KUALA LUMPUR 5 Jun - Pasukan kembara lasak bermotosikal terkemuka negara, 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER) berjaya tiba di Vancouver, Kanada, sebentar tadi.
Ketua 1MWER, Datuk Zamri Mohamed, 50, berkata, perjalanan mereka dari California ke Kanada bermula pada Sabtu lalu merentasi San Francissco dan Seattle.
"Amat bersyukur kerana 1MWER telah selamat sampai di Vancouver, Kanada sebentar tadi. Negara kedua terakhir sebelum Singapura.
"Terima Kasih di atas segala sokongan dan doa daripada anda semua selama ini, syukur Alhamdulillah," katanya melalui status laman sosial Facebook.
Kanada merupakan negara ke 40 dijelajahi 1MWER yang memulakan perjalanan dari ibu negara dalam misi mengelilingi dunia pada Jun tahun lalu.
Bergantung kepada perkembangan semasa, 1MWER dijangka menaiki penerbangan ke Singapura pertengahan bulan ini sebelum menunggang ke ibu negara. - UTUSAN ONLINE