NIK MUHAMMAD RAFFIQ
PAKA - DUNGUN. Sebaik melihat orang ramai mengerumuni pantai, jantungnya tiba-tiba berdebar, rasa tidak sedap hati kerana semalam (kelmarin), dia lihat anak lelaki jirannya mandi laut di situ.
Bagaimanapun segala persoalan yang bermain di fikiran seorang wanita berusia lewat 30-an itu terjawab sebaik dimaklumkan bahawa mangsa yang hilang di laut itu adalah anak rakan baiknya seperti diduga.
Berikutan itu, Ramlah Wahab, 38, tidak dapat menahan sebak sebaik mendekati rakannya, Nora Ismail, 41, yang sudah berada di tepi pantai untuk menunggu usaha pencarian anaknya, Khairul Ikhwan Rochim, 15, yang hilang ketika mandi bersama empat lagi rakannya di pantai Kampung Cacar, dekat sini, kira-kira jam 5 petang kelmarin.
Mengimbas kembali detik sebelum tragedi, Ramlah berkata, sehari sebelum kejadian, dia datang bersiar-siar di tepi pantai dekat situ dan ternampak kelibat Ikhwan sedang berseronok mandi laut.
Menurutnya, walaupun Ikhwan bukan anak kandungnya, kerana naluri seorang ibu, dia memarahi mangsa seperti anak sendiri.
Kata Ramlah, dia menasihati Ikhwan supaya segera naik ke darat kerana keadaan arus laut ketika itu agak deras dan boleh membahayakan keselamatan jika terus mandi.
“Saya sudah melarangnya beberapa kali, jangan mandi laut, bahaya, dulu sudah ada orang mati lemas dekat sini.
“Tak sangka hari ni dia mandi lagi, kalau dia dengar nasihat saya, dia takkan lemas di sini, kenapalah dia mandi lagi hari ini,” kata Ramlah yang masih trauma dengan kejadian menimpa mangsa yang tinggal berdekatan dengan rumahnya.
Menurut Ramlah, ketika tragedi itu berlaku, dia sengaja datang ke pantai Cacar untuk melihat sama ada Ikhwan masih mandi laut dan bercadang untuk memarahinya lagi jika terserempak dengan murid tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Paka itu.
Namun dia sama sekali tidak menyangka, orang ramai yang berada di situ rupa-rupanya sedang menunggu usaha pencarian mayat Ikhwan dan rakannya, Muhammad Solihin Mohamad Zaki, 15, yang dipercayai lemas.
Ibu rasa tak sedap hati
Ibu mangsa, Nora pula berkata, pagi sebelum kejadian, anaknya pergi ke sekolah, namun dia tidak tahu anak ketiga daripada enam beradik itu pergi ke arah pantai untuk mandi laut selepas pulang dari sekolah.
Kata Nora, ketika kejadian, dia berada di rumah dan rasa tidak sedap hati seperti ada sesuatu perkara buruk bakal terjadi.
Namun dia tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah dimaklumkan seorang rakan mangsa yang anaknya lemas di laut lalu bergegas ke pantai untuk mengetahui keadaan sebenar.
Bagaimanapun suasana makin hiba apabila Nora yang menunggu hampir satu jam usaha pencarian mangsa hilang itu terus bangun lalu berlari ke arah laut sebaik diberitahu penemuan mangsa kedua, dipercayai anaknya pada jam 6.45 petang.
Tambah menyayat hati apabila Nora yang tidak dapat menahan sebak hanya menyebut kalimah ALLAH, selain mengusap kepala anaknya beberapa kali tanda syukur atas penemuan mayat mangsa selepas lebih satu jam dia dilaporkan hilang.
“Nak, mak datang sini, syukur mak dapat jumpa kamu.
“Tapi kamu dah tak ada lagi nak, kamu dah tak ada,” kata Nora yang tidak henti mengalirkan air mata.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang kelmarin, keseronokan lima sahabat mandi laut selepas pulang dari sekolah bertukar tragedi apabila dua daripada mereka lemas.
Ketika kejadian, dua rakan mangsa, Hassan Basri Zulkifli, 15, dan Shahwalfri Shahriza, 15, cuba menyelamatkan kedua mangsa namun gagal kerana dihanyutkan arus deras, menyebabkan Solihin dan Ikhwan tenggelam timbul lalu lemas.
Seorang lagi rakan, Hazimi Luqman Zainal Ariffin yang turut berada di situ cuba mendapatkan bantuan orang ramai yang berada di warung tidak jauh dari pantai, namun sebaik bantuan tiba, mangsa sudah hilang dari pandangan.
Mayat Solihin ditemui jam 6.33 petang manakala Ikhwan ditemui jam 6.45 petang.
Dalam kejadian bulan lalu, seorang pekerja syarikat petrokimia juga mati lemas ketika mandi laut berdekatan lokasi yang meragut nyawa dua remaja berkenaan. Sinar Harian
Nelayan turut membantu mencari Ikhwan dan Solihin yang hilang sebelum masing-masing berjaya ditemui petang kelmarin.