Saturday, 22 February 2014

TERUJA!!! Jambatan terpanjang di Asia Tenggara

Oleh Roslan Ibrahim

Jambatan Kedua Pulau Pinang yang akan dibuka kepada umum bulan depan adalah mercu tanda baru negeri Pulau Mutiara selain kemegahan kepada negara.

Ini kerana pembinaan­nya membuktikan kemampuan anak tempatan membina jambatan yang diiktiraf sebagai terpanjang di Asia Tenggara itu.

Foto
JAMBATAN Kedua Pulau Pinang bakal menjadi mercu tanda baru Pulau Pinang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan merasmikan jambatan itu awal bulan depan.

“Rancangan pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang lahir pada 2006.

Foto
JAMBATAN itu mempunyai empat lorong dengan dua lorong kereta selebar 3.5 meter dan masing-masing satu untuk motosikal dan kecemasan.

“Saya tidak sabar menunggu untuk merasmikan pembukaannya kepada orang ramai bulan depan,” kata Najib dalam tweetnya, baru-baru ini.


Jambatan itu sepanjang 24 kilometer (km) yang 17km daripadanya merentasi laut dan tujuh kilometer di daratan.

Ia dibina dengan reka bentuk bersifat lestari alam sekitar.

Jambatan itu menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dan Batu Maung di bahagian pulau.

Pembukaan jambatan ini dijangka mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang yang sedia ada sebanyak 25 peratus.

Jambatan itu mampu menampung kegunaan kira-kira 100,000 kenderaan sehari.

Jambatan yang menelan kos RM4.5 bilion itu bakal menjadi jambatan terpanjang di Malaysia dan Asia Tenggara.

China Harbour Engineering Co Ltd (CHEC) dilantik sebagai kontraktor yang mengendalikan kerja pembinaan jambatan itu.

Foto
JAMBATAN Kedua Pulau Pinang menghubungkan Batu Kawan di Seberang Perai dan Batu Maung di Pulau Pinang.

Jambatan Kedua Pulau Pinang itu dimulakan pembinaannya pada awal Januari 2008 dan me­ngambil masa lima tahun untuk disiapkan.

Jambatan itu mempu­nyai empat lorong dengan dua lorong motosikal.

Laluan sepanjang 1.5 km akan berada di kawasan Batu Maung sementara enam km lagi di kawasan Batu Kawan.

Enam persimpangan lebuh raya akan dibina dalam projek ini.

Ia akan mempunyai dua platform yang meliputi kawasan perkhidmatan dan rehat di persimpangan te­ngah.

Ia direka seakan-akan menyerupai mutiara. Kawasan rehat ini akan menjadi kawasan rehat lebuh raya terapung pertama di Malaysia.

Jambatan kedua itu mempunyai kelebihan kerana menggunakan sistem galas getah redaman tinggi (HDRB) yang mampu menahan kesan gegaran gempa bumi sehingga 8.2 pada skala Richter pada jarak 300km daripada punca gempa bumi.

HDRB adalah produk daripada getah asli yang direka bentuk oleh Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di United Kingdom iaitu makmal milik Lembaga Getah Negara dan dihasilkan sepenuhnya di dalam negara.

Menerusi projek JKPP ini, beberapa kejayaan dicapai khususnya dalam aspek kejuruteraan seperti asas cerucuk jenis ‘bored piled’ sedalam 130 meter iaitu antara paling dalam di dunia, pelaksanaan ujian beban Statnamic terbesar pernah dijalankan pada tahap 54 Mega Newton dan penggunaan HDRB bagi tujuan perlindungan seismik yang pertama dalam negara.

Apabila beroperasi kelak, kira-kira 25,000 kenderaan dijangka menggunakan jambatan itu setiap hari.

Jambatan itu nanti mempunyai empat lorong dengan dua lorong kereta selebar 3.5 meter dan masing-masing satu untuk motosikal dan lorong kecemasan selebar tiga meter.

Pada awalnya, jambatan itu dijangka dibuka kepada orang ramai pada 8 Sep­tember lalu iaitu dua bulan lebih awal dari tarikh asal, November 2013, namun insiden runtuhan tanjakan konkrit yang menghubungkan Batu Maung de­ngan struktur jambatan itu pada 6 Jun lalu yang me­ngorbankan satu nyawa menyebabkan kerja pembinaan terpaksa ditangguh­kan selama dua bulan.

Mengikut sejarahnya, idea untuk membina Jambatan Kedua Pulau Pinang itu dicadangkan pada Ogos 2006.

Selepas itu, Kerajaan Persekutuan mengatur pelan untuk membina Jambatan Kedua Pulau Pinang yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke­sembilan.

Pada 12 November 2006, majlis penanaman cerucuk besi Jambatan Kedua Pulau Pinang dilakukan oleh mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Selepas beberapa bulan, kerja menuang tanah dan penimbusan tiang berjaya dilakukan oleh China Harbour Engineering Co Ltd. United Engineers Malaysia Berhad (UEM Group) mengumumkan projek ini akan disiapkan pada 2013.

Namun, pada April 2008, kerajaan mengumumkan projek ini akan ditunda selama sembilan bulan disebabkan masalah perolehan tanah dan isu reka bentuk dan kenaikan kos bahan binaan.


INFO

Jambatan Kedua Pulau Pinang
Penyelenggara: Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB)
Panjang jambatan: 24 km
Panjang di laut: 17 km
Lebar jambatan: 250 m
Tarikh Pembinaan: Januari 2008
Tarikh dibuka: Mac 2014
Reka bentuk: UEM Builders
Harga jambatan: RM4.5 bilion
Kontraktor/pembinaan: China Harbour Engineering Co Ltd (CHEC)

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21

Sumber