TIGA ahli ekspedisi 1MWER 2013, Rosmadi Saad (kiri), Zamri Mohamed (tengah) dan Mohd. Faizal Sukree di Vancouver, Kanada, Rabu lalu.
SETELAH mengharungi perjalanan sejauh 55,883 kilometer merentasi 38 buah negara dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi, ahli ekspedisi '1Malaysia World Endurance Ride 2013' (1MWER 2013) berjaya menamatkan cabaran mereka.
Membawa mesej 'Pergerakan Kesederhanaan Global' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta memperkenalkan Malaysia, mereka tiba di Vancouver pada Rabu lalu setelah menyeberangi sempadan Peach Arch di Kanada dari Washington, Amerika Syarikat.
Ekspedisi selama 554 hari bermula dari hujung Asia ke Ushuaia di Argentina itu bukan setakat mencapai matlamatnya tetapi turut memberi pengalaman pembelajaran yang sangat berharga, menurut ketua ekspedisi, Datuk Zamri Mohamed.
Mereka dijangka tiba di Singapura pada 17 Jun ini, menyeberangi Tambak Johor menuju Johor Baharu dan akan disambut di Melaka Negeri Bersejarah pada 21 Jun ini sekali gus menandakan pencapaian mereka dalam satu perjalanan bersejarah. - Utusan