Friday 4 April 2014

GEMPAR !!! Masalah CELCOM jadi bualan di Facebook



KUALA LUMPUR 3 April - Masalah berkaitan perkhidmatan telekomunikasi Celcom Axia­ta Bhd. (Celcom) hangat diperbualkan oleh para pengguna Facebook sejak beberapa hari lalu.

Antara masalah yang diutarakan ialah tentang kualiti capaian internet yang kurang memuaskan, caj talian prabayar dan kesukaran menghubungi talian perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi tersebut.

Pemilik akaun Facebook yang menggunakan identiti Fizzri Kev menyuarakan perasaan tidak puas hatinya terhadap kualiti capaian internet walaupun di kawasan bandar.

“Celcom merupakan syarikat telekomunikasi yang paling teruk. Saya tinggal di kawasan bandar tetapi hanya menerima Edge?

“Kami membayar yuran yang tinggi untuk capaian internet berkelajuan tinggi tetapi anda memberi sampah kepada kami," katanya dalam status akaun Facebook miliknya semalam.

Masalah serupa turut dibangkitkan pemilik akaun Facebook Adilah Husna menerusi status pada Isnin lalu.

“Kenapa ya talian Celcom terlalu lambat? Buat rugi duit je, nak buat kerja sekolah pun terbantut sebab sekarang semua guna internet tahu tak?" ujarnya.

Sementara itu, pemilik akaun Facebook Bain Ayie meminta Celcom memberi maklum balas terhadap masalah rangkaian Celcom di Rembau, Negeri Sembilan.


“Guna Lenovo S820. Talian Celcom Frenz. Kenapa bermasalah di Rembau. Sebelum ini ok sahaja? Masalah telefon atau talian? Sila jelaskan," katanya dalam status akaun Facebooknya hari ini.

Selain itu, pemilik akaun Facebook Kaktus Berduri dalam statusnya semalam meminta penjelasan mengapa baki kredit akaun prabayar Celcomnya dipotong walaupun tidak melanggan sebarang perkhidmatan.

“Kenapa kredit saya kena potong? Padahal tak ada langgan apa-apa, minta tolong bantu saya. Bagaimana hendak hentikan, jangan potong kredit senyap-senyap," katanya.

Pemilik akaun Facebook Nik Haeryya pula kesal kerana berdepan kesukaran menghubungi talian khidmat pelanggan Celcom.

“Kenapa khidmat pelanggan Celcom susah sangat hendak jawab panggilan daripada pelanggan?" ujarnya.

Sumber