KUALA LUMPUR 2 Mac - Mengembara berpuluh ribu kilometer (km) menggunakan jalan darat bukanlah satu perjalanan yang mudah atau penuh dengan keseronokan sebagaimana tanggapan pihak yang tidak pernah menempuhi kegetirannya.
Pasukan kembara lasak bermotosikal terkemuka negara, 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER) juga tidak terkecuali diuji dengan 1,001 masalah, namun kebesaran Ilahi membolehkan mereka mengharungi apa jua cabaran walaupun pernah menemui jalan buntu.
Paling terkesan di hati mereka ialah bagaimana mujarabnya doa Nabi Yunus dalam surah al-Anbiya' (21):87 yang bermaksud "Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri."
Ketua pasukan 1MWER, Datuk Zamri Mohamed, 50, ketika mengimbau insiden penghujung Ogos tahun lalu berkata, pada masa itu mereka telah berjaya melepasi sempadan Tajikistan-Uzbekistan walaupun dalam seribu kepayahan.
Bagaimanapun katanya, lebih kurang 14 km dari Tashkent, 1MWER ditahan oleh sekumpulan askar yang tidak membenarkan mereka masuk ke pusat bandar dengan alasan keselamatan kerana kawasan itu menjadi lokasi sambutan ulang tahun kemerdekaan Uzbekistan, keesokannya.
"Hampir satu jam kami di situ dan sudah puas merayu, namun kami tetap tidak dibenarkan masuk malah sudah bersedia untuk dihalau dengan kekerasan.
"Keadaan agak kecoh kerana kami tetap cuba merayu sehinggalah diarah kembali ke sempadan dan meninggalkan motosikal di situ," katanya dalam e-mel kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kata Zamri, mereka sudah kehilangan arah kerana terlalu kecewa dan penat manakala jarum jam tangan sudah menunjukkan pukul 1 pagi.
Katanya, sebagai usaha terakhir, beliau membacakan doa Nabi Yunus sewaktu terperangkap dalam perut seekor ikan besar yang diajar arwah ibunya dan menghembuskan perlahan-lahan beberapa kali ke arah belakang tentera tersebut sambil mulut tidak putus-putus berdoa.
"Tidak sampai dua minit, ketika kami sudah mula melangkah untuk beredar dari kawasan itu, saya lihat askar tadi menelefon seseorang dan kemudiannya menjerit ke arah kami memberi kebenaran untuk masuk ke pusat bandar.
"Inilah kebesaran Ilahi yang kami pernah alami. Alhamdulillah, hanya Allah yang menjadi peneman dalam perjalanan ini," katanya yang kini berada di Santiago, Chile.
1MWER yang turut dianggotai oleh Rosmadi Saad, 46, dan Mohd. Faizal Sukree, 38, akan berada di Santiago sehingga Selasa ini untuk urusan penyelengaraan motosikal termasuk menukar tayar.
Dianjurkan oleh Yayasan Wangsa Perdana dengan kerjasama Tourism Malaysia dan mendapat sokongan Bank Rakyat selaku penaja utama, 1MWER akan menjelajah lebih 40 buah negara meliputi jarak 53,000 km dalam usaha mencipta rekod dunia.
Perkembangan ekspedisi 1MWER boleh diikuti melalui laman Facebook rasmi 1MWER: 1 Malaysia World Endurance Ride
Sumber