6 Mac 2014
Hanez Suraya
“SELEPAS dia (Nurliyana Abd Manan) mengeluarkan kenyataan kepada media, saya dan keluarga dihina oleh masyarakat. Apatah lagi, ramai yang mengenali saya dan ia secara tidak langsung menjejaskan imej saya. Jadi saya harap dia membuat permohonan maaf secara terbuka bagi membersihkan nama saya” ujar Hanez Suraya dalam satu sidang media di One World Hotel, petang semalam.
Menurut Hanez, segala dakwaan wanita terbabit yang mengatakan Hanez sebagai punca keretakan rumahtangga dia dan suaminya yang dikenali sebagai Mr R atau nama sebenarnya Romie Razin Adilha langsung tidak benar kerana Hanez hanya mengenali lelaki berkenaan pada 20 Disember lalu.
“Saya baru dua bulan mengenali Romie, sedangkan dia menuduh saya menjalinkan hubungan sejak lapan bulan lepas. Malah, dia juga sudah memfailkan penceraian pada Oktober, dua bulan sebelum saya mengenali Romie.
“Kita lihat dulu sejauh mana respons dia mengenai permintaan saya ini dan jika dia tidak membuat seperti yang saya minta, nantilah tindakan saya seterusnya ,” katanya.
Dalam sidang media tertutup itu, Hanez turut hadir bersama peguamnya, Wan Nurliyana Abdul Rahman, manakala Romie, 34, turut hadir bersama peguamnya, Rubiah Jaffar.
Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan, isteri kepada Romie, Nurliyana Abd Manan mendakwa Hanez menjadi penyebab kepada keruntuhan rumah tangga mereka selepas Hanez dan Romie didakwa menjalinkan hubungan cinta sejak lapan bulan lalu.
Nurliyana bertambah berang apabila Hanez memuat naik di laman Istagram gambar diri bersama kedua-dua anaknya.
Tindakan Hanez itu dianggap sebagai sengaja mengeksploitasi anak-anak Nurliyana dan tidak menghormati wanita itu sebagai ibu kanak-kanak berkenaan.
Malah, Hanez dan Romie juga didakwa bercuti ke Bangkok tahun lalu bagi meraikan ulang tahun kelahiran kekasihnya itu.
Hanez berkata, dia bagaimanapun sudah meminta maaf sebelum ini kerana mendakwa Romie sebagai duda.
“Tentang isu duda, saya sekali lagi memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan sebegitu dan ada salah faham mengenai hal itu,” katanya.
Sumber