Friday, 4 April 2014

MISTERI MANGGIS !!! MH370: Manggis misteri bukan dari Muar: FAMA


gambar hiasan

Johor Bahru: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Johor menjelaskan manggis yang dibawa ke China menerusi pesawat MH370 tidak mungkin dihasilkan dari daerah Muar.

Pengarah FAMA Johor, Faridul Atrash Md Mokri, berkata mengikut rekod, tiada dusun di Johor yang menghasilkan manggis ketika ini kerana musim buah itu mulai Jun ini.

“Sekarang ia baru berbunga dan hasilnya dapat dipetik mulai Jun.

“Kita mendapati sekarang bukan musim manggis di Muar atau daerah lain di negeri ini,” katanya, semalam.

Beliau diminta mengulas laporan media kononnya kira-kira empat tan manggis yang dibawa dalam pesawat malang itu berasal dari Muar. MAS sebelum ini mengesahkan pesawat itu turut membawa manggis untuk dihantar ke Beijing.


Bekalan terakhir Disember 

Sementara itu, peniaga buah-buahan di Pasar Maharani, di Muar, mengakui sekarang bukan musim buah berkenaan dengan kali terakhir mereka mendapat bekalan manggis ialah Disember lalu.

Peniaga, Yanti Ahmad, berkata dia menjangka bekalan manggis akan mula diperoleh sekitar Julai ini untuk dipasarkan.

“Kami menjangka manggis akan dibekalkan semula menjelang Aidilfitri hujung Julai ini. Manggis berbuah dua kali setahun, sama seperti durian.

“Jika ada pun manggis sekarang, ia mungkin dari negeri lain seperti Perak.

“Kebanyakan manggis dieksport ke luar negara kerana mendapat permintaan yang tinggi dengan purata harga sebiji mampu mencecah RM12,” katanya.

Mohd Tarmizi Abd Rahim pula berkata, musim buah-buahan kali ini khususnya manggis dijangka lewat kerana cuaca panas yang berpanjangan menyebabkan hasil kurang bermutu.

Sumber