DARI KIRI: Ammar, Shalwati Norshal, Azizul Raheem
"Ia seperti mereka menggunakannya (rotan) untuk mengawal kami. Dan kami ingin membuangnya," kata Ammar, 12, dalam rakaman video yang dimainkan di Mahkamah Daerah Solna di sini.
"Mereka (pasangan tersebut) fikir mereka adalah pemilik hamba dan kami adalah hamba mereka," tambahnya.
Mendengar kenyataan tersebut, ibunya, Shalwati Norshal dilihat mengetap bibirnya dan mula berpeluk tubuh.
Shalwati dan suaminya, Azizul Raheem Awalludin ditahan sejak 18 Disember tahun lalu selepas Ammar memaklumkan kepada salah seorang kakitangan sekolahnya bahawa dia telah dipukul, menyebabkan satu laporan polis telah dibuat kepada pihak berkuasa tempatan.
Pegawai polis wanita di dalam video terbabit kemudian bertanya kepada kanak-kanak tersebut nama kayu yang digunakan untuk memukul adik beradiknya yang lain.
Ammar memaklumkan kayu tersebut dipanggil rotan dalam bahasa Melayu, namun tidak mengetahui nama kayu terbabit dalam bahasa Inggeris.
Ketika adiknya, Arif mempunyai sedikit kesukaran untuk menggambarkan rotan yang digunakan untuk memukul mereka adik-beradik, Ammar dengan terperinci menjelaskan bahawa ia merupakan kayu berwarna kekuningan, dibuat sama ada daripada kayu atau buluh, agak bengkok dan kira-kira setengah meter panjang.
Sepanjang temu bual, anggota polis wanita terbabit turut bertanyakan kepada Ammar kegunaan lain rotan tersebut dengan memberikan contoh seperti penyangkut baju turut digunakan untuk menyangkut pakaian.
"Ia (rotan) digunakan untuk memukul benda lain. Saya rasa ia digunakan untuk mengajar. Di Malaysia, dia (Shalwati) gunakan masa mengajar kami mengaji al-Quran. Bila saya tersilap, dia akan gunakannya untuk pukul saya atau memukul ke lantai," ujarnya.
Ketika disoal mengenai bagaimana adik beradiknya yang lain dipukul, Ammar memberitahu adik-adik lelakinya akan berkongsi kesakitan tetapi kakaknya, Aishah lebih memendam perasaan.
Peguam Shalwati, Kristofer Stahre, kemudian memaklumkan pihak media bahawa keterangan Ammar tidak disokong dengan bukti-bukti lain dalam kes itu.
"Dia (Ammar) memberitahu banyak perkara yang kononnya turut dilihat oleh orang lain, masalahnya apabila ditanya kepada saksi yang lain, mereka tidak dapat mengesahkannya," kata peguam Sweden itu.
Stahre turut menambah kata, Shalwati kini mengira waktu untuk memberi keterangan dan menjelaskan segala tindakannya.
"Beliau menafikan setiap dakwaan dan berpendapat bahawa kanak-kanak tersebut pada masa itu tidak memberitahu perkara sebenar atau membesar-besarkan cerita atau memberitahu apa yang berlaku di negara lain yang mana cara membesarkan anak atau peraturan dan tradisi masyarakat Malaysia dan undang-undang Malaysia dipraktikkan dan dibenarkan," ujar peguam itu.
Pada 10 Februari lalu, Shalwati dan Azizul didakwa atas pelbagai pertuduhan mencabul integriti kanak-kanak dengan cara memukul dan mendera anak-anak mereka.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di kediaman mereka di SpÄnga, di pinggir bandar Stockholm di antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013.
Perbicaraan bersambung 24 Februari ini. - THE STAR
Sumber