Tuesday, 18 February 2014

BONGKAR!!! Kopak pintu maksiat

Oleh Amir Abd Hamid



KAJANG: Polis memerlukan hampir setengah jam untuk memecahkan pintu sebuah pusat karaoke di Taman Berjaya Baru, Sungai Chua, di sini, yang menawarkan GRO serta pelacur warga asing, awal pagi tadi.

Dalam serbuan 11.30 malam dan berakhir kira-kira 2.30 pagi itu, polis menahan 14 GRO warga Vietnam berusia antara 18 dan 26 tahun yang dipercayai turut memberikan perkhidmatan seks kepada pelanggan.

Pegawai Turus D7 Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Deputi Supritendan Rohan Shah Ahmad berkata, penjaga premis tiga tingkat dan diubahsuai dari empat lot kedai itu enggan membuka pintu hingga menyebabkan pihaknya terpaksa bertindak memecahkan pintu.
"Serbuan diketuai Asisten Superintendan Mohd Shukri Abdullah bersama lima pegawai dan 18 anggota.
"Selepas pintu utama dapat dipecahkan, pemeriksaan lanjut di dalam premis mendapati 41 pelanggan berada di premis.
"Di tingkat satu dan tiga diubahsuai untuk karaoke manakala di tingkat dua premis didapati dijadikan tempat pelacuran untuk pelanggan yang mahukan khidmat ekstra. 
"Pusat karaoke berkenaan tidak mempunyai lesen dan kondom juga ditemui," katanya. 
Menurutnya, turut ditahan dalam operasi itu ialah seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun yang juga penjaga premis.

Katanya, premis dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau kehadiran pihak berkuasa.
"Semua GRO warga asing ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/18

Sumber