu kedua-dua kawasan itu sebelum ini mengalami gangguan bekalan air sejak 28 Jan lepas ekoran penutupan dua loji rawatan air (LRA) iaitu Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi kerana peningkatan kandungan ammonia di dalam sumber air mentah akibat cuaca panas dan kurangnya hujan.

Menurut SPAN, kerajaan negeri Selangor yang bertanggungjawab dalam mengawal sumber air secara dasarnya bersetuju dan telah mengarahkan Syabas mengaktifkan pelan tindakan kecemasan termasuk mengagihkan air secara berjadual kepada pengguna-pengguna yang mengalami gangguan bekalan air.

"Susulan itu, SPAN telah menerima permohonan daripada Syabas untuk melaksanakan pengagihan bekalan air berjadual kepada kawasan-kawasan yang terjejas," katanya.

Menurut SPAN satu mesyuarat telah diadakan antara suruhanjaya itu dengan kerajaan negeri Selangor serta Syabas pada Jumaat lepas untuk membincangkan segala persiapan, dan suruhanjaya itu berpuas hati dengan perancangan yang dikemukakan oleh Syabas dan meluluskan permohonan itu. - Bernama

Sumber